Terkini
Sami Hindu sokong penutupan premis judi
Agama Hindu, sepertimana Islam, turut melarang penganutnya berjudi kerana kegiatan itu tidak membawa manfaat kepada masyarakat.
- Agama Hindu, sepertimana Islam, turut melarang penganutnya berjudi kerana kegiatan itu tidak membawa manfaat kepada masyarakat.
- Ketua Sami Kuil Sri Subramaniam di Kuala Selangor, Hariram Ramasamy berkata, atas sebab itu, beliau menyokong tindakan kerajaan negeri Kedah menutup premis perjudian dan loteri di negeri itu.
- “Kalau dalam agama Islam pun judi itu haram. Sama sahaja, tidak kira India ke Melayu ke Cina kata judi itu haram. Jadi kalau tutup mesti ikutlah. Kita tidak boleh berjudi,” katanya.
- Beliau mengulas penutupan operasi premis perjudian dan loteri di Kedah bermula 1 Januari 2023 susulan keputusan kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak memperbaharui lesen perjudian.
KUALA LUMPUR – Agama Hindu, sepertimana Islam, turut melarang penganutnya berjudi kerana kegiatan itu tidak membawa manfaat kepada masyarakat.
Ketua Sami Kuil Sri Subramaniam di Kuala Selangor, Hariram Ramasamy berkata, atas sebab itu, beliau menyokong tindakan kerajaan negeri Kedah menutup premis perjudian dan loteri di negeri itu.
“Judi itu dalam agama satu kesalahan. Judi itu tidak baik kan. Bagus juga kalau ditutup.
“Bagi saya setuju (premis perjudian dan loteri) ditutup, tapi pandangan orang lain, masyarakat lain macam kan.
“Mula-mula mungkin mereka marah, tapi lama-lama nanti boleh ikut sebab sudah tahu kan, sendiri faham,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau mengulas penutupan operasi premis perjudian dan loteri di Kedah bermula 1 Januari 2023 susulan keputusan kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak memperbaharui lesen perjudian.
Susulan itu, Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong dilaporkan memohon pertimbangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung perkara itu untuk menjaga keharmonian kaum, yang tidak dilayan kerajaan negeri Kedah.
Mengulas lanjut, Hariram, 56, berkata tanggapan judi sebagai satu perkara yang dibolehkan dalam kalangan penganut agama Hindu adalah salah.
“Kalau dalam agama Islam pun judi itu haram. Sama sahaja, tidak kira India ke Melayu ke Cina kata judi itu haram. Jadi kalau tutup mesti ikutlah. Kita tidak boleh berjudi,” katanya.
Beliau tidak menolak realiti bahawa terdapat kelompok yang berdegil masih bermain judi dan loteri.
“Kita kata judi itu salah tapi ada yang tak nak ikut dan bagi yang ikut itu mestilah jerit (marah), yang faham mesti diam.
“Dia marah itu peribadi sendirilah, walaupun hakikatnya tidak boleh. Macam (premis) minuman arak kalau kita tutup pun mesti dia marah juga. Ada yang penyokong dan ada yang tidak sokong,” katanya. – The Merdeka Times