Connect with us

Terkini

Salah jual produk nikotin kepada bawah umur kerana RUU telah dilulus – SFC

Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa selepas Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan di Dewan Rakyat minggu lepas, penjual dilarang menjual produk rokok termasuk vape dan e-rokok kepada golongan bawah umur.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu selepas RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu, penjual dilarang menjual produk rokok termasuk vape dan e-rokok kepada golongan bawah umur.
  • Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly berkata memandangkan RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat pada 30 Nov lalu, mereka di bawah 18 tahun tidak boleh merokok (vape mengandungi nikotin dan e-rokok).
  • “Penjualan dan pembekalan racun termasuk nikotin kepada golongan itu adalah menyalahi undang-undang seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13 Rang Undang-Undang tersebut.
  • “Sesiapa yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi setahun,” katanya semasa berhujah di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa selepas Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan di Dewan Rakyat minggu lepas, penjual dilarang menjual produk rokok termasuk vape dan e-rokok kepada golongan bawah umur.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly berkata memandangkan Rang Undang-Undang (RUU) itu telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 30 Nov lepas, mereka yang di bawah 18 tahun juga tidak boleh merokok (vape yang mengandungi nikotin dan e-rokok).

“Penjualan dan pembekalan racun termasuk nikotin kepada golongan itu adalah menyalahi undang-undang seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13 Rang Undang-Undang tersebut.

“Sesiapa yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi setahun,” katanya semasa berhujah di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menurut Ahmad Hanir, antara peruntukan yang terkandung dalam rang undang-undang itu termasuk larangan penjualan dan penggunaan rokok, produk tembakau, produk merokok dan produk pengganti tembakau kepada golongan bawah umur.

“Ia juga menyaksikan pemansuhan peruntukan untuk generasi penamat (GEG) iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya,” katanya.

Beliau juga berhujah bahawa Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa tidak melampaui kuasanya apabila membuat keputusan untuk mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Ini kerana pengecualian itu dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Racun yang membenarkan menteri meminda Senarai Racun.

“Dengan membuat pengecualian itu, nikotin yang digunakan untuk merokok melalui rokok elektronik dan alat elektrik dalam bentuk cecair atau gel adalah penyediaan yang dikecualikan dan oleh itu tidak termasuk dalam maksud ‘racun’.

“Oleh itu, saya berhujah bahawa permohonan ini perlu ditolak oleh mahkamah ini kerana keputusan responden pertama (Dr Zaliha) dibuat berdasarkan undang-undang,” tambahnya.

Pada 14 Okt, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Pertubuhan Malaysian Green Lung (MGLA) dan Voice of the Children (VOC) sebagai pemohon mendapat kebenaran daripada mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Kementerian Kesihatan dan kerajaan sebagai responden.

Ketiga-tiga NGO itu memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 30 Jun, untuk membatalkan sebahagian daripada Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) yang dibuat oleh responden pertama pada 31 Mac dan memohon pengisytiharan bahawa arahan itu adalah tidak sah.

Sementara itu, peguam Edmund Bon, yang mewakili ketiga-tiga NGO itu berhujah bahawa RUU baharu itu masih belum disahkan menjadi undang-undang oleh Dewan Negara, justeru belum ada undang-undang yang boleh dikuatkuasakan terhadap penjualan cecair dan produk gel yang mengandungi nikotin kepada kanak-kanak.

Beliau berkata apabila Dr Zaliha membuat keputusan nyahsenarai nikotin pada 31 Mac, tiada undang-undang pada masa itu melarang penjualan produk ini kepada golongan bawah umur.

Hakim Wan Ahmad Farid menetapkan 7 Feb tahun depan untuk keputusan. — BERNAMA

Sumber: BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Terkini

“Pengecut” tempelak KJ apabila Wan Fayhsal digantung 6 bulan susulan isu MAHB

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menempelak tindakan menggantung Ahli Parlimen Machang daripada Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula hari ini,  sebagai “pengecut”.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (kiri) & Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kanan).
  • Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menempelak tindakan menggantung Ahli Parlimen Machang daripada Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula hari ini,  sebagai “pengecut”.
  • Ia susulan kenyataan Wan Fayhsal mengenai surat layang didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
  • Pengecut. Kamu mempermainkan dia (Wan Fayhsal) dengan mengatakan dia berbahasa jargon, tidak tahu apa-apa. 
  • “Akhirnya, kamu menyalahgunakan kuasa legislatif untuk mengusirnya selama enam bulan. Jelas sekali, dia sudah mengganggu kamu. 
  • “Boneka BlackRock. Harap duit Zionis itu berbaloi,” katanya menerusi hantaran di Instagram di sini hari ini dengan memuat naik tangkap layar satu ciapan X berkenaan artikel bertajuk, ‘Dewan Rakyat lulus usul gantung 6 bulan Wan Fayhsal’.
  • Wan Fayhsal ketika mengulas tindakan dikenakan terhadapnya itu menyatakan bahawa beliau ‘dipaksa mengundurkan diri’ dan langsung tidak diberi peluang untuk membela diri ketika usul menggantungnya di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menempelak tindakan menggantung Ahli Parlimen Machang daripada Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula hari ini,  sebagai “pengecut”.

Ia susulan kenyataan Wan Fayhsal mengenai surat layang didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Mengulas tindakan dikenakan terhadap Wan Fayhsal, Khairy menyifatkan pihak terbabit sebagai pengecut dan jelas menunjukkan mereka sebenarnya ‘terganggu’ dengan kenyataan Wan Fayhsal berkenaan isu dibangkitkan.

Khairy yang juga lantang mengkritik penjualan saham MAHB kepada syarikat pro zionis, BlackRock-Global Infrastructure Partners (GIP), secara sarkastik berharap adalah berbaloi pihak terbabit ‘menerima’ duit zionis.

Pengecut. Kamu mempermainkan dia (Wan Fayhsal) dengan mengatakan dia berbahasa jargon, tidak tahu apa-apa. 

“Akhirnya, kamu menyalahgunakan kuasa legislatif untuk mengusirnya selama enam bulan. Jelas sekali, dia sudah mengganggu kamu. 

“Boneka BlackRock. Harap duit Zionis itu berbaloi,” katanya menerusi hantaran di Instagram di sini hari ini dengan memuat naik tangkap layar satu ciapan X berkenaan artikel bertajuk, ‘Dewan Rakyat lulus usul gantung 6 bulan Wan Fayhsal’.

Foto: Tangkap layar hantaran KJ di Instagram beliau hari ini.

Artikel itu antaranya menyatakan usul menggantung Ahli Pembangkang itu dibuat melalui undi belah bahagi yang menyaksikan 110 Ahli Parlimen menyokong, 63 tidak bersetuju, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Menteri di Jabatan Perdana (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan usul itu berkata Dewan Rakyat memandang serius kenyataan Wan Fayhsal berhubung surat layang yang telah tular dan didakwa mengandungi maklumat dalang sebenar di sebalik pengambilalihan MAHB.

Azalina berkata Wan Fayhsal yang ketika itu membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan Tahun 2022 di Dewan Rakyat telah menamakan seorang pegawai dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai dalang.

Beliau berkata perbuatan itu telah memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu didakwa, tetapi juga secara umum pegawai agensi di bawah kementerian yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.

Foto: Tangkap layar hantaran Wan Fayhsal di Facebook di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal ketika mengulas tindakan dikenakan terhadapnya menyatakan bahawa beliau ‘dipaksa mengundurkan diri’ dan langsung tidak diberi peluang untuk membela diri ketika usul menggantungnya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kesan penggantungan itu beliau akan terlepas berbahas Belanjawan 2025 pada sidang Oktober ini.

Satu lagi titik hitam dalam demokrasi berparlimen negara. Saya langsung tidak diberi peluang untuk membela diri dalam Dewan tadi.

“Kesan daripada penggantungan ini ialah saya akan terlepas berbahas Belanjawan 2025 dalam sidang Oktober nanti.

“Machang dipaksa mengundurkan diri. Jumpa tahun depan,” katanya di Facebook hari ini. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending