Terkini
Drama ‘Projek: High Council’ tampilkan adegan merokok keterlaluan, aduan dibuat kepada SKMM
Adegan merokok keterlaluan dalam rancangan televisyen semakin membimbangkan dan ia dikhuatiri mempengaruhi anak muda, khususnya pelajar sekolah untuk terjebak ke dalam kancah tidak bermoral ini.
- Adegan merokok keterlaluan dalam rancangan televisyen ‘Projek: High Council’ di saluran televisyen Astro telah diadukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
- Aduan dibuat Ketua Sustainable Smokefree Campus Community Flagship, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed kerana babak merokok keterlaluan itu dikhuatiri akan mempengaruhi golongan muda, khususnya pelajar sekolah.
- Beliau yang mendakwa babak itu melanggar undang-undang Lembaga Penapis Filem (LPF) berkata aduan diajukan kepada SKMM, namun pihak Astro memberi maklum balas berhubung aduan itu.
- “Semalam, saya terima balasan e-mel Astro mengatakan ianya berdasarkan kreativiti pengarah untuk mendramakan elemen merokok,” katanya.
KUALA LUMPUR – Adegan merokok keterlaluan dalam rancangan televisyen semakin membimbangkan dan ia dikhuatiri mempengaruhi anak muda, khususnya pelajar sekolah untuk terjebak ke dalam kancah tidak bermoral ini.
Contohnya, babak kontroversi itu dapat dilihat dalam drama tempatan ‘Projek: High Council’ arahan bersama Anwari Ashraf dan Zulaikha Zakaria.
Drama bersiri itu ternyata mendapat perhatian Ketua Sustainable Smokefree Campus Community Flagship, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed.
Mohamad Haniki berkata babak itu mendesak beliau untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.
“Saya buat aduan melalui KKMM (MCMC) mengenai adegan merokok keterlaluan dalam cerita tersebut yang ditayangkan Astro,” katanya dalam satu hantaran Facebook baru-baru ini.
Beliau memberitahu aduan diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), namun pihak Astro yang memberi maklum balas berhubung laporan itu.
“Semalam, saya terima balasan e-mel Astro mengatakan ianya berdasarkan kreativiti pengarah untuk mendramakan elemen merokok,” katanya.
Mohamad Haniki mendakwa babak itu secara terang-terangan melanggar undang-undang Lembaga Penapis Filem (LPF).
“Jelas ianya melanggar garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF),” katanya.
Sebelum ini, filem Mentega Terbang arahan Mohd Khairi Anwar Jailani menjadi kontroversi apabila terdapat babak yang dilihat seolah-olah mempersendakan agama Islam seperti dakwaan penulis, Zabidi Mohamed.
Filem kontroversi itu bagaimanapun sudah dialih keluar dari platform penstriman Viu selepas mula ditayangkan pada 19 Januari lalu. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Mohamad Haniki Nik Mohamed
You must be logged in to post a comment Login