Connect with us

Terkini

Bank konvensional terlibat riba, Mufti Wilayah Persekutuan saran pekerja cari pekerjaan halal lain

Kakitangan bank konvensional disarankan untuk mencari pekerjaan halal lain kerana sektor itu terlibat dengan muamalat riba, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Bank konvensional terlibat riba, Mufti Wilayah Persekutuan saran pekerja cari pekerjaan halal lain
Foto: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.
  • Kakitangan bank konvensional disarankan untuk mencari pekerjaan halal lain kerana sektor itu terlibat dengan muamalat riba, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.
  • Menjawab pertanyaan mengenai hukum bekerja di bank konvensional di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman menjelaskan terdapat dua kategori pekerja dalam sektor berkenaan iaitu mereka terbabit secara langsung dengan transaksi riba dan sebaliknya.
  • Katanya, kelompok pertama terkait secara langsung dengan transaksi riba hukum pekerjaannya adalah haram, manakala kelompok kedua (tiada kaitan langsung dengan transaksi riba) seperti pegawai keselamatan, cleaner dan selainnya, hukum pekerjaannya adalah harus.
  • Berdasarkan penjelasan di atas, apa yang dapat kami nasihatkan ialah mereka yang sudah melibatkan diri dalam dunia pekerjaan di bank konvensional, mereka perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencari pekerjaan halal yang lain. Wallahu A‘lam,” kata Luqman dalam ruangan ‘Irsyad Al-Fatwa ke-823: Hukum bekerja di bank konvensional’ di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan diterbitkan pada Isnin.
  • Mengupas tentang bank konvensional, Luqman berkata umum mengetahui bank konvensional merupakan salah satu institusi kewangan yang wujud di Malaysia sebelum adanya bank Islamik. 
  • “Kedua-duanya daripada industri yang sama namun pada hakikatnya, ia berbeza daripada sudut pengurusan, penghasilan dan sebagainya,” kata Luqman.

KUALA LUMPUR – Kakitangan bank konvensional disarankan untuk mencari pekerjaan halal lain kerana sektor itu terlibat dengan muamalat riba, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah.

Menjawab pertanyaan mengenai hukum bekerja di bank konvensional di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman menjelaskan terdapat dua kategori pekerja dalam sektor berkenaan iaitu mereka terbabit secara langsung dengan transaksi riba dan sebaliknya.

Katanya, kelompok pertama yang terkait secara langsung dengan transaksi riba hukum pekerjaan itu adalah haram, manakala kelompok kedua (tiada kaitan langsung transaksi riba) seperti pegawai keselamatan, cleaner dan selainnya, hukum pekerjaannya adalah harus.

“Hal ini kerana pekerjaan mereka tidaklah berkait dengan sebarang transaksi riba sama ada memasarkan produk, menyediakan produk, mengisi perjanjian dan sebagainya lantas mengeluarkan mereka daripada tergolong dalam mereka yang disebutkan dalam hadis.

Berdasarkan penjelasan di atas, apa yang dapat kami nasihatkan ialah mereka yang sudah melibatkan diri dalam dunia pekerjaan di bank konvensional, mereka perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencari pekerjaan halal yang lain. Wallahu A‘lam,” kata Luqman dalam ruangan ‘Irsyad Al-Fatwa ke-823: Hukum bekerja di bank konvensional’ di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan diterbitkan pada Isnin.

Mengulas lanjut kepada orang Islam berkaitan hukum bekerja di bank konvensional, Luqman berkata Allah SWT berfirman:

وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ ‎﴿٨٨﴾

Maksudnya: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.” Surah al-Ma’idah (88)

Luqman berkata ayat ini jelas menunjukkan kewajipan mencari dan memakan rezeki yang halal lagi baik. 

“Lafaz makan dalam ayat ini adalah umum merangkumi segala perbuatan yang lain seperti minum, pakai, menaiki dan sebagainya. Hal ini termasuklah bekerja bagi menyara kehidupan seharian, mestilah ditekankan agar punca rezeki dan mata pencarian datangnya daripada sumber yang halal. 

“Hal ini kerana, setiap apa yang menjadi rezeki atau yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

“Ia jelas berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ

Maksudnya: “Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.” Riwayat al-Tirmizi (2416)

Mengupas tentang bank konvensional, Luqman berkata umum mengetahui bank konvensional merupakan salah satu institusi kewangan yang wujud di Malaysia sebelum adanya bank Islamik. 

“Kedua-duanya daripada industri yang sama namun pada hakikatnya, ia berbeza daripada sudut pengurusan, penghasilan dan sebagainya. 

“Perbezaan yang ketara di sini boleh dilihat pada keuntungan dalam perbankan Islam diperoleh daripada transaksi yang dibenarkan oleh syarak seperti kontrak jual beli. 

“Manakala faedah dalam perbankan konvensional pula, diperoleh secara langsung daripada kontrak pinjaman dan ini tidak dibenarkan oleh syarak kerana membawa kepada riba,” kata Mufti Wilayah Persekutuan itu. – The Merdeka Times

Sumber: Irsyad Al Fatwa

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *