Connect with us

Terkini

Sultan Ibrahim diisytihar Yang di-Pertuan Agong ke-17

Malaysia hari ini menerima Ketua Utama Negara baharu selepas perisytiharan Sultan Johor Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (kiri), Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (tengah) dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir (kanan).
  • Malaysia hari ini menerima Ketua Utama Negara baharu selepas perisytiharan Sultan Johor Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara.
  • Dengan sempurnanya Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Y​​​ang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri hari ini, ia menandakan bermula tempoh pemerintahan lima tahun Sultan Ibrahim sebagai tonggak kedaulatan dan perpaduan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
  • Sultan Ibrahim, 65, ketika melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong berikrar akan melaksanakan pemerintahan dengan adil dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat.
  • Istiadat hari ini turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melengkapkan lagi sistem raja berperlembagaan yang diamalkan negara.
  • Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Okt tahun lepas, susulan tamat tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini menerima Ketua Utama Negara baharu selepas perisytiharan Sultan Johor Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara.

Dengan sempurnanya Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Y​​​ang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri hari ini, ia menandakan bermula tempoh pemerintahan lima tahun Sultan Ibrahim sebagai tonggak kedaulatan dan perpaduan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Ibrahim, 65, ketika melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong berikrar akan melaksanakan pemerintahan dengan adil dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat. 

Istiadat hari ini turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, 67, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melengkapkan lagi sistem raja berperlembagaan yang diamalkan negara.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Okt tahun lepas, susulan tamat tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.

Sehingga kini, Malaysia telah melalui 17 Ketua Utama Negara secara penggiliran lima tahun sekali dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Kini setelah hampir 35 tahun, bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong kembali dikibarkan di Johor selepas kali terakhir adalah ketika Paduka Ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989. 

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-Raja Melayu dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah, manakala Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Surat Sumpah Jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai saksi.

Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya membacakan kandungan surat perisytiharan itu dan bermulanya secara rasmi Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, Pegawai Agama Istana Datuk Munir Md Salleh memohon kesejahteraan ke atas Yang di-Pertuan Agong serta seluruh rakyat dan negara ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Jan 2019. 

Pada istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad turut menyembah maklum bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja mempunyai sejarah yang cukup signifikan dengan Kesultanan Johor. 

“Ampun Tuanku, patik mohon menjelaskan bahawa Mesyuarat ke-264 ini adalah dikira atau dihitung dari bulan Februari 1948 ketika mana Majlis Raja-Raja baru diwujudkan setelah pemerintahan Malayan Union ditamatkan hari ini 31 Januari dan digantikan oleh Perjanjian Persekutuan Malaya. 

“Kebetulannya Majlis Raja-Raja yang pertama itu telah dipengerusikan oleh raja yang paling kanan ketika itu Mejar Jeneral Sir Ibrahim Sultan Johor, moyanganda kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Istiadat menghadap mengakhiri peristiwa bersejarah hari ini dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap dif-dif kenamaan antaranya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Ahli-ahli Jemaah Menteri, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali. 

Terdahulu, rakyat pelbagai peringkat telah menunggu awal pagi di sepanjang laluan antara Istana Bukit Serene menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor selain di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor bagi meraikan keberangkatan Sultan Ibrahim yang akan bersemayam sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun. Daulat Tuanku. – BERNAMA

SUMBER: BERNAMA

Author

Terkini

Perundangan baharu kawal selia penerbitan kalimah ‘Allah’ sedang disediakan – KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyediakan perundangan baharu bagi mengawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah “Allah” selaras dengan dasar diputuskan Majlis Raja-Raja.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan perundangan baharu itu memerlukan penelitian mendalam dari pelbagai aspek sensitif melibatkan keselamatan negara, ketenteraman awam dan keharmonian agama di Malaysia.
  • “Dalam hal ini, KDN perlu melalui proses-proses libat urus dan kerjasama bersama pihak-pihak ditetapkan termasuk pihak JAKIM, Pihak Berkuasa Negeri-negeri, Kerajaan Negeri-negeri dan AGC dalam menyediakan perundangan baharu yang berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja. 
  • “Tindakan dan proses ini sedang berjalan bagi mendapatkan satu keputusan yang dipersetujui,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.
  • Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa Kerajaan belum mengumumkan status dan kesan penggunaan terkini mengenai empat kalimah suci orang Islam iaitu lafaz Allah, solat, Kaabah dan Baitullah sedangkan kes melibatkan nama Allah kian meningkat.

KUALA LUMPUR — Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyediakan perundangan baharu bagi mengawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah “Allah” selaras dengan dasar diputuskan Majlis Raja-Raja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan perundangan baharu itu memerlukan penelitian mendalam dari pelbagai aspek sensitif melibatkan keselamatan negara, ketenteraman awam dan keharmonian agama di Malaysia.

“Dalam hal ini, KDN perlu melalui proses-proses libat urus dan kerjasama bersama pihak-pihak ditetapkan termasuk pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pihak Berkuasa Negeri-negeri, Kerajaan Negeri-negeri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam menyediakan perundangan baharu yang berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja. 

“Tindakan dan proses ini sedang berjalan bagi mendapatkan satu keputusan yang dipersetujui,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa Kerajaan belum mengumumkan status dan kesan penggunaan terkini mengenai empat kalimah suci orang Islam iaitu lafaz Allah, solat, Kaabah dan Baitullah sedangkan kes melibatkan nama Allah kian meningkat.

Pada 23 Oktober 2023,  media melaporkan garis panduan baharu mengenai Arahan Pentadbiran KDN berkaitan penggunaan kalimah Allah akan diteliti dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu terbabit.

Saifuddin dilaporkan mengatakan cadangan garis panduan itu sudah dikemukakan kepada MKI selepas selesai lima sesi libat urus diadakan sebelum ini.

Katanya, KDN akan mengambil panduan hasil mesyuarat Majlis Raja-Raja itu untuk mengadakan garis panduan baharu bagi isu penggunaan kalimah Allah.

KDN sebelum ini mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk AGC, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JAKIM, Majlis Profesor Malaysia dan Persatuan-persatuan Peguam Muslim Syarie Malaysia.

Ia susulan KDN dan kerajaan Malaysia pada 15 Mei 2023 dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. 

Memetik BERNAMA, Jill Ireland dilaporkan memohon semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) dengan tajuk mengandungi kalimah ‘Allah’ yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008 dan perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah itu dalam penerbitan Kristian.

Mahkamah pada 2014 memerintahkan CD itu dipulangkan dan setelah melalui beberapa proses, memutuskan arahan KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending