Antarabangsa
Bolshoi Rusia batalkan persembahan balet berunsur LGBT
Teater Bolshoi Rusia menggugurkan balet yang didedikasikan untuk penari Rudolf Nureyev, kata pengarahnya pada Rabu.

- Teater Bolshoi Rusia menggugurkan balet yang didedikasikan untuk penari Rudolf Nureyev, kata pengarahnya pada Rabu.
- Perkara itu merujuk kepada undang-undang baharu Rusia yang memperluaskan sekatan ke atas aktiviti yang mempromosikan hak LGBT.
- Pengarah Bolshoi, Vladimir Urin berkata balet “Nureyev” digugurkan kerana ia “berkait dengan undang-undang baharu ditandatangani dan secara jelas ingin menangani isu berkaitan propaganda nilai bukan tradisional”.
MOSCOW – Teater Bolshoi Rusia menggugurkan balet yang didedikasikan untuk penari Rudolf Nureyev, kata pengarahnya pada Rabu.
Perkara itu merujuk kepada undang-undang baharu Rusia yang memperluaskan sekatan ke atas aktiviti mempromosikan hak LGBT.
Pengarah Bolshoi, Vladimir Urin berkata balet “Nureyev” digugurkan kerana “berkait dengan undang-undang yang baharu ditandatangani dan secara jelas ingin menangani isu berkaitan propaganda nilai bukan tradisional”.
Memetik laporan ABC News, undang-undang yang ditandatangani Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Disember lalu melarang pengiklanan, media dan sumber dalam talian, buku, filem dan produksi teater yang dianggap mengandungi “propaganda hubungan seksual bukan tradisional”.
Beliau juga memperluaskan larangan 2013 ke atas ‘propaganda’ sedemikian yang ditujukan kepada golongan bawah umur.
Selain itu, Bolshoi juga menarik balet atas larangan ke atas sebarang “demonstrasi hubungan bukan tradisional” yang terkandung dalam undang-undang baharu.
Ini kerana ia menyentuh homoseksualiti Nureyev.
Kumpulan hak asasi manusia mengkritik keras undang-undang sebagai suatu bentuk galakan negara itu terhadap homofobia, sikap tidak bertoleransi dan diskriminasi.
Seorang penari balet dan koreografer kelahiran Soviet, Nureyev, berpaling tadah dari Kesatuan Soviet ke Barat pada tahun 1961.
Balet yang dikoreografi pengarah teater dan filem terkemuka Kirill Serebrennikov itu dipentaskan pada 2017.
Persembahannya yang dijadualkan pada tahun lepas dibatalkan selepas Serebrennikov mengkritik tindakan ketenteraan Moscow di Ukraine dan meninggalkan Rusia.
Bulan lalu, Bolshoi juga membatalkan satu lagi produksi Serebrennikov, balet “A Hero of Our Time” yang sepatutnya ditayangkan pada bulan Mei.
Namun, mereka tidak memberikan sebarang sebab atas pembatalan itu.
Sumber: ABC News
