Antarabangsa
Peguam nafi Zakir Naik diusir dari Oman
Susulan laporan beberapa media India yang mendakwa Zakir Naik berkemungkinan akan diusir dan dihantar pulang ke negara itu dari Oman, peguam kepada pendakwah itu mengesahkan bahawa perkara itu tidak benar.

- Peguam kepada Zakir Naik, Mubin Solkar menafikan laporan beberapa media India yang mendakwa pendakwah itu akan diusir dari Oman.
- Zakir dilaporkan telah tiba di Oman pada 22 Mac bagi memenuhi jemputan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama (MERA) untuk menjalankan siri kuliah yang dijadualkan pada 23 dan 25 Mac.
- Laporan media India pada 21 Mac mendakwa agensi perisikan India telah bekerjasama dengan Kedutaan India di Oman untuk menahan Zakir ketika lawatannya ke Oman.
Susulan laporan beberapa media India yang mendakwa Zakir Naik berkemungkinan akan diusir dan dihantar pulang ke negara itu dari Oman, peguam kepada pendakwah itu mengesahkan bahawa perkara itu tidak benar.
Memetik laporan The Quint, Mubin Solkar menafikan laporan itu ketika dihubungi.
“Laporan media itu adalah palsu,” kata peguam yang berpangkalan di Mumbai itu.
Sementara itu, Zakir juga telah tiba di Oman pada 22 Mac lalu berterima kasih kepada kerajaan negara itu menerusi satu klip video kerana menyambut ketibaannya dengan protokol rasmi.
Zakir telah dijemput ke Oman untuk siri kuliah oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama (MERA).
Menurut kenyataan dikeluarkan kementerian itu, kuliah pertamanya yang bertajuk “Al-Quran adalah Keperluan Global” dijadualkan berlangsung pada 23 Mac.
Terdahulu, beberapa media India melaporkan yang agensi perisikan negara itu telah bekerjasama dengan Kedutaan India di Oman untuk menahan Zakir ketika lawatannya ke Oman.
Sumber: The Quint
