Antarabangsa
AS sokong ASEAN tamatkan keganasan di Myanmar – Kamala Harris
Amerika Syarikat berjanji menyokong ASEAN dalam menyelesaikan krisis di Myanmar, di saat junta tentera bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan sejak rampasan kuasa 2021.

- Amerika Syarikat berjanji menyokong ASEAN dalam menyelesaikan krisis di Myanmar, di saat junta tentera bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan sejak rampasan kuasa 2021.
- “Amerika Syarikat akan terus menekan rejim itu bagi menamatkan keganasan demi membebaskan semua individu yang ditahan secara tidak adil, dan untuk mengembalikan semula Myanmar kepada demokrasi inklusif,” kata Naib Presiden AS Kamala Harris kepada sidang kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
- Washington akan terus menzahirkan “hubungan yang berkekalan dan penting antara Amerika Syarikat dan Asia Tenggara”, katanya.
- Tentera Myanmar merampas kuasa pada Februari 2021, menggulingkan pemimpin yang dipilih secara demokratik Aung San Suu Kyi.
JAKARTA — Amerika Syarikat berjanji menyokong ASEAN dalam menyelesaikan krisis di Myanmar, di saat junta tentera bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan sejak rampasan kuasa 2021.
“Amerika Syarikat akan terus menekan rejim itu bagi menamatkan keganasan demi membebaskan semua individu yang ditahan secara tidak adil, dan untuk mengembalikan semula Myanmar kepada demokrasi inklusif,” kata Naib Presiden AS Kamala Harris kepada sidang kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Washington akan terus menzahirkan “hubungan yang berkekalan dan penting antara Amerika Syarikat dan Asia Tenggara”, katanya.
Tentera Myanmar merampas kuasa pada Februari 2021, menggulingkan pemimpin yang dipilih secara demokratik Aung San Suu Kyi.
Pemenang Hadiah Keamanan Nobel sejak itu telah ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara.
Myanmar kini hampir terasing sepenuhnya di peringkat antarabangsa.
Ahli junta tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat ASEAN, dengan isu itu menjadi agenda utama sekali lagi pada sidang kemuncak tahun ini.
AS akan “terus menyokong konsensus lima perkara ASEAN secara lebih meluas”, kata Harris, merujuk kepada rancangan yang dirangka oleh anggota ASEAN pada 2021 untuk menyelesaikan krisis Myanmar.
Ia menetapkan keganasan segera dihentikan dan menyeru dialog antara semua pihak yang terlibat dalam konflik.
Pihak junta telah mengabaikan rancangan itu.
Pemimpin 10 negara anggota ASEAN sedang bermesyuarat di ibu negara Indonesia sehingga Khamis.
Selain Harris, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Perdana Menteri China Li Qiang juga telah mengambil bahagian dalam persidangan tiga hari itu.
Kerjasama di Laut China Selatan, kemampanan, kerjasama ekonomi, hak asasi manusia dan keselamatan siber juga termasuk dalam agenda itu. – BERNAMA
Sumber: Bernama
Antarabangsa
(VIDEO) Tentera rejim zionis rogol kanak-kanak lelaki Palestin di Penjara Israel – Bekas pegawai kanan AS
Bekas Pengarah di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Josh Paul mendedahkan insiden tentera Israel merogol tahanan kanak-kanak lelaki di penjara Moscovia, Baitulmaqdis.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Josh Paul mendedahkan insiden tentera Israel merogol tahanan kanak-kanak lelaki di penjara Moscovia, Baitulmaqdis.
Perkara itu disebutnya dalam temu ramah dengan Christiane Amanpour di CNN hari ini ketika diajukan kenyataan mengenai sifat kemanusiaan di Gaza kini pada tahap yang tidak sepatutnya boleh diterima.
“Kamu menyebut tentang keganasan seksual, saya (merupakan) sebahagian dari proses pemeriksaan hak asasi manusia, menapis persenjataan diberikan kepada Israel.
“Organisasi kebajikan dengan nama Pertahanan Antarabangsa Kanak-kanak Palestin (DCIP) menarik perhatian kami, berkenaan satu serangan seksual atau sebenarnya satu (kes) rogol kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun yang berlaku di penjara Israel di Moscovia di Jerusalem (Baitulmaqdis).
“Kami menyiasat dakwaan ini, kami dapati ia boleh dipercayai dan kami mempertanggungjawabkan perkara itu ke atas kerajaan Israel,” katanya.
Paul turut menceritakan tindakan tentera zionis Israel pada keesokan harinya menyerbu organisasi yang menyimpan maklumat kanak-kanak Palestin dalam tahanan rejim Israel itu.
“Kamu tahu apa yang berlaku keesokan harinya?, IDF (tentera rejim zionis Israel) memasuki pejabat pegawai DCIP, rampas komputer mereka, dan isytiharkan mereka sebagai sebuah entiti pengganas,” katanya kepada Amanpour.
Paul berkata kekejaman tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa pun, samada kekejaman pencabulan seksual atau apa sahaja pencabulan melampau hak asasi manusia.
Statistik DCIP menunjukkan, setakat hari ini, 156 kanak-kanak ditahan atas sebab “keselamatan”, 23 kanak-kanak ditahan atas sebab undang-undang dengan catatan kemas kini terakhir pada September lalu.
Manakala jumlah kematian kanak-kanak pada 2023 disebabkan peluru hidup dilaporkan DCIP adalah 92 mangsa dengan kemas kini terakhir pada bulan ini. – The Merdeka Times
Sumber: Youtube – CNN, Defence for Children International Palestine
View this post on Instagram
-
Terkini2 days ago
Kredit e-Madani dilarang pindah atau tebus tunai, akaun boleh disekat
-
Terkini24 hours ago
(VIDEO) Tular rakyat Malaysia gesa Kedutaan Israel dibuka di negara ini
-
Terkini2 days ago
Warganegara Malaysia wajib fasih Bahasa Melayu, tiada kompromi – Menteri KDN
-
Terkini2 days ago
DBKL tarik balik larangan jual arak