Connect with us

Terkini

Perak ambil langkah penambahbaikan berkait isu tanah rizab Melayu

Kerajaan negeri Perak melalui Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) telah mengambil langkah-langkah penambahbaikan terhadap syor-syor yang dikemukakan dalam laporan Jabatan Audit Negara berkaitan isu tanah rizab Melayu di negeri ini.

Wartawan TMT

Published

on

Perak ambil langkah penambahbaikan berkait isu tanah rizab Melayu
Foto: Datuk Seri Saarani Mohamad.
  • “Proses penambahbaikan yang dilakukan masih berjalan dengan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) telah beri laporan secara berkala sehinggalah Jabatan Audit Negara berpuas hati bahawa isu-isu yang dibangkitkan diselesaikan secara tuntas. – Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad
  • “Antaranya cadangan pindaan Akta Syarikat 1965 pada memorandum dan artikel persatuan untuk letakkan sekatan pertukaran pemegang saham kepada bukan Melayu bagi syarikat Melayu dan penambahbaikan Enakmen Rizab Melayu.
  • “Juga pengukuhan data-data Tanah Rizab Melayu, komitmen pengekalan pegangan Melayu dalam Tanah Rizab Melayu dan galakan pembangunan Tanah Rizab Melayu bagi tujuan kemajuan ekonomi untuk kepentingan orang Melayu di Negeri Perak,”

IPOH: Kerajaan negeri Perak melalui Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) telah mengambil langkah-langkah penambahbaikan terhadap syor-syor yang dikemukakan dalam laporan Jabatan Audit Negara berkaitan isu tanah rizab Melayu di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setelah isu tanah rizab Melayu disiarkan dalam media pada 24 Januari 2021, Jabatan Audit Negara telah melakukan proses audit terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan termasuk dalam soal endorsan kemasukan tanah rizab Melayu dalam dokumen hakmilik, pencerobohan tanah rizab dan penggantian tanah rizab yang tidak setara dengan pembatalan.

Menurutnya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan negeri Perak mengarahkan supaya PTG mengambil tindakan dan langkah-langkah sewajarnya dengan mengemukakan maklum balas terhadap perkara-perkara berkenaan secara terus kepada Jabatan Audit Negara.

“Proses penambahbaikan yang dilakukan masih berjalan dengan PTG telah memberi laporan secara berkala sehinggalah Jabatan Audit Negara berpuas hati bahawa isu-isu yang dibangkitkan diselesaikan secara tuntas.

“Walaupun sebahagian daripada isu-isu yang dibangkitkan telah dapat diselesaikan, namun PTG telah mengambil inisiatif secara berterusan untuk menambahbaik polisi pemerkasaan tanah rizab Melayu di negeri Perak.

“Antaranya cadangan pindaan Akta Syarikat 1965 pada memorandum dan artikel persatuan untuk meletakkan sekatan pertukaran pemegang saham kepada bukan Melayu bagi syarikat Melayu dan penambahbaikan Enakmen Rizab Melayu.

“Juga pengukuhan data-data Tanah Rizab Melayu, komitmen pengekalan pegangan Melayu dalam Tanah Rizab Melayu dan galakan pembangunan Tanah Rizab Melayu bagi tujuan kemajuan ekonomi untuk kepentingan orang Melayu di Negeri Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini menyiarkan laporan mengenai pengurusan tanah rizab Melayu di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah rizab Melayu di Mukim Jaya Baru dan Sitiawan dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.

Tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 142 dan tidak mengikut Seksyen 419 Kanun Tanah Negara.

Perkara itu didedahkan Jabatan Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019, Siri 2 – Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 September 2021.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Perak didesak segera bertindak memandangkan laporan berkenaan sudah didedahkan lebih setahun lalu namun didakwa belum ada tindakan susulan. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending