Terkini
Pemimpin Arab dan Islam perlu guna kuasa ekonomi tekan Israel, AS – Hamas
Walaupun hasil Sidang Kemuncak Arab-Islamik tidak memperlihatkan langkah dan mekanisme berkesan untuk menghentikan kekejaman zionis Israel namun Hamas masih berharap agar pemimpin-pemimpin Arab dan Islam terus menggunakan kuasa politik dan ekonomi mereka untuk mendesak Washington agar hentikan pembunuhan terhadap orang awam dan kanak-kanak di Gaza.

- Kumpulan pembebasan Hamas pada hari ini menyatakan harapan mereka supaya pemimpin-pemimpin Arab dan Islam menggunakan kuasa politik dan ekonomi mereka untuk mendesak Washington yang terlibat dalam pencerobohan tanah Palestin.
- Kumpulan pembebasan itu menghargai usaha sidang kemuncak itu diadakan serta ucapan-ucapan kebanyakan pemimpin dunia di persidangan itu tetapi melihat tiada langkah atau mekanisme berkesan yang dikemukakan untuk menghentikan serangan pengganas Israel di Gaza.
KUALA LUMPUR — Walaupun hasil Sidang Kemuncak Arab-Islamik tidak memperlihatkan langkah dan mekanisme berkesan untuk menghentikan kekejaman zionis Israel namun Hamas masih berharap agar pemimpin-pemimpin Arab dan Islam terus menggunakan kuasa politik dan ekonomi mereka untuk mendesak Washington agar hentikan pembunuhan terhadap orang awam dan kanak-kanak di Gaza.
“Kami mengharapkan saudara Arab dan Islam kami menggunakan kuasa politik dan ekonomi mereka untuk menekan Washington supaya dihentikan pencerobohan mereka terhadap orang awam dan kanak-kanak (Palestin),” ujar Hamas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan buat media di saluran Telegram rasmi mereka.
Hamas dalam pada itu turut memuji keputusan sidang kemuncak tersebut dalam menggesa kemasukan segera bahan keperluan, bantuan perubatan serta bahan api ke Gaza dengan menyifatkan ia satu langkah yang tepat.
“Kami sedang menunggu pelaksanaan segera keputusan itu dengan terbukanya lintasan dan koridor kemanusiaan Gaza secara kekal.”
Dalam kenyataan itu, Hamas turut menggesa masyarakat dunia agar terus meningkatkan aktivisme dalam solidariti bersama rakyat Palestin dengan menegaskan bahawa “suara kalian jauh lebih kuat berbanding keganasan dan peluru berpandu” kumpulan pengganas Israel.-The Merdeka Times
Sumber: Telegram Rasmi Gerakan Hamas
