Terkini
Tuduhan gulingkan ‘Kerajaan Perpaduan’ tidak berasas – Presiden MCA
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan dakwaan berhubung percubaan menggulingkan ‘Kerajaan Perpaduan’ seperti mana dilaporkan sebuah portal berita.

- Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan dakwaan berhubung percubaan menggulingkan ‘Kerajaan Perpaduan’ seperti mana dilaporkan sebuah portal berita.
- Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai mengarut dan tidak berasas.
- Sebuah portal berita… dilihat cuba mengarang berita kononnya ada gerakan untuk menggugat kerajaan perpaduan. – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
- Beliau menegaskan MCA tidak akan menyokong langkah sedemikian yang memerlukan kerusi Ahli Parlimen terpilih dikorbankan pada pilihan raya kecil akan datang.
KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan dakwaan berhubung percubaan menggulingkan ‘Kerajaan Perpaduan’ seperti mana dilaporkan sebuah portal berita.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menyifatkan tuduhan tersebut sebagai mengarut dan tidak berasas.
“Sebuah portal berita yang bersandarkan kepada “sumber maklumat tanpa nama” dilihat cuba mengarang berita kononnya ada gerakan untuk menggugat kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Sesiapa sahaja boleh menulis mengikut citarasa masing-masing berpandukan khabar angin,” katanya dalam satu hantaran Facebook baru-baru ini.
Bagaimanapun beliau menjelaskan pihaknya tidak mengetahui mengenai laporan yang dikeluarkan itu.
Ka Siong berkata partinya juga tidak akan menyokong langkah sedemikian yang memerlukan mana-mana Ahli Parlimen dipilih untuk ‘mengorbankan’ kerusi mereka pada pilihan raya kecil akan datang.
“Keutamaan sekarang ialah menyokong dasar dan strategi ke arah pemulihan ekonomi negara melalui kestabilan politik mengikut kehendak rakyat pada PRU15,” katanya.
Pada 24 April lalu, portal The Vibes menerbitkan artikel berhubung cubaan baru untuk menjatuhkan ‘Kerajaan Perpaduan’ melalui pilihan raya kecil akan datang.
Menurutnya, terdapat khabar angin bertiup kencang mengenai beberapa wakil rakyat BN dipujuk untuk keluar parti, bertanding semula di bawah pakatan pembangkang. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Wee Ka Siong
