Connect with us

Antarabangsa

Indonesia naikkan bayaran haji 70 peratus tahun ini, jemaah Malaysia perlu bersedia

Keputusan Indonesia meningkatkan bayaran haji lebih 70 peratus bagi tahun ini memberi bayangan jelas peningkatan kos haji adalah situasi yang tidak dapat dielak dan bakal jemaah negara ini disaran untuk bersedia dalam mendepani kenaikan harga ibadah itu.

Wartawan TMT

Published

on

Indonesia naikkan bayaran haji 70 peratus tahun ini, jemaah Malaysia perlu bersedia
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Peningkatan bayaran mengerjakan ibadah haji itu dijangkakan Lembaga Tabung Haji (TH), iaitu institusi Islam bertanggungjawab mengurus dan menyediakan perkhidmatan haji untuk jemaah haji Malaysia.
  • Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Datuk Seri Amrin Awaluddin, menjangkakan kos haji tahun ini meningkat sekitar RM31,000 berbanding RM28,000 tahun lepas.
  • Peningkatan kos haji itu tidak hanya terkesan kepada umat Islam negara ini sahaja malah turut membabitkan negara lain termasuk Indonesia, Brunei dan Thailand.

KUALA LUMPUR: Keputusan Indonesia meningkatkan bayaran haji lebih 70 peratus bagi tahun ini memberi bayangan jelas peningkatan kos haji adalah situasi yang tidak dapat dielak dan bakal jemaah negara ini disaran untuk bersedia dalam mendepani kenaikan harga ibadah itu.

Peningkatan bayaran mengerjakan ibadah haji itu turut dijangkakan Lembaga Tabung Haji (TH), iaitu institusi Islam yang bertanggungjawab mengurus dan menyediakan perkhidmatan haji untuk jemaah haji Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Datuk Seri Amrin Awaluddin dalam kenyataan sebelum ini menjangkakan kos haji tahun ini meningkat sekitar RM31,000 berbanding RM28,000 tahun lepas.

Namun Amrin berkata agensi itu tetap meneruskan Bantuan Kewangan Haji Bersasar yang dibiayai daripada pendapatan pelaburan kepada semua bakal jemaah haji muassasah.

Peningkatan kos mengerjakan haji itu tidak hanya terkesan kepada umat Islam negara ini sahaja malah turut membabitkan negara lain termasuk Indonesia, Brunei dan Thailand.

TH turut memaklumkan faktor yang mempengaruhi kenaikan kos haji terbabit adalah sesuatu di luar kawalan agensi tersebut.

PENINGKATAN KETARA SELEPAS PANDEMIK

Berkongsi pandangan mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyifatkan peningkatan bayaran mengerjakan haji bukan isu baharu kerana ia berlaku saban tahun.

Beliau yang berpengalaman sebagai mutawif dengan pelbagai agensi swasta sejak 2016 berkata bagaimanapun kos mengerjakan haji itu menunjukkan peningkatan ketara selepas pandemik COVID-19.

“…kita tidak boleh cakap kenaikan kos haji ini hanya terkesan kepada umat Islam di negara ini semata-mata tetapi juga negara Islam lain turut terkena tempiasnya.

“Mungkin kelebihan pada umat Islam dari negara lain, misalnya di Indonesia, rakyatnya sanggup membayar tinggi mengerjakan haji kerana bagi mereka itulah waktu yang mereka mempunyai peluang ke tanah suci. Bagi rakyat negara lain, mungkin faktor nilai mata wang mereka tinggi, jadi mereka tiada masalah sangat untuk membayar harga yang lebih tinggi bagi mengerjakan haji,” katanya kepada Bernama.

Pandangan senada turut disuarakan Prof Madya Dr Shuhairimi Abdullah, Ketua Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mengulangi bahawa umat Islam di Indonesia sebenarnya turut dibebani dengan peningkatan kos haji yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat perbezaan bayaran mengerjakan haji antara Malaysia dan Indonesia berdasarkan kepada pertimbangan serta keperluan yang perlu ditanggung jemaah haji.

“Kemudahan yang disediakan TH untuk jemaah haji Malaysia sudah tentu berbeza dengan apa yang disediakan agensi pengurusan haji Indonesia, seperti TH menawarkan khidmat rawatan perubatan percuma serta pelbagai perkhidmatan lain seperti penerbitan buku dan risalah panduan haji yang turut diberi percuma.

“Terdapat juga perbezaan kos dari segi logistik serta kemudahan lain termasuk penginapan yang disediakan TH untuk jemaah yang mana lebih dekat untuk ke Masjidil Haram (kurang 1,000 meter),” katanya.

Memetik laporan media April tahun lepas, kerajaan Indonesia dilaporkan bakal memotong subsidi ibadah haji rakyat negara berkenaan.

