Connect with us

Terkini

Isu Hadis 40: NGO bukan Islam jangan campur tangan urusan Islam – BERJASA

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam diminta tidak campur tangan urusan umat Islam dalam isu hadis 40 Imam Nawawi yang menjadi polemik ketika ini, kata Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hanani Zulkifli

Published

on

Isu Hadis 40: NGO bukan Islam jangan campur tangan urusan Islam – BERJASA
Foto: Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim.
  • Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam diminta tidak campur tangan urusan umat Islam dalam isu hadis 40 Imam Nawawi yang menjadi polemik ketika ini, kata Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim.
  • Zamani berkata ini kerana perkara berkenaan agama Islam sudah termaktub dalam perlembagaan yang jelas menyatakan Islam sebagai agama persekutuan di mana Islam dibenarkan diamalkan, malah dikembangkan di negara ini. 
  • Katanya, apatah lagi pengajaran hadis 40 itu hanya dilaksanakan di sekolah-sekolah agama dan bukannya di sekolah India mahupun sekolah Cina, maka ia tidak menyalahi undang-undang dan perlembagaan negara ini. 
  • “NGO-NGO bukan Islam jangan cuba campur tangan dalam isu yang ada termaktub dalam jaminan perlembagaan negara kita. Apa masalahnya? Orang Islam hendak beramal dengan hadis nabi mereka. Orang Islam hendak beramal dengan al-Quran mereka, tiada salah undang-undang,” kata Zamani dalam satu hantaran video di akaun Facebooknya semalam.
  • Media pada 19 Ogos lalu melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah yang antara lain untuk menerapkan kefahaman agama dan memupuk semangat kasih sayang, khususnya dalam kalangan guru dan pelajar Islam. 
  • Beberapa pertubuhan bukan Islam dilaporkan membantah pelaksanaan modul hadis tersebut dengan kebimbangan ia membabitkan pelajar bukan Islam.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam diminta tidak campur tangan urusan umat Islam dalam isu hadis 40 Imam Nawawi yang menjadi polemik ketika ini, kata Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim.

Zamani berkata ini kerana perkara berkenaan agama Islam sudah termaktub dalam perlembagaan yang jelas menyatakan Islam sebagai agama persekutuan di mana Islam dibenarkan diamalkan, malah dikembangkan di negara ini. 

Katanya, apatah lagi pengajaran hadis 40 itu hanya dilaksanakan di sekolah-sekolah agama dan bukannya di sekolah India mahupun sekolah Cina, maka ia tidak menyalahi undang-undang dan perlembagaan negara ini. 

“NGO-NGO bukan Islam jangan cuba campur tangan dalam isu yang ada termaktub dalam jaminan perlembagaan negara kita. Apa masalahnya? Orang Islam hendak beramal dengan hadis nabi mereka. Orang Islam hendak beramal dengan al-Quran mereka, tiada salah undang-undang.

“Di dalam perlembagaan itu termaktub bahawa Islam agama Persekutuan, maknanya negara ini beragama iaitu Islam, dan Islam itu boleh dikembangkan di dalam negara ini. Namun di masa yang sama di dalam Perlembagaan, agama-agama lain bebas untuk mengamalkannya. Apa isu sebenarnya yang hendak disuarakan oleh NGO bukan Islam ini terhadap silibus Hadis 40?

“Hadis 40 itu dilaksanakan di sekolah agama sebenarnya bukannya dilaksanakan di sekolah India, sekolah Cina tetapi ianya dilaksanakan di sebuah sekolah agama. Ini perlu dilihat, negara kita ini adanya perlembagaan,” kata Zamani dalam satu hantaran video di akaun Facebooknya semalam. 

Media pada 19 Ogos lalu melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah yang antara lain untuk menerapkan kefahaman agama dan memupuk semangat kasih sayang, khususnya dalam kalangan guru dan pelajar Islam. 

Beberapa pertubuhan bukan Islam dilaporkan membantah pelaksanaan modul hadis tersebut dengan kebimbangan ia membabitkan pelajar bukan Islam.

KPM pada 25 Ogos lalu bagaimanapun menegaskan modul pengajaran hadis 40 itu khusus untuk pelajar Islam, namun tetap ditentang kumpulan tertentu yang disifatkan sesetengah pihak sebagai ‘ekstremis anti-Islam’.

Melihat situasi itu, Zamani menggesa umat Islam supaya tidak tunduk dan akur kepada permintaan golongan anti-Islam itu sehingga meragui usaha baik kerajaan tersebut. 

“Orang Islam jangan tunduk, jangan mengambil pertimbangan-pertimbangan yang tak rasional untuk kita undur ke belakang sehingga kita ragu-ragu untuk menyambut agenda yang ingin dilaksanakan oleh Perdana Menteri kita menjadikan silibus hadis 40 itu di sekolah agama.

Sambut ramai-ramai, jangan kita politikkan dan jangan kita gentar kepada suara-suara NGO bukan Islam yang cuba campur tangan dalam urusan ini. Kita mesti menentukan hak agama kita. Ini bukan sentuh bab 3R tetapi ini termaktub dalam perlembagaan. 

“Orang Islam juga boleh mengamalkan sistem agama mereka, hujah-hujah agama mereka, hukum-hukum agama mereka, sumber hukum agama mereka di dalam sekolah agama mereka,” kata Zamani. – The Merdeka Times 

Sumber: Facebook Zamani Ibrahim

Author