Connect with us

Kolumnis

Umrah Sang Mualaf: Panggilan ke tanah suci

ADALAH menjadi impian setiap Muslim ingin menjejakkan kaki ke kota suci Mekah. Sebagai seorang mualaf yang baru empat tahun memeluk Islam, saya juga menyimpan impian dan hasrat yang sama.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Umrah Sang Mualaf: Panggilan ke tanah suci
Foto: Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci tajaan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

ADALAH menjadi impian setiap Muslim ingin menjejakkan kaki ke kota suci Mekah. Sebagai seorang mualaf yang baru empat tahun memeluk Islam, saya juga menyimpan impian dan hasrat yang sama.

Sejak memeluk Islam di Multiracial Reverted Muslims (MRM) dengan kehadiran Bro Azim & Bro Firdaus Wong dan kini bertugas sebagai Eksekutif Dakwah Kanan di MRM, saya diberi tanggungjawab mengajar kelas Fardhu Ain kepada mualaf dan golongan belum Muslim setiap minggu. 

Berkali-kali saya mengajar tentang sirah Nabi kepada pelajar saya. Berkali-kali saya cuba menggambarkan keindahan kota Mekah dan Madinah melalui perjalanan sirah Nabi Muhammad SAW yang kita semua cintai. 

Menggambarkan setiap perjuangan, peperangan dan perjalanan hidup Nabi SAW dan para sahabatnya demi menegakkan Islam bersama pelajar-pelajar saya. 

Semua itu hanya kisah yang saya ceritakan tanpa dapat menjiwai sepenuhnya walaupun hati ini meronta-ronta mahu ke sana kerana saya masih belum lagi berpeluang menjadi tetamu Sang Pencipta. 

Saya memasang impian dan berdoa mudah-mudahan saya dijemput menjadi tetamuNya. 

Bulan Julai 2023, Bro Firdaus Wong memberitahu bahawa beliau mencadangkan nama saya untuk menunaikan umrah di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci tajaan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud. 

Setelah menunggu beberapa bulan, saya masih tidak putus harapan dan terus berdoa.

Alhamdulillah, pada Selasa yang lalu, Ustaz Fazrin Yahya dari Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi menghubungi dan memaklumkan bahawa saya telah terpilih menjadi salah seorang tetamu Allah di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci pada tahun ini dari 3 hingga 13 Januari bersama 15 peserta yang lain.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Anugerah Allah SWT yang saya tidak sangkakan. 

Buat pertama kalinya saya akan menjejakkan kaki di tempat lahirnya Baginda Rasulullah Sallalahu Alaihi Wa Salam dan juga tempat bersemadinya Baginda dan para sahabatnya. 

Dua tanah suci yang menjadi saksi turunnya wahyu Ilahi kepada Rasul terakhir dan perjuangan Baginda bersama para sahabat-sahabatnya dalam mengembangkan dan mempertahankan Islam! 

Dua kota suci yang menyaksikan tumbangnya penyembahan berhala dan tertegaknya tauhid. 

Bermula dengan dakwah Baginda sehingga masuknya Islam Khadijah Binti Khuwalid, Abu Bakar As Siddiq, Uthman Ibn Affan, Ali Bin Abu Talib dan kini seramai 1.9 billion manusia diikat dengan akidah dan kalimah syahadah yang sama di seluruh dunia. 

Tempat yang saya ceritakan kepada pelajar-pelajar saya, seperti sebuah mimpi. 

Saya seperti masih tidak percaya saya kini dalam perjalanan ke kota Nabi, Madinah Al Munawarrah. 

Muhammad Bin Abdullah, seorang insan yang saya tidak pernah bertemu dengannya tetapi saya beriman dengannya. Seorang insan yang saya merinduinya kerana usahanya, Islam tersebar dan saya juga dikurniakan hidayah oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Ya Rasulullah, aku merinduimu. Aku dalam perjalanan ke kotamu Ya Rasulullah.

Saya berharap dengan perjalanan umrah ini saya dapat mendekatkan diri lagi dengan perjuangan Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wa Salam yang tidak pernah henti menyebarkan Islam. — The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author