Kolumnis
Masih utuhkah solidariti rakyat Malaysia buat rakyat Palestin?
SEJAK operasi ketenteraan Hamas melalui operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober lalu, dapat dilihat seluruh dunia berbelah bagi di dalam memberikan sokongan kepada rakyat Palestin dalam mempertahankan diri daripada terus dijajah rejim zionis.

SEJAK operasi ketenteraan Hamas melalui operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober lalu, dapat dilihat seluruh dunia berbelah bagi di dalam memberikan sokongan kepada rakyat Palestin dalam mempertahankan diri daripada terus dijajah rejim zionis.
Malah, pelbagai siri tunjuk perasaan dan perhimpunan menyokong perjuangan rakyat Palestin telah diadakan di bandar-bandar utama dunia.
Di peringkat antarabangsa, beberapa negara khusus di bahagian Selatan Amerika telah memutuskan hubungan diplomatik dan memanggil duta-duta pulang ke negara masing-masing.
Negara-negara Islam juga dilihat tidak bertegas di dalam perkara ini. Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) tidak memberi tindakan yang tegas di dalam mengetuai negara-negara Islam berkaitan kekejaman zionis Israel yang merupakan isu utama sejagat.
Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) seperti biasa dilihat gagal di dalam menghentikan pembunuhan rakyat Palestin yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang merupakan jumlah korban tertinggi di dalam konflik ini yang telah berlarutan lebih 70 tahun.
Pelbagai resolusi telah dibincangkan, diundi dan diputuskan hanyalah bersifat retorik semata-mata yang tidak berjaya membawa perubahan di dalam konflik ini.
Ini jelas menunjukkan kuasa veto di dalam UNSC dan sekutu-sekutu Israel berjaya melobi untuk kepentingan zionis Israel di dalam meneruskan serangan pengeboman yang boleh dianggap sebagai jenayah perang dan kemanusiaan.
Di dalam landskap solidariti Malaysia, dapat dilihat secara jelas pendirian Malaysia sejak dahulu untuk tidak mengiktiraf negara haram Israel.
Namun, adalah penting bahawa konsep penyelesaian dua negara tidak wajar disokong oleh Malaysia yang mana ianya adalah suatu konsep yang gagal.
Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan pejuang hak asasi manusia menyuarakan bantahan terhadap konflik yang berlarutan ini, namun di dalam keghairahan itu dapat dilihat rakyat masih berbelah bagi dalam memberikan sokongan padu dan penuh kepada perjuangan rakyat Palestin.
Malah, perhimpunan dan sokongan itu juga dilihat ada menimbulkan perpecahan dalam kalangan peserta yang tidak jelas dengan perjuangan rakyat Palestin.
Daripada segi penggunaan media sosial, terdapat maklumat dan aduan daripada rakyat Malaysia bahawa perkongsian berkenaan perjuangan rakyat Palestin telah disekat di ruangan media sosial dengan tujuan maklumat itu tidak sampai kepada masyarakat.
Ini juga dilihat sebagai suatu penguasaan oleh pihak-pihak tertentu di dalam memastikan maklumat berkenaan isu Palestin ini tidak sampai kepada rakyat Malaysia.
Malah, kita juga dapat melihat segelintir media tempatan yang terus melabel pejuang Hamas sebagai militan atau pengganas seperti dicanangkan media barat.
Selain itu, terdapat laporan bahawa rakyat Malaysia juga tidak jelas dengan perjuangan asas rakyat Palestin yang telah ditindas sejak lebih 70 tahun dan buta berkenaan sejarah pembunuhan dan pengusiran terbesar dalam sejarah dunia.
Laporan bercanggah dengan pendirian Malaysia jelas akan memberikan kekeliruan kepada rakyat Malaysia di dalam memahami naratif perjuangan rakyat Palestin.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia tidak wajar berkompromi di dalam memberi sebarang sokongan kepada zionis Israel sama ada melalui ekonomi, moral dan tindakan.
Ahli-ahli Parlimen juga perlu mempunyai sokongan yang penuh kepada pendirian Malaysia yang telah dizahirkan secara jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak menyokong sebarang agenda zionis Israel di dalam terus melakukan jenayah kemanusiaan terhadap penduduk Palestin. – The Merdeka Times
Muhamad Hisham Marzuki adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
Kolumnis
Dakwaan rasuah: Aduan bertulis atau lisan, SPRM siasat Ahli Parlimen menukar sokongan
BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa antara lain terdapat unsur rasuah berkenaan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang berubah angin menyokong pentadbiran kerajaan di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10.

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mendakwa antara lain terdapat unsur rasuah berkenaan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang berubah angin menyokong pentadbiran kerajaan di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Pada 14 November lalu, Bersatu membuat laporan polis susulan daripada dakwaan mantan Perdana Menteri Malaysia ke-8 itu di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 November 2023 melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan telus berhubung dakwaan Muhyiddin.
Merujuk peruntukan Seksyen 29 Akta SPRM (Akta 694), SPRM mempunyai punca kuasa untuk menyiasat sebarang aduan dan maklumat berkenaan mana-mana pelakuan suatu kesalahan yang wujud di bawah Akta SPRM.
Aduan atau maklumat yang dimaksudkan itu boleh disampaikan secara bertulis atau lisan kepada SPRM dan selanjutnya pegawai SPRM boleh menjalankan siasatan terhadap aduan dan maklumat tersebut menurut peruntukan Akta SPRM dan Kanun Tatacara Jenayah berkenaan prosedur dan tatacara pengendalian siasatan.
Dalam konteks ini, dapat kita lihat bahawa bentuk aduan dan maklumat berkenaan mana-mana kesalahan di bawah Akta SPRM boleh dibuat sama ada dalam bentuk bertulis atau lisan kepada pihak penguatkuasa sama ada pihak polis atau SPRM secara langsung.
Sekiranya laporan polis telah dibuat, maka pihak polis akan merujuk laporan polis itu kepada SPRM sekiranya terdapat atau wujud elemen-elemen kesalahan yang menjurus kepada peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM sebagaimana dalam isu yang viral ini.
Selanjutnya apabila pegawai penyiasat SPRM membuat siasatan bagi aduan dan maklumat tersebut, peruntukan Seksyen 30 Akta SPRM memberi punca kuasa kepada pegawai penyiasat SPRM untuk mengarahkan mana-mana individu untuk hadir dengan membawa sebarang dokumen diperlukan atau sebaliknya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dijalankan terhadap aduan dan maklumat yang dibuat itu.
Bagi maksud siasatan dijalankan pegawai SPRM tersebut jua mempunyai punca kuasa untuk memeriksa dan menggeledah termasuk menyita apa-apa barang yang dijumpai tanpa memerlukan waran kecuali bagi tujuan pemeriksaan badan individu oleh pegawai SPRM hendaklah dilakukan oleh orang yang sama jantinanya sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 31 Akta SPRM.
Kemudiannya pada 28 November 2023, SPRM membuat kenyataan media bahawa tiada unsur rasuah setakat ini terhadap empat Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar, menunjukkan bahawa pada ketika ini tiada sebarang elemen kesalahan yang dipenuhi dalam mana-mana peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM untuk mewajarkan SPRM meneruskan pengesyoran pendakwaan kepada Pendakwa Raya sebagaimana peruntukan Seksyen 58 Akta SPRM.
Walau bagaimanapun, sekiranya pada masa hadapan terdapat keterangan yang memenuhi elemen-elemen kesalahan mana-mana peruntukan kesalahan di bawah Akta SPRM, maka SPRM boleh meneruskan siasatan sedia ada bagi melengkapkan kertas siasatan tersebut.
Adalah perlu diketahui bahawa bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta SPRM hendaklah terlebih dahulu mendapat keizinan daripada Pendakwa Raya bagi pendakwaan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan di dalam Akta SPRM dilaksanakan di Mahkamah.
Akhirul kalam, undang-undang pencegahan rasuah di negara kita telah mencakupi pelbagai aspek kesalahan rasuah dan kesalahan berhubung rasuah sebagaimana terkandung di dalam Akta SPRM.
Matlamat penubuhan SPRM sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab selari dengan peruntukan Seksyen 2 Akta SPRM adalah wajar dilaksanakan dengan telus dan berintegriti terhadap pentadbiran awam dan swasta, termasuk mana-mana individu tidak kira latar belakang dan status jawatannya dalam mendaulatkan undang-undang negara.
Segala aduan dan maklumat disalurkan kepada SPRM hendaklah dipandang serius dalam meletakkan kepercayaan rakyat kepada badan penguatkuasa bebas di negara kita. – The Merdeka Times
Muhammad Hariz Md Yusoff adalah Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
-
Terkini4 days ago
Kibar bendera Israel, lelaki dipenjara enam bulan
-
Terkini4 days ago
Terus beku akaun Aman Palestin, SPRM umpama ‘dera’ penduduk Gaza – Tun Mahathir
-
Terkini4 days ago
Peguam bidas Justice For Sisters kecam penubuhan pusat pemulihan LGBT di Johor
-
Antarabangsa4 days ago
Bekas banduan Palestin dakwa dicabul, diserang guna anjing di penjara rejim Israel