Menurut laporan Suara.com, tindakan itu yang terpaksa dilakukan dengan alasan pembiayaan pada ketika ini terlalu mahal, akan dilakukan secara berperingkat.

Ketua Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH), Anggito Abimanyu turut dilaporkan menyokong langkah berkenaan kerana menurut beliau, prinsip menunaikan haji hanya untuk mereka yang mampu.

Kos sebenar untuk menunaikan ibadah haji di negara itu bagi seorang individu adalah sekitar 70 juta rupiah (RM20,000) tetapi jemaah Indonesia hanya perlu membayar separuh daripadanya iaitu sekitar 35 juta rupiah (RM10,000).

Ketua Pengarah Haji dan Umrah Kementerian Agama Indonesia, Hilman Latief turut memaklumkan berlaku penyelarasan kos haji atau Bipih (sejumlah wang yang wajib dibayar oleh warganegara yang akan menunaikan ibadah haji) sepanjang pelaksanaan ibadah haji pada tahun 2023.

Pada tahun 2022, jemaah membayar Bipih berjumlah 39.8 juta rupiah (RM12,958) dari jumlah yuran haji keseluruhan bernilai 98 juta rupiah (RM29,690).

“Berbeza pula dengan Malaysia apabila jemaah haji muassasah dari kumpulan B40 dikenakan bayaran RM10,980 manakala yang bukan B40 dikenakan bayaran RM12,980. Ketika ini juga TH masih lagi memberikan subsidi kepada dua kategori ini iaitu sebanyak 62 peratus (B40) dan 55 peratus (bukan B40),” katanya Shuhairimi.

KETIDAKTENTUAN EKONOMI

Sementara itu, Dr Raja Rizal Iskandar Raja Hisham, Pensyarah kanan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM), berpandangan peningkatan bayaran dalam mengerjakan rukan Islam kelima itu adalah fenomena yang sudah dijangka.

Menurut beliau, peningkatan bayaran haji itu sememangnya tidak dapat dibendung dan kejatuhan nilai ringgit serta situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini dilihat antara faktor dominan yang menyebabkan berlaku situasi berkenaan.

“Ada banyak faktor yang mendorong kenaikan kos mengerjakan haji ini, namun apa yang saya lihat, nilai mata wang Malaysia yang rendah serta situasi ekonomi global antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos haji terutamanya apabila berlaku peningkatan terhadap harga barang dan perkhidmatan.

“Keadaan ini menyebabkan jemaah terpaksa membayar harga pengangkutan, penginapan dan makanan pada harga yang lebih mahal di sana,” katanya.

Beliau menambah, kos mengerjakan haji turut meningkat dengan ketara apabila berlaku peningkatan harga visa, insurans, cukai tambah nilai (VAT) serta beberapa caj perkhidmatan tambahan lain yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

“Saya merasakan bahawa kos haji ini akan naik saban tahun namun dengan intervensi kerajaan dan agensi berkaitan kemungkinan harga bayaran haji ini dapat dikurangkan.

“Antara langkah segera yang boleh diambil oleh kerajaan Malaysia adalah dengan mengadakan rundingan terus dengan kerajaan Arab Saudi serta pengusaha hotel di sana supaya ada kos yang boleh dikurangkan merangkumi premium insurans, pengangkutan, penginapan, makanan dan sebagainya,” katanya.

JEMAAH HAJI BERGANDA

Mengulas lanjut, Raja Rizal Iskandar berkata, pertambahan bilangan jemaah haji pada musim haji tahun ini turut disifatkan sebagai faktor penarik kepada peningkatan kos mengerjakan haji.

Beliau menjelaskan, keadaan itu akan berlaku apabila terdapat jumlah permintaan yang melebihi penawaran sekali gus mewujudkan persaingan antara syarikat pengendali haji.

“Contohnya, dari segi peningkatan harga tiket kapal terbang yang mana apabila ada permintaan yang tinggi, kemungkinan harga tiket juga akan dinaikkan dan secara tidak langsung dari situ kos untuk seseorang jemaah ke tanah suci turut meningkat.

“Begitu juga daripada segi penginapan di Arab Saudi khususnya Makkah dan Madinah. 

Apabila lebih ramai rakyat dari seluruh dunia melaksanakan ibadah haji, keadaan ini akan menyebabkan penawaran bilik hotel agak terhad lantas membuatkan pengusaha hotel menaikkan harga bilik,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan bakal jemaah haji negara ini supaya mempertimbangkan kemampuan kewangan masing-masing bagi menampung kenaikan kos berkenaan.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan bersedia menerima seramai dua juta jemaah untuk musim haji tahun ini (2023).

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah berkata, angka berkenaan menyamai bilangan jemaah haji yang diterima sebelum pandemik COVID-19.

Daripada jumlah itu, kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia pada musim haji kali ini.

