Agama
Adakah Islam tiada toleransi antara agama?
PERSOALAN ini adalah antara persoalan yang seringkali timbul, lebih-lebih lagi apabila kita hidup dalam masyarakat yang pelbagai kaum, budaya dan agama.
PERSOALAN ini adalah antara persoalan yang seringkali timbul, lebih-lebih lagi apabila kita hidup dalam masyarakat yang pelbagai kaum, budaya dan agama.
Apatah lagi, Malaysia amat terkenal dengan kepelbagaian kaum dan agama, ditambah dengan agama Islam sebagai agama Persekutuan, sudah pasti soalan ini tidak terlepas daripada masyarakat Bukan Muslim dan juga Muslim.
Pada pendapat penulis, jawapan ringkas pada persoalan di atas adalah ‘Tiada’ dan ‘Ada’. Kenapa ada dua jawapan bagi satu persoalan? Ini kerana ia bergantung pada konteks dan keadaan.
Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, toleransi adalah sifat atau sikap toleran. Adapun makna dari toleran sendiri adalah bersifat atau bersikap menenggang (menghargai, membiarkan, membolehkan) pendirian (pendapat, pandangan, kepercayaan, kebiasaan, kelakuan, dan sebagainya) orang lain yang berbeza atau bertentangan dengan pendirian sendiri.
Islam tiada toleransi antara agama
Islam tiada toleransi dalam hal berkaitan akidah. Akidah dimaksudkan di sini adalah akidah tauhid kepada Allah s.w.t yang menjadi dasar pada agama Islam sebagai Addin.
Akidah tauhid yang juga menjadi teras dakwah para rasul terdahulu, termasuk Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w pernah ditawarkan kuasa takhta, kekayaan harta, kecantikan para wanita dan tabib yang terbaik bagi merawatnya (seandainya baginda sakit) oleh masyarakat kafir Mekah sebagai habuan kepadanya.
Ini kerana mereka ingin Nabi Muhammad s.a.w memberhentikan sikap penentangan terhadap amalan penyembahan berhala, serta memberhentikan kecaman baginda terhadap adat tradisi diwarisi daripada nenek moyang terdahulu.
Walaupun baginda ditawarkan dengan perkara yang menjadi kegilaan dan idaman seorang lelaki, baginda menolak mentah-mentah tawaran tersebut.
Usaha mereka untuk memohon baginda supaya berkompromi dengan mereka tidak hanya terhenti pada tawaran itu sahaja. Mereka berterusan menawarkan supaya Nabi Muhammad s.a.w sikap bertolak ansur, sehari menyembah berhala dan pada hari lain mereka pula beramai-ramai menyembah Tuhan Nabi Muhammad s.a.w.
Sekali lagi, tawaran ini ditolak tegas melalui ayat Al Qur’an diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w bagi menjawab balas terhadap tawaran mereka itu.
“Katakanlah “Wahai orang kafir, aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu (pula) tidak pernah menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku.” [Surah Al-Kafirun, 109:1-6]
Islam ada toleransi antara agama
Toleransi beragama dalam Islam adalah bersikap keterbukaan dalam mendengar pandangan berbeza, berkomunikasi secara dua hala, saling menghormati dan mengiktiraf hak asasi serta kebebasan orang lain untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.
Ini termasuk untuk tidak merendahkan atau menghina pegangan agama lain sepertimana yang dilarang Allah s.w.t dalam Al Qur’an,
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” [Surah Al-’An’am, 6:108]
Bukan itu sahaja, agama Islam turut menyentuh tentang kebenaran dan keadilan kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam atas dasar agama.
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat mereka yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [Surah Al-Mumtahanah, 60:8-9]
Islam mengiktiraf kewujudan agama lain serta menghormati hak beragama penganut agama lain. Namun, ini tidak bermakna Islam mengiktiraf kebenaran agama-agama tersebut.
