Antarabangsa
Apa yang anda perlu tahu tentang aplikasi baharu Threads?
Sebuah aplikasi media sosial baharu, Threads baru sahaja dilancarkan oleh Meta selaku syarikat induk Facebook.

- Threads merupakan aplikasi mirip Twitter yang memberi tumpuan pada perkongsian berasaskan teks.
- Ia dilancarkan oleh Meta selaku syarikat induk Facebook dan dibangunkan pasukan Instagram.
- Fungsi Threads adalah serupa dengan Twitter iaitu berdasarkan hantaran perbualan teks dengan had 500 aksara dan boleh mengulang siar hantaran lain.
Sebuah aplikasi media sosial baharu, Threads baru sahaja dilancarkan oleh Meta selaku syarikat induk Facebook.
Dibangunkan oleh pasukan Instagram, aplikasi mirip Twitter yang memberi tumpuan pada perkongsian berasaskan teks itu dibangunkan untuk mewujudkan pilihan dan ruang awam mesra perbualan.
Memetik laporan The Washington Post, ini beberapa fakta mengenai Threads yang berpotensi menjadi pesaing Twitter itu.
Bagaimana untuk membuka akaun Threads?
Threads boleh dimuat naik bagi kedua-dua sistem operasi iOS dan Android, namun anda perlu memiliki akaun Instagram terlebih dahulu. Oleh itu, akaun Threads yang dibuka akan menggunakan nama pengguna yang sama dengan akaun Instagram anda.
Ketika membuka akaun, Threads akan membenarkan anda untuk mengikuti semua akaun yang telah anda ikuti di Instagram tanpa mengira akaun itu sudah membuka akaun Threads atau belum. Bagaimanapun, anda masih dibenarkan untuk tidak berbuat demikian dan memilih akaun untuk diikuti.
Adakah Threads sama seperti Twitter?
Fungsi Threads adalah serupa dengan Twitter iaitu berdasarkan hantaran perbualan teks dengan had 500 aksara dan boleh mengulang siar hantaran lain. Bagaimanapun, Meta menegaskan yang Threads bukanlah klon Twitter.
Perkara membezakannya dengan Twitter ialah Threads tiada fungsi pemesejan langsung (direct message) yang berasingan setakat ini. Selain itu, ia juga tidak mempunyai fungsi hashtag dan fungsi topik trending.
Bagaimana Threads feed berfungsi?
Apabila anda membuka aplikasi Threads, anda akan diperlihatkan hantaran dari akaun yang anda telah ikuti serta cadangan hantaran yang dihasilkan melalui algoritma
Paparan feed juga tidak boleh dihadkan kepada hantaran dari akaun yang anda ikuti sahaja dan susunan hantaran juga tidak mengikut susunan kronologi.
Bolehkah buat hantaran gambar dan video?
Anda boleh membuat hantaran gambar dan video, namun ia tidak berfungsi seperti hantaran gambar dan reels di Instagram.
Bagaimana privasi Threads?
Akaun Threads juga boleh ditetapkan kepada peribadi atau awam seperti media sosial lain. Dari segi data peribadi, Threads juga mengumpul data mengenai lokasi dan apa yang anda lihat di dalam aplikasi itu.
Adakah Threads bebas iklan?
Setakat ini, Threads masih belum disertakan dengan iklan. Bagaimanapun, ada kemungkinan iklan akan disertakan di masa hadapan memandangkan Meta menjana sebahagian besar pendapatannya menerusi iklan bersasar kepada pengguna berdasarkan aktiviti dalam talian.
Bagaimanakah Thread mengawal selia kandungan?
Threads akan menggunakan peraturan kandungan yang sama dengan Instagram buat masa ini. Akaun pengguna bawah 16 tahun juga akan ditetapkan sebagai akaun peribadi secara automatik.
The Merdeka Times juga tidak ketinggalan daripada menjadi sebahagian dari komuniti Threads. Bagi anda yang telah membuka akaun Threads, ikuti kami menerusi pautan ini https://www.threads.net/@themerdekatimes
Sumber: The Washington Post
