Terkini
‘Melawan’ Islam dan ‘memperjuangkan’ Islam dua perkara berbeza – MB Kelantan
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menafikan dakwaan beliau melabel dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Kelantan sebagai melawan perjuangan Islam.

- Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menafikan dakwaan beliau melabel dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Kelantan sebagai melawan perjuangan Islam.
- Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Meranti itu menegaskan dalam ucapan dirujuk itu, beliau hanya menyebut sebagai perjuangan Islam dan bukannya melawan Islam sebagai mana didakwa kedua-dua wakil rakyat terbabit.
- “Jadi, jangan buat kenyataan yang bukan-bukan, sedangkan kita sendiri kurang faham dengan ucapan yang disampaikan oleh seseorang. Selain itu, dalam dunia politik kita tidak boleh mudah ‘koyak’,” ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa ribut di Masjid Kampung Kota, di sini, semalam.
- Nassuruddin memberi bayangan bahawa beliau tidak akan meminta maaf kerana beranggapan tidak melakukan kesalahan.
KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, menafikan dakwaan beliau melabel dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Kelantan sebagai melawan perjuangan Islam.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu menegaskan dalam ucapan yang dirujuk itu, beliau hanya menyebut sebagai perjuangan Islam dan bukannya melawan Islam sebagai mana didakwa kedua-dua wakil rakyat terbabit.
Justeru, beliau meminta dua ADUN terbabit iaitu Mohd Syahbuddin Hashim (Galas) dan Dr Hafidzah Mustakim (Kota Lama) menyemak semula apa yang disebut dalam ucapannya tempoh hari sambil menyifatkan perkataan ‘melawan’ Islam dan ‘memperjuangkan’ Islam adalah dua perkara berbeza.
“Jangan cuba pusing atau kelirukan apa yang saya sebut, tambahan pula ucapan yang saya sampaikan adalah dalam bahasa Melayu Kelantan yang jelas mudah difahami.
“Jadi, jangan buat kenyataan yang bukan-bukan, sedangkan kita sendiri kurang faham dengan ucapan yang disampaikan oleh seseorang. Selain itu, dalam dunia politik kita tidak boleh mudah ‘koyak’,” ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa ribut di Masjid Kampung Kota, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sidang media dua ADUN terbabit yang memberi tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan yang melabel mereka menolak perjuangan Islam.
Menyifatkan kenyataan Menteri Besar itu sangat keterlaluan, mereka berkata kegagalan Nassuruddin membuat permohonan maaf secara terbuka akan mengundang susulan kepada tindakan undang-undang iaitu memfailkan saman sivil di mahkamah.
Dalam pada itu, Nassuruddin memberi bayangan bahawa beliau tidak akan meminta maaf kerana beranggapan tidak melakukan kesalahan.
“Tak ada orang yang akan meminta maaf kalau tidak melakukan kesalahan dan saya sendiri masih belum menerima notis berkenaan isu ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login