Sepertimana Islam mempunyai prinsipnya tersendiri dan agama lain turut mempunyai prinsip mereka yang tersendiri, itu tidak bermaksud sesebuah agama perlu meleburkan keyakinan agama masing-masing demi menjaga hati sesama sendiri kerana ini bertentangan dengan prinsip agama yang dianuti oleh penganutnya.
Sebagai contoh, sesetengah masyarakat Malaysia suka mengaitkan sikap keterbukaan dan keperluan dalam menyambut semua jenis perayaan agama, termasuk perayaan agama penganut agama lain adalah satu tanda toleransi pada tahap tertinggi.
Ini merupakan satu salahfaham yang perlu diperbetulkan kerana ia sebenarnya tidak langsung menggambarkan erti toleransi dan keadilan dalam beragama.
Ini kerana setiap agama mempunyai prinsip dan kepercayaan berbeza serta saling bertentangan antara satu sama lain.
Dengan mengabaikan perbezaan prinsip dan kepercayaan, kita sebenarnya telah berlaku tidak adil serta tidak menghormati hak beragama penganut agama lain.
Bayangkan sekiranya, ia menjadi satu keperluan penganut Hindu untuk turut serta dalam upacara menyembelih atau mengagihkan daging lembu ketika Hari Raya Aidiladha sebagai tanda toleransi dan perpaduan sedangkan, upacara itu bercanggah dengan prinsip dan kepercayaan agama Hindu.
Itukah yang dinamakan toleransi dengan memaksa penganut agama lain meraikan perayaan yang bukan daripada kepercayaan agamanya?
Selain itu, kita tidak pernah melihat seorang Muslim memaksa sesiapa untuk mengikut gaya hidup orang Muslim seperti berpuasa di bulan Ramadhan serta menyalahkan sesiapa tidak berpuasa bersama sebagai tidak mahukan keharmonian, tidak mahukan toleransi dan tidak mahukan perpaduan antara bangsa dan agama.
Jadi masyarakat bukan Muslim tidak seharusnya menjadikan satu keperluan kepada orang Islam untuk bersama menyambut perayaan mereka.
Malah, tidak seharusnya mereka memaksa mana-mana Muslim untuk mengikut gaya hidup mereka mahupun memberi gelaran buruk kepada orang Islam seperti ekstrimis, mundur dan sebagainya sekiranya seseorang Muslim itu menolak.
Kejadian seperti meminta Muslim terlibat dalam Christmas Caroling semasa hari Krismas pada Disember tahun lalu dan berarak bersama dalam perarakan Thaipusam atas alasan toleransi dan perpaduan, tidak seharusnya berulang pada masa hadapan.
Memandangkan Christmas Caroling dan perarakan Thaipusam merupakan upacara keagamaan dan ia bercanggah dengan prinsip serta kepercayaan agama Islam, maka tidak seharusnya mana-mana bukan Muslim mempertikaikan penyertaan orang Islam sekalipun atas dasar toleransi dan perpaduan.
Jika penganut agama lain hendak tersinggung dengan ketidakbersamaan orang Islam dalam perayaan mereka, maka umat Islam yang jauh lebih layak tersinggung dengan ketidakbersamaan orang bukan Islam dalam beberapa perkara yang melibatkan akidah, syirik, amalan dan seumpamanya.
Kesimpulannya, boleh difahami secara jelas bahawa agama Islam boleh bertoleransi pada perkara tidak melibatkan akidah Islam kerana ia adalah sesuatu perintah Allah s.w.t untuk umat Islam menjaga keharmonian sesama manusia.
Namun jika ia berkaitan akidah Islam, maka tiada ruang untuk berkompromi atau bertoleransi semata-mata ingin mengambil hati orang lain atau takut dengan pandangan orang luar atau bimbang pihak-pihak lain bertindak balas kepada kita.
Sepertimana perintah Allah SWT dalam Surah al-Kafirun, 109:6; “Untukmu agamamu dan untukku agamaku”. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.