BUKAN PENYELESAIAN TOTAL

Ketika isu kenaikan kos menunaikan ibadah haji hangat dibincangkan, baru-baru ini ada pelbagai pihak yang menyarankan supaya TH memendekkan tempoh mengerjakan ibadah haji sebagai solusi mengurangkan beban bakal jemaah.

Pihak berkenaan mendakwa tempoh mengerjakan ibadah berkenaan sehingga 40 hari menyebabkan jemaah perlu menanggung kos lebih besar terutamanya bagi penginapan.

Dengan cara itu juga, secara tidak langsung lebih ramai umat Islam di Malaysia akan dapat menunaikan rukun Islam kelima itu.

Ketika diminta mengulas perkara ini, Shuhairimi berkata, ia boleh dilaksanakan namun menyifatkan ia bukan penyelesaian total.

“Secara realistiknya, kos yang ditanggung jemaah haji berkemungkinan tidak dapat dikurangkan secara signifikan kerana rekod menunjukkan peningkatan kos haji akan berlaku setiap tahun.

”…dan cadangan untuk memendekkan tempoh masa mengerjakan haji turut akan memberi pelbagai kesan lain termasuk dalam kos penginapan hotel. Ini kerana kos sewa hotel untuk penginapan haji cukup kompetitif dan perlu dibayar untuk satu musim haji, sekiranya ia disewa kurang daripada satu musim, sudah pastilah ia akan membawa kepada masalah kepada pemilik hotel berkenaan,” katanya.

Beliau menambah, asas pertimbangan utama untuk mengerjakan haji adalah berkemampuan atau istito’ah, dan dengan demikian, jemaah haji perlu realistik dan terbuka dalam menerima kenaikan kos haji tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar TH meneliti semula giliran haji dengan memberi keutamaan kepada warga emas supaya mereka berpeluang menunaikan ibadah haji.

Beliau berkata sekiranya TH terus mengekalkan konsep ‘Mendaftar Dahulu, Didahulukan’ yang diperkenalkan sejak 1995, golongan itu kemungkinan tidak lagi berkemampuan untuk mengerjakan ibadah haji.

“TH mungkin boleh memperuntukkan kuota sebanyak 30 peratus setiap tahun untuk diberikan kepada warga emas. Bagi saya sekiranya amalan kebiasaan menunggu giliran ini terus dipraktikkan, berkemungkinan kelompok ini tidak dapat mengerjakan ibadah haji memandangkan faktor usia yang meningkat selain mempunyai masalah keuzuran dan kesihatan,” katanya. — BERNAMA

Sumber: Bernama

 

Author

Antarabangsa

(VIDEO) Jordan, Palestin dan Israel ‘bersama di langit’ untuk saya – Narendra Modi

Perdana Menteri India, Narendra Modi mendakwa Jordan, Palestin dan Israel mempunyai perbezaan ketara tetapi negara itu “bersama di langit” untuk dirinya.

A.R. Khan

Published

on

Foto: Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Perdana Menteri India, Narendra Modi mendakwa Jordan, Palestin dan Israel mempunyai perbezaan ketara tetapi negara itu “bersama di langit” untuk dirinya.

Modi berkata demikian dalam temubual eksklusif “The Biggest Interview Of 2024” bersama India Today disiarkan hari ini di platform Youtube.

“Raja Jordan dapat tahu saya akan ke Palestin, dia jalur keturunan (Nabi) Muhammad, dia (Raja Jordan) berkata, “En Modi kamu tidak boleh ke sana begini, kamu tetamu saya. Kamu akan naik helikopter saya dan makan di rumah saya.”

“Saya pergi ke rumahnya, kami makan dan berbual. (Dengan) Helikopter Jordan, destinasi Palestin dan iringan jet Israel. Dunia (adalah) berbeza buat tiga negara ini, tetapi untuk Modi, semuanya bersama di langit,” dakwa Perdana Menteri India itu.

Dalam wawancara itu, Modi turut berkongsi usahanya untuk menghentikan pertempuran di Gaza pada Ramadan dan Israel cuba untuk akur yang akhirnya menyebabkan mereka hanya bertempur dua atau tiga hari sahaja.

“Di Gaza ketika Ramadan, saya hantar perutusan khas ke Israel. Dia berjumpa dengan Perdana Menteri Israel dan memberitahunya bahawa tidak sepatutnya Gaza dibom ketika Ramadan.

“Beliau (Israel) cuba akur. Mereka hanya bertempur dua tiga hari di bulan Ramadan. Tetapi saya telah menghantar utusan khas.

“Di sini (India) kamu menuduh saya bermain politik terhadap Muslim. Tapi Modi berusaha untuk hentikan pengeboman di Gaza. Saya tidak mahu publisiti untuk hal ini,” kata Modi.

India kini berdepan pilihanraya umum dan kenyataan Modi dipercayai bertujuan untuk memancing pengundi Muslim di negara majoriti Hindu itu. – The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending