Connect with us

Terkini

TV3 dikecam gara-gara kaburkan tubuh penyampai anugerah Oscars

Saluran televisyen tempatan, TV3 dikecam hebat netizen gara-gara mengaburkan visual tubuh dua selebriti wanita Hollywood ketika menyampaikan anugerah kemenangan Tan Sri Michelle Yeoh di Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023) pada 13 Mac lalu.

Ruszaini Ruslan

Published

on

TV3 dikecam gara-gara kaburkan tubuh penyampai anugerah Oscars
Foto: Tangkap layar artikel portal Singapura di Facebook.
  • Tindakan saluran TV tempatan, TV3 mengaburkan visual tubuh dua selebriti wanita, Jessica Chastain dan Halle Berry dalam laporan kemenangan anugerah Oscars Tan Sri Michelle Yeoh di Buletin Utama 13 Mac lalu dikecam netizen.
  • Klip berita itu turut mendapat perhatian warga Singapura apabila sebuah portal berita atas talian negara itu melaporkan perkara berkenaan menerusi satu artikel dan klip video di Tiktok.
  • Terdapat rakyat Malaysia sendiri yang mengecam tindakan TV3 dan menganggap ia suatu perbuatan yang memalukan, selain menganggap yang TV3 hanya mahu menumpang kejayaan Michelle.
  • Bagaimanapun, sebahagian besar netizen mempertahan tindakan dan hak TV3 selaku badan penyiaran tempatan berbuat demikian untuk menjaga sensitiviti semua pihak.

Saluran televisyen tempatan, TV3 dikecam hebat netizen gara-gara mengaburkan visual tubuh dua selebriti wanita Hollywood ketika menyampaikan anugerah kemenangan Tan Sri Michelle Yeoh di Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023) pada 13 Mac lalu.

Klip video laporan berita Buletin Utama itu turut mendapat perhatian warga Singapura apabila sebuah portal berita atas talian negara itu melaporkan perkara berkenaan menerusi satu artikel dan klip video di Tiktok, sekaligus mengalihkan perhatian masyarakat dari kemenangan Michelle kepada tindakan TV3 tersebut.

Tinjauan The Merdeka Times ke laman Facebook portal itu mendapati artikel tersebut menerima 730 komen dan lebih 180 perkongsian.

Di ruangan komen, terdapat rakyat Malaysia sendiri yang mengecam tindakan TV3 dan menganggap ia suatu perbuatan yang memalukan selain menganggap stesen TV itu hanya mahu menumpang kejayaan Michelle.

Foto: Tangkap layar komen di Facebook.

Lebih memburukkan keadaan, ada yang menuduh TV3 adalah sebahagian dari gerakan Taliban di Afghanistan dan menganggap Malaysia semakin mengikuti ideologi gerakan itu dan menuju ke arah ‘Islamofobia’.

Foto: Tangkap layar komen di Facebook.

Dalam pada itu, ada juga netizen berpendapat TV3 berhak berbuat demikian selaku badan penyiaran di Malaysia sambil menambah terdapat pelbagai saluran dan platform lain tidak mengaburkan visual tersebut.

Rakyat Malaysia juga sepatutnya sedia maklum akan isu yang dianggap sensitif dalam negara.

Individu itu menyebut kebanyakan individu berpakaian mencolok mata adalah mereka yang kebiasaanya berjaya menempa nama di anugerah berprestij antarabangsa seperti Oscars dan Grammy.

Masyarakat tidak perlu hairan melihat ramai bakat di Malaysia yang mengembangkan kerjaya seni mereka di luar negara, katanya.

Advertisement

Foto: Tangkap layar komen di Facebook.

Terdahulu, penampilan Tan Sri Michelle Yeoh Yeoh dalam filem Everything Everywhere All At Once yang berkisarkan LGBTQ berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Oscar 2023, sekali gus mencipta rekod sebagai bintang Asia pertama meraih anugerah kategori itu dalam sejarah Oscar.

Anugerah itu disampaikan dua selebriti Hollywood, Jessica Chastain dan Halle Berry dan disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre, Amerika Syarikat. – The Merdeka Times

Teruskan Membaca




Antarabangsa

Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang

Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.

Wartawan TMT

Published

on

Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
Foto: Gulbahar Haitiwaji (kiri), Qelbinur Sidik (kanan).
  • Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.
  • Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.
  • Keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.
  • Panel Dewan mendengar pengalaman diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang berkongsi dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa sepanjang berada di dalam kem tersebut.

WASHINGTON: Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) yang baharu mengenai China yang mengadakan perbicaraan kedua semalam, mengetengahkan apa yang dikatakan Washington sebagai pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah Xinjiang China.

Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penderaan, termasuk buruh paksa, pengawasan besar-besaran dan menempatkan sejuta atau lebih etnik Uyghur yang kebanyakan Islam dalam rangkaian kem tahanan di Xinjiang.

Ahli Kongres, Mike Gallagher yang juga Pengerusi Republikan Jawatankuasa Pilihan Dewan Perwakilan mengenai Parti Komunis China (PKC), memberitahu pemberita sebelum perbicaraan, keadaan di Xinjiang ‘sepatutnya memberi amaran kepada dunia mengenai kepimpinan di bawah PKC’.

China bersungguh-sungguh menafikan penderaan di Xinjiang dan berkata, ia menubuhkan ‘pusat latihan vokasional’ untuk membendung keganasan, pemisahan dan radikalisme agama.

Perbicaraan itu adalah yang terbaru dalam siri acara yang dirancang untuk dua tahun akan datang, manakala Republikan yang mengawal Dewan Perwakilan untuk meyakinkan rakyat Amerika, bahawa mereka perlu mengambil berat untuk menyaingi China dan untuk ‘memisahkan secara terpilih’ ekonomi negara.

Panel Dewan mendengar pengalaman yang diceritakan seorang wanita Uyghur, Gulbahar Haitiwaji yang bercakap melalui penterjemah, apa yang dikatakannya selama bertahun-tahun di kem di mana dia menghadapi penderaan dan pendidikan patriotik yang dipaksa.

Etnik Uzbekistan, Qelbinur Sidik yang ditugaskan sebagai guru di kem sedemikian melalui penterjemah, turut menggambarkan keadaan seperti penjara yang menurutnya tahanan menghadapi penyeksaan dan soal siasat.

Advertisement

Kedua-dua wanita itu berjaya melakukan perjalanan ke Eropah dan kini mereka menetap di sana.

Keterangan juga didengar daripada peguam terkemuka Amerika Uyghur, Nury Turkel dan penyelidik Jerman, Adrian Zenz, yang berusaha mendokumentasikan tahap kem tahanan di Xinjiang dan Naomi Kikoler dari Muzium Memorial Holocaust AS.

Jurucakap Kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, berkata saksi yang dirancang jawatankuasa itu telah ‘mencipta pembohongan berkaitan Xinjiang’ berdasarkan motif politik tersembunyi.

“Kami berharap rakyat Amerika dapat mengenali wajah sebenar pasukan anti-China ini dan tidak terpedaya dengan khabar angin dan pembohongan,” kata Liu sambil menambah, hak asasi manusia semua kumpulan etnik di Xinjiang sudah ‘dilindungi sepenuhnya’.

Kerajaan AS dan parlimen di Britain, Kanada dan negara lain menyifatkan pencegahan kelahiran dan dasar penahanan besar-besaran China di Xinjiang sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menyatakan China mungkin sudah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di rantau itu.

Advertisement

Jawatankuasa dwipartisan tidak akan menulis undang-undang tetapi akan membuat cadangan dasar, pada garis masa keras terhadap China adalah salah satu daripada beberapa dasar dengan sokongan dwipartisan dalam Kongres AS yang sangat berpecah belah.

Kikoler dari muzium holocaust berkata, kerajaan China menggunakan taktik halus untuk ‘memusnahkan orang Uyghur dengan sengaja’ termasuk pengawasan dan penahanan besar-besaran, penyeksaan, pemindahan kanak-kanak dan mengehadkan kelahiran.

Zenz berkata, walaupun kerajaan China mengatakan pihaknya menutup kem di Xinjiang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia adalah pusat ‘pendidikan semula’ keselamatan rendah, selain ada perluasan serentak penjara dengan keselamatan lebih tinggi atau kemudahan buruh paksa.

“Kita boleh mengandaikan ratusan ribu sudah dipindahkan ke kemudahan ini, yang telah diperluaskan secara dramatik,” katanya sambil menyatakan terdapat tanda-tanda tahanan beramai-ramai memuncak pada 2018. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

Advertisement
Teruskan Membaca
Advertisement

Kata Kunci

Advertisement

Trending