Antarabangsa
Google bayar pampasan AS$93 juta kepada California
Google akan membayar pampasan AS$93 juta (RM435.4 juta) kepada California bagi menyelesaikan saman menuduh enjin cariannya mengelirukan pelanggan berhubung amalan penjejakan lokasi.

- Google akan membayar pampasan AS$93 juta (RM435.4 juta) kepada California bagi menyelesaikan saman menuduh enjin cariannya mengelirukan pelanggan berhubung amalan penjejakan lokasi.
- Penyelesaian diumumkan semalam oleh Peguam Negeri California, Rob Bonta, berhubung tuntutan unit Alphabet Inc memperdaya orang ramai mempercayai mereka dapat mengawal Google mengumpul dan menggunakan data peribadi mereka.
- Orang ramai diperdaya mereka berupaya menyekat paparan iklan sekiranya tidak mahu.
- Persetujuan dicapai menetapkan beberapa langkah menambah baik kerahsiaan pelanggan, termasuk syarat Google mendedahkan lebih banyak maklumat bagaimana menjejaki pelanggan dan apa dilakukan dengan data terkumpul.
CALIFORNIA: Google akan membayar pampasan AS$93 juta (RM435.4 juta) kepada California bagi menyelesaikan saman menuduh enjin cariannya mengelirukan pelanggan berhubung amalan penjejakan lokasi.
Penyelesaian diumumkan semalam oleh Peguam Negeri California, Rob Bonta, berhubung tuntutan bahawa unit Alphabet Inc memperdaya orang ramai mempercayai bahawa mereka dapat mengawal bagaimana Google mengumpul dan menggunakan data peribadi mereka.
California berkata Google berupaya mengetahui ‘minat’ pelanggan dan menyasarkan mereka dengan pengiklanan berkaitan, meskipun mereka sudah menutup fungsi ‘Sejarah Lokasi’ pada telefon bimbit.
Kesimpulannya, orang ramai diperdaya bahawa mereka berupaya menyekat paparan iklan sekiranya mereka tidak mahu.
Persetujuan yang dicapai turut menetapkan beberapa langkah bagi menambah baik kerahsiaan pelanggan, termasuk syarat Google mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai bagaimana ia menjejaki pelanggan dan apa yang dilakukan dengan data terkumpul.
“Google membuat kenyataan palsu bahawa ia tidak akan menjejaki lokasi pelanggan jika mereka tidak mahukannya, malah melakukan perkara sebaliknya.
“Mereka terus menjejaki pelanggan bagi kepentingan komersial peribadi dan ini tidak boleh diterima sama sekali,” kata Bonta.
Syarikat berpangkalan di California yang terbabit dalam kes berkenaan, The Mountain View, tidak mengakui liabiliti walaupun bersetuju dengan penyelesaian itu.
Google meraih AS$110.9 bilion (RM519.2 bilion) pendapatan pengiklanan dalam separuh pertama 2023 iaitu 81 peratus daripada keuntungan keseluruhan AS$137.7 bilion (RM644.7 bilion).
November lalu, Google bersetuju membayar AS$391.5 juta (RM1.83 bilion) bagi menyelesaikan dakwaan seumpamanya yang dikemukakan 40 negeri lain di AS selain mencapai penyelesaian dengan Arizona dan Washington.
Negeri tertentu seperti California, memilih untuk memfailkan sendiri saman terhadap Google.
Dalam satu e-mel, semalam, jurucakap Google yang merujuk kepada blog membincangkan penyelesaian beberapa negeri itu berkata ia merujuk kepada ‘dasar ketinggalan zaman yang sudah ditukar bertahun dulu’. – REUTERS
Sumber: Berita Harian
