Antarabangsa
Vietnam rancang wajibkan semua pengguna media sosial sahkan identiti
Vietnam merancang untuk membuat ketetapan yang mengehendaki semua pengguna media sosial di platform seperti Facebook, YouTube dan TikTok, untuk mengesahkan identiti mereka atas tujuan memerangi scam atau penipuan dalam talian.
- Vietnam merancang untuk membuat ketetapan mengehendaki semua pengguna media sosial di platform seperti Facebook, YouTube dan TikTok, mengesahkan identiti mereka atas tujuan memerangi scam atau penipuan dalam talian.
- Menurut Global Anti Scam Alliance, negara ini mencatat kadar penipuan dalam talian tertinggi di Asia, terutama membabitkan scam berkaitan kewangan, identiti dan cinta.
- “Akaun rangkaian sosial yang tidak dikenal pasti akan ditangani,” – Timbalan Menteri Penerangan dan Komunikasi Vietnam, Nguyen Thanh Lam.
- Beliau berkata satu dekri baharu kerajaan berhubung maklumat dalam talian, dijadual dikeluarkan pada akhir tahun ini, sekali gus mewajibkan langkah berkenaan.
HANOI: Vietnam merancang untuk membuat ketetapan yang mengehendaki semua pengguna media sosial di platform seperti Facebook, YouTube dan TikTok, untuk mengesahkan identiti mereka atas tujuan memerangi scam atau penipuan dalam talian.
Menurut Global Anti Scam Alliance, negara ini mencatat antara kadar penipuan dalam talian yang tertinggi di Asia, terutama membabitkan scam berkaitan kewangan, identiti dan cinta.
“Akaun rangkaian sosial yang tidak dikenal pasti akan ditangani,” kata Timbalan Menteri Penerangan dan Komunikasi Vietnam, Nguyen Thanh Lam, tanpa memberikan butiran lanjut.
Beliau berkata, satu dekri baharu kerajaan berhubung maklumat dalam talian, dijadual dikeluarkan pada akhir tahun ini, sekali gus akan mewajibkan langkah berkenaan, menurut laporan yang disiarkan dalam laman sesawang kementerian itu, kelmarin.
Lam memaklumkan, ada masanya pihak berkuasa tidak dapat mengesan pengguna media sosial yang melanggar undang-undang, berikutan mereka menggunakan platform rentas sempadan.
Justeru, beliau berkata, langkah itu akan ‘mencegah platform terbabit daripada diguna untuk mewujudkan kumpulan penipuan yang tidak dapat dikesan.’
Namun, tiada butiran dikongsikan mengenai hukuman akan dikenakan ke atas mereka yang melanggar undang-undang itu.
Ketika ini, Facebook, TikTok dan YouTube tidak meminta pengguna di Vietnam untuk mengesahkan identiti mereka.
Awal tahun ini, pihak berkuasa mengarahkan pengguna telefon bimbit untuk mengesahkan identiti mereka, malah bertindak menyekat kira-kira 1.2 juta kad SIM.
Sumber: Berita Harian