Terkini
Kerajaan digesa tingkatkan akses pendidikan kanak-kanak pelarian, tanpa kewarganegaraan – SUHAKAM
Kerajaan digesa mengiktiraf Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC) dan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di Malaysia sebagai laluan awal untuk meningkatkan akses pendidikan kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan.

- Kerajaan digesa mengiktiraf Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC) dan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di Malaysia sebagai laluan awal meningkatkan akses pendidikan kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan.
- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkata syor itu alternatif kepada kerajaan untuk memberikan pendidikan lebih selamat dan berkualiti kepada kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang.
- “SUHAKAM dan Asia Displacement Solutions Platform (ADSP) menggesa kerajaan mengiktiraf Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC) dan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di Malaysia sebagai laluan awal untuk meningkatkan akses pendidikan kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan yang lahir dalam kalangan ibu bapa bukan warganegara Malaysia.
- “Kerajaan juga digesa untuk melonggarkan syarat dan mempercepatkan pendaftaran kanak-kanak tanpa kewarganegaraan daripada ibu bapa warganegara Malaysia di sekolah awam melalui pengeluaran dokumen sementara,” kata SUHAKAM dalam kenyataan pada Sabtu.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengiktiraf Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC) dan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di Malaysia sebagai laluan awal untuk meningkatkan akses pendidikan kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkata syor itu sebagai alternatif kepada kerajaan untuk memberikan pendidikan lebih selamat dan berkualiti kepada kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang.
“SUHAKAM dan Asia Displacement Solutions Platform (ADSP) menggesa kerajaan mengiktiraf Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC) dan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di Malaysia sebagai laluan awal untuk meningkatkan akses pendidikan kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan yang lahir dalam kalangan ibu bapa bukan warganegara Malaysia.
“Kerajaan juga digesa untuk melonggarkan syarat dan mempercepatkan pendaftaran kanak-kanak tanpa kewarganegaraan daripada ibu bapa warganegara Malaysia di sekolah awam melalui pengeluaran dokumen sementara,” kata SUHAKAM dalam kenyataan pada Sabtu.
SUHAKAM berkata kerajaan perlu menggiatkan usaha untuk memastikan semua kanak-kanak menerima akses saksama kepada pendidikan percuma dan wajib tanpa mengira kewarganegaraan, sebagai satu penyelesaian jangka panjang.
Sebelum ini, media melaporkan hanya satu pertiga atau 14,000 daripada 49,220 kanak-kanak pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia setakat Jun tahun ini, mendapat akses pendidikan tidak rasmi di negara ini.
Ini bermakna lebih 35,000 kanak-kanak dalam golongan pelarian dan pencari suaka itu tidak mendapat akses kepada pendidikan tidak rasmi.
SUHAKAM berkata perkhidmatan yang sistematik dan berpaksikan kepada kanak-kanak boleh memperbaiki jaringan keselamatan sosial, sekali gus menyelamatkan mereka daripada terperangkap dalam jurang sedia ada.
Katanya, pendidikan dapat menjadi penyelesaian mampan dan meningkatkan ekosistem kanak-kanak di negara ini.
“Pendidikan berfungsi sebagai perlindungan yang boleh diakses oleh kanak-kanak bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa situasi yang tidak diingini seperti buruh kanak-kanak dan perkahwinan bawah umur.
“Ia juga boleh merendahkan kadar kemiskinan dan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak serta mengurangkan tekanan kepada penyedia perkhidmatan perlindungan kanak-kanak,” katanya.
SUHAKAM berkata ketiadaan pendidikan akan mengurangkan kelayakan kanak-kanak dalam proses penempatan semula dan menghalang integrasi sosio-ekonomi mereka.
Katanya, pendidikan amat penting bagi keluarga yang sedang mempertimbangkan repatriasi secara selamat, bermaruah dan sukarela.
“Ini bukan sahaja memupuk pertumbuhan sahsiah kanak-kanak tetapi juga menyumbang kepada matlamat yang lebih meluas dalam pembangunan semula komuniti apabila mereka kembali ke negara asal,” kata SUHAKAM — The Merdeka Times
Sumber: Facebook Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, OCC Suhakam
