Terkini
Penceramah muslim wajib ada tauliah mengajar agama – Raja Perlis
Setiap penceramah agama Islam diwajibkan untuk mendapatkan tauliah mengajar yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam selaras dengan Seksyen 110 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis (EPAI) 2006, titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
- Mereka wajib dapat tauliah mengajar yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam.
- Jika gagal mematuhi perkara tersebut adalah tertakluk kepada Seksyen 110 EPAI dan Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991.
- Siasatan dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap penganjur jika berlaku sebarang pelanggaran berhubung perkara itu. – Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
- Penceramah juga akan dikenakan tindakan sama bagi mengelakkan perkara tersebut daripada berulang.
KANGAR – Setiap penceramah agama Islam diwajibkan untuk mendapatkan tauliah mengajar yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam selaras dengan Seksyen 110 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis (EPAI) 2006, titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Titah baginda, kegagalan mematuhi perkara tersebut adalah tertakluk kepada Seksyen 110 EPAI berhubung kesalahan mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah dan Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991.
“Dalam hubungan Ini, dipohon pihak berkuasa agama Islam negeri untuk memantau dan memastikan agar setiap penceramah di negeri Perlis perlulah mendapatkan tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titah baginda menerusi kenyataan rasmi di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perlis hari ini.
Baginda berharap siasatan dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap penganjur jika berlaku sebarang pelanggaran berhubung perkara tersebut.
Penceramah juga perlu dikenakan tindakan sama bagi mengelakkan perkara itu daripada berulang kembali.
“Besarlah harapan beta agar segala yang dizahirkan dalam titah ini diberikan perhatian dan ditaati oleh seluruh rakyat yang dikasihi,” titah baginda.
Dalam kenyataan itu, baginda menegaskan Perkara 5 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 turut memperuntukkan mengenai agama Negeri Perlis adalah Islam Ahli Sunnah Waljama’ah seperti diamalkan di dalam negeri.
“Selain Itu, Perkara 6 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 telah memberikan kuasa bagi penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),” titah baginda.
MAIPS turut diamanahkan untuk membantu dan menasihati baginda dalam memberikan timbang tilik terhadap perkara-perkara berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu Perlis. – The Merdeka Times.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri