Connect with us

Terkini

PM bukan Melayu : Anwar minta pembangkang tidak melaga-lagakan rakyat

Pihak pembangkang sewajarnya mencari idea untuk membantu mengangkat ekonomi serta mengurangkan beban rakyat daripada terus membangkitkan perkara yang tidak perlu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

PM bukan Melayu : Anwar minta pembangkang tidak melaga-lagakan rakyat
Foto: Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang (kiri) & Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan).
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas saranan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.
  • Jelas Anwar, saranan untuk dipinda Perlembagaan Persekutuan bagi membataskan Perdana Menteri kepada orang Melayu-Islam sahaja adalah tidak wajar, dan lebih kepada mengapi-apikan keadaan.
  • Kenyataan Ahli Parlimen Machang itu hadir selepas veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menegaskan tiada sekatan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan bukan Melayu menjadi perdana menteri.

KUALA LUMPUR : Pihak pembangkang sewajarnya mencari idea untuk membantu mengangkat ekonomi serta mengurangkan beban rakyat daripada terus membangkitkan perkara yang tidak perlu.

Itu reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim saat diminta untuk mengulas saranan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.

Kenyataan Ahli Parlimen Machang itu hadir selepas veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menegaskan tiada sekatan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan bukan Melayu menjadi perdana menteri.

Jelas Anwar, saranan untuk dipinda Perlembagaan Persekutuan bagi membataskan Perdana Menteri kepada orang Melayu-Islam sahaja adalah tidak wajar, dan lebih kepada mengapi-apikan keadaan.

“Sekarang ini Perlembagaan ada, peraturan ada … ini bukan isu. Dan sekarang ini tidak menjadi isu, dan jangan kita rumitkan keadaan.

Ditanya sama ada perlu dibuat pindaan berkenaan, Perdana Menteri berkata, tidak ada perbincangan berhubung perkara tersebut.

“Tak ada keperluan, tak ada perbincangan. Sejak Merdeka sampai sekarang calon Perdana Menteri hanya Melayu … lepas ini calon daripada pembangkang pun Melayu. Jadi maju terus.

“Hak rakyat semua warganegara kita pelihara, jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum, semua wilayah,” katanya lagi.

Justeru Anwar meminta semua pihak tidak “merumitkan” keadaan dan pembangkang diminta tidak melaga-lagakan rakyat.

“Bukan isu masa sekarang. Jangan kita rumitkan keadaan. Ini cuma nak laga-lagakan…bagi orang Melayu dan orang Cina marah,” katanya.

Anwar menggesa pembangkang mencari isu lain atau memberi idea untuk mengangkat ekonomi negara dan mengurangkan beban rakyat.

“Jangan nak cari gaduh sahaja. Tak letih ke,” soalnya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar dan makan tengah hari di Restoran Mak Kimbong, Bandar Baru Bangi. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *