Connect with us

Antarabangsa

Iran tuntut Sweden bertindak terhadap pembakar al-Quran, sebelum bertukar duta

Iran menuntut Sweden mengambil tindakan ke atas pembakaran Al-Quran sebelum kedua-dua negara boleh bertukar duta sekali lagi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Iran tuntut Sweden bertindak terhadap pembakar al-Quran, sebelum bertukar duta
Foto: Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian.
  • Iran menuntut Sweden mengambil tindakan ke atas pembakaran Al-Quran sebelum kedua-dua negara boleh bertukar duta sekali lagi.
  • Kementerian Luar Negara Iran, semalam turut menggesa membebaskan seorang rakyat negara itu yang dipenjarakan.
  • Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian membincangkan isu Al-Quran dengan rakan sejawatannya dari Sweden, Tobias Billstrom di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
  • “Mengenai pertukaran duta, kami sedang menunggu tindakanS yang baik dalam isu Al-Quran di Sweden,” kata utusan tertinggi Iran.

TEHRAN: Iran menuntut Sweden mengambil tindakan ke atas pembakaran Al-Quran sebelum kedua-dua negara boleh bertukar duta sekali lagi.

Kementerian Luar Negara Iran, semalam turut menggesa membebaskan seorang rakyat negara itu yang dipenjarakan.

Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian membincangkan isu Al-Quran dengan rakan sejawatannya dari Sweden, Tobias Billstrom di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

“Mengenai pertukaran duta, kami sedang menunggu tindakan yang baik dalam isu Al-Quran di Sweden,” kata utusan tertinggi Iran.

Sweden menyaksikan beberapa siri pembakaran awam kitab suci Islam. Stockholm menyuarakan kecaman namun berkata ia tidak boleh menghentikan tindakan yang dilindungi di bawah undang-undang membabitkan kebebasan bersuara.

Julai lalu, Iran berkata ia tidak akan membenarkan duta baharu Sweden ke negara itu selepas misi utusan terakhir berkenaan tamat.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi beberapa hari lalu mengangkat Al-Quran di mimbar PBB dan mengisytiharkan bahawa “api yang tidak mempunyai rasa hormat tidak akan mengatasi kebenaran ilahi”, selain mengutuk “Islamofobia dan apartheid budaya” di Barat.

Amir-Abdollahian memberitahu rakan sejawatannya dari Sweden bahawa “mempertahankan nilai Sweden dengan mengabaikan dua bilion umat Islam di dunia adalah tidak boleh diterima”.

Beliau juga menggesa Stockholm membebaskan Hamid Noury, seorang warga Iran yang ditahan pada November 2019 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan atas hukuman mati terhadap banduan secara beramai-ramai yang diarahkan oleh Tehran pada 1988.

“Kami menjangkakan bahawa kerajaan Sweden akan membuat keputusan yang bijak dan berani dalam peringkat rayuan dan membebaskan Noury. Kami bersedia untuk kerjasama yang positif dan membina dalam pelbagai bidang”.

Kenyataan itu tidak menyentuh warga Sweden yang dipenjarakan di Iran, termasuk diplomat Kesatuan Eropah (EU), Johan Floderus, 33, yang ditahan selama lebih 500 hari.

Pada Julai tahun lalu, Iran mengumumkan menangkap seorang warga Sweden kerana disyaki melakukan pengintipan dan awal bulan ini badan kehakiman Iran menyatakan bahawa warga Sweden itu melakukan jenayah di Iran.

Seorang lagi warga negara Iran-Sweden, ahli akademik Ahmadreza Djalali, berisiko dihukum gantung selepas disabit atas tuduhan “rasuah di muka bumi” di Iran, yang tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan.

Dia dijatuhi hukuman mati pada 2017 kerana didakwa mengintip untuk Israel, tuduhan yang ditolak keluarganya sekeras-kerasnya.

Pada bulan Mei lalu, Iran menggantung seorang lagi warga Sweden-Iran, Habib Chaab, atas sabitan keganasan yang mendapat kecaman keras dari Sweden.

Chaab, seorang penentang Iran, ditahan di republik itu sejak Oktober 2020 selepas dia hilang ketika lawatan ke Turkiye.

Chaab juga disabitkan dengan “rasuah di bumi” selepas didapati bersalah mengetuai kumpulan pemberontak yang dituduh melancarkan serangan di Iran sejak 2005.

Iran menghukum mati lebih ramai orang setiap tahun berbanding negara lain kecuali China, menurut kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *