Terkini
Parlimen dicadang tetapkan sendiri jumlah hari sidang Dewan Rakyat, bukannya PM
Bilangan sidang Dewan Rakyat setiap tahun dicadangkan untuk ditentukan oleh Parlimen dan bukannya Perdana Menteri, kata penyelidik dasar awam, Maha Balakrishnan.

- Bilangan sidang Dewan Rakyat setiap tahun dicadangkan untuk ditentukan oleh Parlimen dan bukannya Perdana Menteri, kata penyelidik dasar awam, Maha Balakrishnan.
- Beliau berkata bilangan hari Dewan Rakyat bersidang itu tidak lagi praktikal untuk dikawal oleh kerajaan.
- “Dewan Rakyat tidak lagi dikawal oleh satu parti atau satu gabungan,” katanya dipetik Free Malaysia Today pada Jumaat.
- Maha mengulas laporan media sebelum ini mengenai bilangan hari Parlimen bersidang setiap tahun adalah mengikut budi bicara Perdana Menteri.
- Terdahulu, semasa Barisan Nasional menjadi satu-satunya kuasa politik dominan, kuasa membuat keputusan, termasuk bilangan sidang Dewan Rakyat, adalah di bawah “kawalan de facto kerajaan”.
- Parlimen dijadual bermesyuarat selama 69 hari pada tahun ini dengan sidang pertama berlangsung dari 26 Feb hingga 27 Mac depan.
KUALA LUMPUR – Bilangan sidang Dewan Rakyat setiap tahun dicadangkan untuk ditentukan oleh Parlimen dan bukannya Perdana Menteri, kata penyelidik dasar awam, Maha Balakrishnan.
Beliau berkata bilangan hari Dewan Rakyat bersidang itu tidak lagi praktikal untuk dikawal oleh kerajaan.
“Dewan Rakyat tidak lagi dikawal oleh satu parti atau satu gabungan,” katanya dipetik Free Malaysia Today pada Jumaat.
Maha mengulas laporan media sebelum ini bilangan hari Parlimen bersidang setiap tahun adalah mengikut budi bicara Perdana Menteri.
Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Parlimen menjadi tergantung hingga kerajaan Perpaduan dibentuk melibatkan Pakatan Harapan (PH) dengan sokongan beberapa parti dan gabungan lain.
Terdahulu, semasa Barisan Nasional menjadi satu-satunya kuasa politik dominan, kuasa membuat keputusan, termasuk bilangan sidang Dewan Rakyat, adalah di bawah “kawalan de facto kerajaan”.
Parlimen dijadual bermesyuarat selama 69 hari pada tahun ini dengan sidang pertama berlangsung dari 26 Feb hingga 27 Mac depan.
Mengulas lanjut, Maha berkata di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen berpeluang mempersoalkan kerajaan dan peranan mereka akan menjadi lebih relevan.
“Tetapi sukar bagi Ahli Parlimen untuk menggunakan kuasa Parlimen apabila kuasa menetapkan sidang dan mengawal agenda Dewan Rakyat dalam tangan kerajaan,” katanya.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan ahli sains politik, Wong Chin Huat sebelum ini mencadangkan sidang Dewan Rakyat ditetapkan 100 hari setahun, yang boleh dilaksanakan dengan meminda Peraturan Mesyuarat Parlimen. – The Merdeka Times
