Connect with us

Terkini

Perlu ada kawasan mercu tanda budaya, warisan Melayu di KL – Rais Yatim

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diharap dapat mewujudkan satu kawasan yang bersesuaian di ibu kota untuk dijadikan mercu tanda yang mencerminkan budaya masyarakat Melayu.

Wartawan TMT

Published

on

Perlu ada kawasan mercu tanda budaya, warisan Melayu di KL – Rais Yatim
Foto: Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah).
  • DBKL diharap dapat mewujudkan satu kawasan yang bersesuaian di ibu kota untuk dijadikan mercu tanda yang mencerminkan budaya masyarakat Melayu.
  • “Kita ada Little India di Brickfields dan China Town di Jalan Petaling. Namun tiada satu pun kawasan Dunia Melayu untuk tatapan para pengunjung”. – Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim.
  • Seni dan warisan Melayu sepatutnya dapat dinikmati pengunjung yang datang ke Kuala Lumpur, katanya.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diharap dapat mewujudkan satu kawasan yang bersesuaian di ibu kota untuk dijadikan mercu tanda yang mencerminkan budaya masyarakat Melayu.

Cadangan itu diutarakan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim semasa menerima kunjungan hormat daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah di Parlimen hari ini.

“Kita ada Little India di Brickfields dan China Town di Jalan Petaling. Namun tiada satu pun kawasan khusus yang memaparkan budaya dan seni warisan Dunia Melayu untuk tatapan para pengunjung di Kuala Lumpur.

“Saya percaya DBKL mampu merealisasikan hasrat itu untuk menaikkan taraf Bandaraya Kuala Lumpur yang akan menjadi tarikan utama pengunjung dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga mencadangkan agar cadangan projek “Dunia Melayu” ini diambil perhatian khusus.

Katanya, seni dan warisan Melayu sepatutnya dapat dinikmati pengunjung yang datang ke Kuala Lumpur.

“Setakat ini, tiada satu pun susunan budaya yang boleh menarik perhatian pengunjung luar dan dalam negara yang komprehensif mengandungi seni, cara hidup budaya tinggi, pertukangan tangan, muzik, seni teater dan makanan warisan Melayu (Malay Cuisine).

“Saya berharap DKBL bersama NGO dapat memajukan sudut kegiatan seni budaya seminggu sekali di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan menggalakkan persembahan teater yang boleh dikunjungi warga seni budaya,” katanya.

Beliau berkata ketiadaan restoran berkelas tinggi yang menyajikan juadah Melayu hendaklah diberi perhatian serius supaya makanan tempatan tidak ketinggalan.

“Semoga usaha ini dapat direalisasikan dan mampu menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama untuk menyelami “Dunia Melayu” yang tak kan hilang ditelan zaman,” katanya.

Hadir sama Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, Ismadi Sakirin dan Khairul Azlan Yusuf. – The Merdeka Times

Author

Terkini

Segera lapor SPRM jika jadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa pihak yang percaya mereka telah menjadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu untuk segera membuat laporan kepada agensi itu.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
  • SPRM gesa pihak yang percaya mereka menjadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu untuk segera membuat laporan kepada agensi itu.
  • “Sekiranya SPRM menerima apa-apa maklumat atau laporan mengenai penyelewengan hal-hal berkaitan perkara jenayah yang menukar status tanah rizab Melayu kepada hak milik kekal (free hold) merupakan kesalahan jenayah yang sudah tentu kita akan lakukan siasatan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada media hari ini.
  • Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di sini.
  • Semalam, seorang pengarah urusan syarikat hartanah ditahan SPRM untuk membantu siasatan kes pemecahan lot membabitkan kira-kira 650 hektar tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu di Mukim Manjong, Setiawan, Perak.

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa pihak yang percaya mereka telah menjadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu untuk segera membuat laporan kepada agensi itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kes seperti itu dari negeri-negeri lain dan menyifatkan apa yang berlaku di Perak baru-baru ini sebagai kes terpencil.

“Sekiranya SPRM menerima apa-apa maklumat atau laporan mengenai penyelewengan hal-hal berkaitan perkara jenayah yang menukar status tanah rizab Melayu kepada hak milik kekal (free hold) merupakan kesalahan jenayah yang sudah tentu kita akan lakukan siasatan,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Azman Adnan.

Semalam, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan SPRM untuk membantu siasatan kes pemecahan lot membabitkan kira-kira 650 hektar tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu di Mukim Manjong, Setiawan, Perak.

Difahamkan, syarikat suspek berusia 44 tahun itu dipercayai terbabit melakukan pemecahan lot tanah di mukim berkenaan menjadi tanah bukan Melayu, seterusya dijual menjadi lot rumah dan banglo.

Siasatan SPRM juga mendapati sejumlah 317 lot dipecahkan kepada individu serta syarikat yang sebahagian besarnya adalah bukan Melayu.

Penahanan itu adalah rentetan kepada tangkapan seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di Pejabat Tanah dan Galian Perak yang sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, bulan lalu. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending