Terkini
Orang Asli Johor bantah status tanah rizab ditukar jadi Tanah Kesultanan
Kira-kira 200 penduduk Orang Asli negeri ini, berhimpun sebelum berarak secara aman di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, yang menempatkan Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, di sini, hari ini.
- Kira-kira 200 penduduk Orang Asli negeri ini, berhimpun sebelum berarak secara aman di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, menempatkan Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor hari ini.
- Himpunan dan perarakan aman itu membantah cadangan kerajaan Johor mengklasifikasikan semula semua penempatan dan tanah rizab Orang Asli di negeri ini sebagai Tanah Kesultanan.
- Ia selepas masyarakat Orang Asli negeri ini sebulat suara membantah dan tidak bersetuju mengenai cadangan kerajaan Johor mengklasifikasikan semula semua rizab tanah Orang Asli negeri ini kepada Enakmen Tanah Kesultanan seperti dicadangkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
ISKANDAR PUTERI: Kira-kira 200 penduduk Orang Asli negeri ini, berhimpun sebelum berarak secara aman di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, yang menempatkan Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, di sini, hari ini.
Himpunan dan perarakan aman itu bagi membantah cadangan kerajaan Johor mengklasifikasikan semula semua penempatan dan tanah rizab Orang Asli di negeri ini sebagai Tanah Kesultanan.
Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ), Dolah Tekoi, berkata sebanyak empat bas yang membawa lebih 200 Orang Asli dari Mersing, Segamat, Kluang, Johor Bahru dan Kota Tinggi.
Katanya, himpunan dan perarakan aman itu bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ia selepas masyarakat Orang Asli negeri ini sebulat suara memutuskan membantah dan tidak bersetuju mengenai cadangan kerajaan Johor untuk mengklasifikasikan semula semua rizab tanah Orang Asli negeri ini kepada Enakmen Tanah Kesultanan seperti yang dicadangkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Beliau berkata, isi kandungan memorandum bantahan ini mempunyai tiga teras utama iaitu bantahan terhadap pertukaran status rizab tanah Orang Asli Johor sebagai tanah kesultanan, cadangan Orang Asli terhadap isu ini dan kertas konsep pengurusan wilayah tanah adat Orang Asli supaya kerajaan negeri memahami apakah maksud tanah adat.
“Ia turut mengandungi tanda tangan seluruh masyarakat Orang Asli Johor membabitkan 40 perkampungan Orang Asli negeri ini.
“Orang Asli membantah cadangan pertukaran status rizab Orang Asli sebagai Tanah Kesultanan kerana perizaban tanah sedia ada telah mengikut aturan Perlembagaan Persekutuan, yang dibuat berdasarkan Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta 134 Akta Orang Asli 1954 dan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965. Hal ini dikuat kuasa bukan setakat di Johor namun untuk semua Rizab Orang Asli seluruh negara, maka tiada sebab untuk ia ditukar ganti kepada Tanah Kesultanan.
“Kami amat bimbang jika hal ini berlaku kerana mengikut Seksyen 2 Enakmen Tanah Kesultanan menyebut setiap tanah yang diklasifikasi sebagai Tanah Kesultanan adalah bukan harta negeri yang bermaksud bukan tanah kerajaan lagi tetapi menjadi Tanah Diraja dan milik persendirian.
“Jika cadangan Tanah Kesultanan dikuatkuasakan, Orang Asli akan menjadi hanya penumpang di tanah orang lain. Seperti mana kita ketahui menerusi Seksyen 2 Tanah Kesultanan apabila diklasifikasikan sebagai tanah Sultan, maka ia menjadi milik Sultan dan Diraja, bukannya milik kerajaan negeri. Jika menjadi milik persendirian, maka pada bila-bila masa tanah itu boleh diambil dan kami boleh dihalau pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohamad Iskandar Omar.
Pada 16 Mac lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah menyarankan kerajaan Johor mengklasifikasikan semua penempatan dan rizab Orang Asli di negeri itu sebagai ‘tanah kesultanan’ bagi mengelak ia disalahgunakan.
Baginda dilaporkan bertitah, langkah itu perlu dilakukan kerana terdapat sebilangan Orang Asli telah menyalahgunakan tanah rizab dan adat sekali gus berkomplot dengan orang luar bagi menjadikan hutan simpan negeri sebagai ladang kelapa sawit dan getah berskala besar.
Rizab Orang Asli dilindungi di bawah Akta Orang Asli 1954, yang menyatakan bahawa tanah itu tidak boleh diberi milik atau dilupuskan, kecuali untuk Orang Asli yang tinggal di atas tanah berkenaan.
Kerajaan negeri, bagaimanapun, mempunyai kuasa dan boleh membatalkan status tanah berkenaan.
Sementara itu, mengikut Seksyen 2 Enakmen Tanah Kesultanan Johor, tanah yang diklasifikasikan sebagai ‘Tanah Kesultanan’ adalah milik Sultan dan tidak dianggap sebagai hak milik negeri.
Enakmen itu juga memperuntukkan bahawa tiada bahagian Tanah Kesultanan boleh dijual, dipajak, atau dilupuskan kecuali dengan kebenaran bertulis sultan.
Dalam pada itu, Dolah meminta kerajaan Johor mengambil tindakan tegas, sekiranya benar dakwaan menyatakan terdapat dalang yang mengeksploitasi tanah rizab Orang Asli bagi membuka ladang sawit dan getah berskala besar.
“Andai ada bukti pembabitan dalang dan Orang Asli, hukum golongan ini yang telah merosakkan reputasi Orang Asli Johor. Kenapa semua Orang Asli mahu dihukum dengan tanah rizab kami dirampas dan ditukar kepada Tanah Kesultanan, ini sangat zalim dan seolah-olah mahu menghalau kami dari tanah rizab,” katanya.
Sementara itu, Dolah berkata, beliau bersama Ahli Jawatankuasa JPOAJ dan barisan peguam akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu berkenaan.
“Permohonan sedang dibuat bagi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri. Ini kerana sejak isu ini dicadangkan Sultan Johor, sehingga hari ini tiada kenyataan diberikan Kerajaan Pusat bagi melindungi hak Orang Asli yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sumber: Berita Harian