Connect with us

Terkini

Syed Saddiq bersalah atas tuduhan pecah amanah, ubah wang haram

Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
  • Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah atas empat pertuduhan subahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
  • Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
  • “Mahkamah memutuskan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya melepasi keraguan munasabah,” kata Hakim Azhar.
  • Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Mahkamah memutuskan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya melepasi keraguan munasabah.

“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan,” kata Hakim Azhar.

Mahkamah kini sedang mendengar hujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Mohd ‘Afif Ali manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan ini, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. — BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Author

Terkini

JAKIM kaji cadangan wajibkan restoran ada sijil halal

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi atau minuman beralkohol.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi atau minuman beralkohol.
  • “Ketika ini tiada undang-undang mewajibkan pengusaha restoran atau syarikat makanan memiliki sijil halal.
  • “Bila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda. Banyak agensi akan terlibat untuk menguatkuasakannya,” kata Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dipetik FMT pada Khamis dalam sidang media di persidangan antarabangsa, International Conference on Family Law 2024.
  • Semakan status halal bagi premis Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw mendapati lima restoran terbabit bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

KUALA LUMPUR — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi atau minuman beralkohol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata ketika ini proses mendapatkan sijil halal lebih kepada sukarela oleh pengusaha restoran atau pemilik syarikat makanan.

“Ketika ini tiada undang-undang mewajibkan pengusaha restoran atau syarikat makanan memiliki sijil halal.

“Bila katakan kita nak mewajibkan semua (restoran) ada sijil halal beberapa akta ataupun undang-undang itu perlu perlu dipinda. Banyak agensi akan terlibat untuk menguatkuasakannya,” katanya dipetik FMT pada Khamis dalam sidang media di persidangan antarabangsa, International Conference on Family Law 2024.

Na’im berkata masyarakat Islam juga harus lebih peka dan mengambil inisiatif untuk menyemak status halal sesebuah restoran menerusi platform disediakan JAKIM seperti Portal Halal Malaysia.

Beliau berkata kesedaran yang tinggi dalam kalangan pengguna boleh membantu meningkatkan tekanan kepada pengusaha restoran untuk mendapatkan sijil halal.

Terdahulu, semakan status halal bagi premis Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw mendapati lima restoran terbabit bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

JAKIM dalam satu kenyataan dilaporkan berkata semakan itu dibuat berdasarkan dalam sistem MYeHALAL JAKIM bagi menjawab pertanyaan mengenai status halal beberapa premis makanan.

Susulan kenyataan itu, Johnny’s Restaurants, Black Canyon Malaysia dan Dolly Dim Sum tampil membuat penjelasan mengenai perkara berkenaan pada Rabu.

Mereka memberi jaminan bahan-bahan dan makanan separa siap dihantar ke semua cawangan restoran menerima sijil halal daripada JAKIM.

Foto: Tangkap layar hantaran Dolly Dim Sum di Facebook.

Dolly Dim Sum dalam satu kenyataan memaklumkan, dapur berpusat yang membekalkan bahan-bahan dan makanan separa siap ke semua cawangan telah menerima sijil halal dari JAKIM (JAKIM.700-2/3/1021-06/2024).

Sementara itu, pihak pengurusan Johnny’s Restaurants and Black Canyon Malaysia pula menjelaskan pada masa ini kedua-dua restoran itu belum lagi disahkan halal oleh JAKIM.

Foto: Kenyataan dikeluarkan Johnny’s Restaurant dan Black Canyon Malaysia.

Bagaimanapun, kedua-dua restoran itu menegaskan semua bahan mentah, termasuk ayam, telur, daging, diperoleh dari pembekal yang memiliki sijil halal. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending