Connect with us

Terkini

Cukai perjudian, minuman keras dan tembakau mungkin dinaikkan

Kerajaan mungkin akan menyemak semula cukai ‘dosa’ dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula pada 24 Februari depan bagi mencari sumber kewangan tambahan berikutan tekanan daripada kenaikan perbelanjaan, termasuk pemberian subsidi.

Wartawan TMT

Published

on

Cukai perjudian, minuman keras dan tembakau mungkin dinaikkan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kerajaan mungkin akan semak semula cukai ‘dosa’ dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula pada 24 Februari depan bagi cari sumber kewangan tambahan berikutan tekanan daripada kenaikan perbelanjaan, termasuk pemberian subsidi. 
  • Cukai dikenakan kepada sektor perjudian, minuman keras dan tembakau sudah tinggi, bukan hanya melalui cukai korporat sebanyak 24 peratus, tetapi juga pelbagai jenis cukai dan perlesenan. 
  • “Memang sangat mudah ‘menghukum’ sektor ini, tetapi dari segi aspek pertambahan pendapatan negara tidak begitu digalakkan kerana kebergantungan kepada hasil tidak berkelulusan syariah.
  • “Dari aspek perniagaan pula ia boleh beri kesan negatif kepada pelaburan asing jika cukai segmen ini dinaikkan kerana menunjukkan dasar kerajaan tidak mesra perniagaan, malah suka menekan perniagaan apabila mahukan pendapatan lebih,” kata Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin akan menyemak semula cukai ‘dosa’ dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula pada 24 Februari depan bagi mencari sumber kewangan tambahan berikutan tekanan daripada kenaikan perbelanjaan, termasuk pemberian subsidi. 

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kali terakhir cukai ‘dosa’ dinaikkan adalah pada 2018, apabila Pakatan Harapan (PH) semasa itu mengambil alih sebagai kerajaan baharu.

Katanya, namun cukai yang dikenakan kepada sektor perjudian, minuman keras dan tembakau sudah pun tinggi, bukan hanya melalui cukai korporat sebanyak 24 peratus, tetapi juga pelbagai jenis cukai dan perlesenan. 

“Sebagai contoh, cukai perjudian menyumbang kira-kira RM80 juta seminggu kepada kerajaan dengan cukai cabutan khas RM113.29 juta pada 2019 dan RM72.53 juta pada 2020.

“Kasino dan pengendali resort bersepadu, Genting dan Gen Malaysia sahaja membayar RM1.18 bilion cukai korporat untuk sembilan bulan pertama 2022. 

“Pertaruhan nombor ramalan (NFO) Magnum dan Sports Toto membayar cukai pendapatan RM49.99 juta, manakala pembuat minuman keras, Carlsberg dan Heineken membayar cukai RM78.52 juta,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Dr Aimi berkata, menurut data Kementerian Kewangan (MOF), dari 2010 hingga September 2021, kerajaan mengutip RM20.11 bilion dalam duti eksais ke atas produk arak, manakala hasil cukai tembakau dianggarkan lebih RM5 bilion setahun atau lebih tiga peratus daripada jumlah penerimaan cukai. 

“Memang sangat mudah untuk ‘menghukum’ sektor ini, tetapi dari segi aspek pertambahan pendapatan negara tidak begitu digalakkan kerana kebergantungan kepada hasil yang tidak berkelulusan syariah.

“Dari aspek perniagaan pula ia boleh memberikan kesan negatif kepada pelaburan asing jika cukai segmen ini dinaikkan kerana menunjukkan dasar kerajaan yang tidak mesra perniagaan, malah suka menekan perniagaan apabila mahukan pendapatan lebih,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat langkah meningkatkan kadar cukai ‘dosa’ bukan sesuatu yang produktif kerana jumlah kutipannya tidak besar.

Malah, sebagai contoh katanya, apabila produk tembakau atau minuman keras dikenakan cukai lebih tinggi, jumlah jualannya menurun kerana pengguna beralih ke rokok seludup yang lebih murah. 

“Jika kerajaan mahu menaikkan cukai kerana mahu menambahkan hasil, ini bukan caranya. 

“Kaedah yang lebih baik ialah dengan meneliti pada cukai yang lebih produktif seperti cukai ke atas dividen atau cukai ke atas keuntungan modal.

“Jadi saya rasa kerajaan tidak perlu mengusik cukai ‘dosa’ ini untuk jangka pendek kerana hanya ada masa yang singkat untuk menyediakan Bajet 2023 ini. 

“Sebaliknya, kita perlu menumpukan kepada aspek lain dan saya mengharapkan kerajaan berani menubuhkan tabung endowmen untuk perlindungan sosial dan ini tidak memerlukan cukai,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending