Connect with us

Antarabangsa

NGO Malaysia, Thailand sedia kerjasama bantu mangsa letupan gudang di Narathiwat

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan Selatan Thailand akan bekerjasama untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang terjejas akibat letupan di gudang penyimpanan mercun dan bunga api di Mundok, Sungai Kolok, Narathiwat.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

NGO Malaysia, Thailand sedia kerjasama bantu mangsa letupan gudang di Narathiwat
Foto: Penduduk melihat rumah yang rosak akibat letupan berkenaan.
  • Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan Selatan Thailand akan bekerjasama untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang terjejas akibat letupan di gudang penyimpanan mercun dan bunga api di Mundok, Sungai Kolok, Narathiwat.
  • Pengerusi Inisiatif Madani Serantau (IMAR) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini bagi memastikan pengagihan bantuan yang lebih sistematik dan mengelak daripada berlakunya pembaziran. 
  • IMAR merupakan satu inisiatif yang menggabungkan NGO di Malaysia dan lima wilayah di Selatan Thailand bagi melaksanakan kerja-kerja berkaitan kebajikan, ekonomi, pendidikan, khidmat masyarakat serta agama dan budaya.
  • Mohd Azmi yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata NGO Malaysia dan Thailand juga akan bekerjasama untuk membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal membina semula rumah mereka. 

NARATHIWAT — Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan Selatan Thailand akan bekerjasama untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang terjejas akibat letupan di gudang penyimpanan mercun dan bunga api di Mundok, Sungai Kolok, Narathiwat.

Pengerusi Inisiatif Madani Serantau (IMAR) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini bagi memastikan pengagihan bantuan yang lebih sistematik dan mengelak daripada berlakunya pembaziran. 

“Selepas meninjau lokasi kejadian dan mendengar sendiri keperluan mangsa yang terjejas, kami akan merancang dan mengagihkan bantuan dan sumbangan secara sistematik dan terus kepada golongan terjejas,” katanya kepada Bernama.

IMAR merupakan satu inisiatif yang menggabungkan NGO di Malaysia dan lima wilayah di Selatan Thailand bagi melaksanakan kerja-kerja berkaitan kebajikan, ekonomi, pendidikan, khidmat masyarakat serta agama dan budaya.

Mohd Azmi yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata NGO Malaysia dan Thailand juga akan bekerjasama untuk membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal membina semula rumah mereka. 

Sementara itu, Penasihat Korporat Yayasan Al Manjie Lila Ruzaini Hussain berkata berdasarkan tinjauan, selain tempat tinggal, mangsa terjejas juga memerlukan makanan kering, “hygiene kits” dan ubat-ubatan. 

Pada 29 Julai, letupan di gudang penyimpanan mercun dan bunga api di Mundok, Sungai Kolok, Narathiwat  telah meragut 11 nyawa, manakala lebih 300 orang cedera dan 680 premis termasuk rumah, kedai dan sekolah musnah serta rosak. 

Selain itu, 41 kenderaan dan 27 motosikal turut musnah, manakala lebih 3,000 penduduk terjejas.

Sepasang suami isteri warga Thailand yang merupakan pemilik gudang penyimpanan mercun dan bunga api telah ditahan polis selepas menyerah diri pada Sabtu lepas. 

Mereka berdepan empat pertuduhan termasuk kecuaian sehingga menyebabkan kematian, mengimport dan menjual bunga api dan mercun berbahaya tanpa permit, serta mengubah suai bangunan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan. – BERNAMA

Sumber : Bernama

Author