Terkini
MOT bincang KTMB, Prasarana sedia perkhidmatan percuma kepada OKU & pelajar
Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengadakan perbincangan dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berhubung usaha menyediakan perkhidmatan percuma kepada orang kurang upaya (OKU) dan pelajar.
- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengadakan perbincangan dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkaitan usaha menyediakan perkhidmatan percuma kepada (OKU) dan pelajar.
- “Memang hasrat kita (MOT) untuk membantu golongan OKU dan pelajar, jadi kita sedang melihat ada sektor-sektor atau perkhidmatan yang mungkin kita dapat berikan secara percuma mengikut fasa.
- “Kita telah meminta KTMB untuk melihat bagaimana kita boleh optimum subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada KTMB untuk kegunaan atau manfaat golongan OKU dan pelajar.” – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengadakan perbincangan dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berhubung usaha menyediakan perkhidmatan percuma kepada orang kurang upaya (OKU) dan pelajar.
Perbincangan itu bertujuan menetapkan mekanisme terbaik dalam memberi perkhidmatan pengangkutan berkenaan kepada golongan sasaran terbabit.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata perbincangan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat iaitu selepas sambutan Tahun Baharu Cina.
Katanya, MOT komited untuk memberikan perkhidmatan percuma kepada OKU dan pelajar khususnya dalam perkhidmatan komuter dan kereta api.
“Memang hasrat kita (MOT) untuk membantu golongan OKU dan pelajar, jadi kita sedang melihat ada sektor-sektor atau perkhidmatan yang mungkin kita dapat berikan secara percuma mengikut fasa.
“Kita telah meminta KTMB untuk melihat bagaimana kita boleh optimum subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada KTMB untuk kegunaan atau manfaat golongan OKU dan pelajar.
“Ia termasuk di kawasan Pantai Timur dan Lembah Klang dan juga komuter utara, umpamanya perkhidmatan KTM Komuter daripada Negeri Sembilan sampai Tanjung Malim, Komuter Utara dari Padang Rengas ke Alor Setar dan di sebelah Pantai Timur juga ada perkhidmatan kereta api yang digunakan pelajar.
“Jadi, kita akan melihat situasi ini bagi menawarkan perkhidmatan percuma khususnya bagi perkhidmatan komuter dan kereta api, namun begitu maklumat lebih lanjut akan diumumkan selepas perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir Majlis Perasmian Pertandingan Tulisan Kaligrafi Cina Sempena Tahun Baharu Cina di Sekolah Tinggi Chung Hua di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan yang turut hadir, Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta Pengerusi Jawatankuasa Pengelola sekolah berkenaan, Datuk Chong Khin Sang.
Loke mengulas mengenai kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, bahawa golongan OKU bakal menikmati kelebihan menggunakan perkhidmatan awam secara percuma.
Nancy dilaporkan berkata, ketika ini OKU diberi diskaun 50 peratus bagi tambang pengangkutan awam, tetapi tidak ramai daripada golongan itu yang menikmati manfaat berkenaan.
Mengulas lanjut, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata pihaknya berhasrat untuk mengoptimumkan sumber yang ada demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat khususnya golongan kurang bernasib baik.
“Kementerian saya akan menstruktur semula segala bantuan dan subsidi yang diberikan kerajaan supaya ia lebih bersasar dan sampai kepada golongan yang memerlukannya.
“Dalam hal ini, saya (MOT) tidak memerlukan peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan, sebaliknya menggunakan peruntukan sedia ada dengan merombak semula dan menyasar peruntukan itu, ia dapat membantu khususnya bagi golongan OKU dan juga pelajar,” katanya.
Loke menegaskan, MOT sudah mempunyai perancangan mengenai perkara berkenaan dan beliau akan melawat Stesen KTM Sentral esok bagi melihat secara dekat perkhidmatan berkenaan.
Menurutnya, beliau juga akan bertemu dengan pihak pengurusan KTMB dan Prasarana selepas musim perayaan ini, bagi memperincikan bentuk dan kaedah perkhidmatan percuma terbabit.
“Saya juga sudah meminta pihak operator KTMB dan Prasarana untuk bagaimana kita boleh melaksanakan inisiatif ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian
You must be logged in to post a comment Login