Terkini
RUU suruhanjaya kanak-kanak dibentang di Parlimen bulan depan – Azalina
Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia diharapkan dapat dibentangkan secepat mungkin dalam mesyuarat di Parlimen bulan depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

- Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia diharapkan dapat dibentangkan secepat mungkin dalam mesyuarat di Parlimen bulan depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
- Azalina menerusi ciapan di Twitter hari ini, berkata pihaknya berbesar hati menerima cadangan daripada organisasi masyarakat awam dan hak kanak-kanak mengenai perkara berkenaan.
- “Menjaga perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita mesti mewujudkan integriti nasional dengan memperjuangkan hak setiap kanak-kanak,” katanya.
- Beliau berkata kerajaan komited menegakkan hak kanak-kanak dan mengiktiraf kepentingan ketelusan dan badan pengawasan bebas, seperti pesuruhjaya kanak-kanak.
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia diharapkan dapat dibentangkan secepat mungkin dalam mesyuarat di Parlimen bulan depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina menerusi ciapan di Twitter hari ini, berkata pihaknya berbesar hati menerima cadangan daripada organisasi masyarakat awam dan hak kanak-kanak mengenai perkara berkenaan.
“Cadangan berkenaan menggambarkan bagaimana mereka menyokong usaha perundangan kerajaan.
“Menjaga perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita mesti mewujudkan integriti nasional dengan memperjuangkan hak setiap kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk menegakkan hak kanak-kanak dan mengiktiraf kepentingan ketelusan dan badan pengawasan bebas, seperti pesuruhjaya kanak-kanak.
Beliau sudah bertemu dengan pihak berkepentingan termasuk berbincang dengan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di luar negara dan meneliti isu terbabit dengan teliti.
“Ia bertujuan untuk menubuhkan sebuah badan bebas bagi menegakkan hak semua kanak-kanak di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata akta khusus untuk suruhanjaya kanak-kanak di negara ini yang menjadi kesinambungan kepada pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak.
Beliau berkata, akta itu akan dibentang selepas Rang Undang-Undang Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dilulus dan dikuatkuasakan.
“Adanya akta itu nanti, maka Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang ditempatkan di SUHAKAM akan menerajui Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak secara bebas,” kata Azalina.
Sumber: Berita Harian
