Antarabangsa
Veteran tentera udara beri peringatan kerajaan baharu rejim Israel berbahaya
Lebih 1,000 veteran tentera udara kanan Israel, termasuk bekas ketua turus tentera Israel, semalam menggesa pegawai tinggi undang-undang negara itu berdiri teguh menentang kerajaan akan datang.

- Lebih 1,000 veteran tentera udara kanan, termasuk bekas ketua turus tentera Israel, semalam menggesa pegawai tinggi undang-undang negara itu berdiri teguh menentang kerajaan akan datang.
- Melalui isi surat kepada ketua Mahkamah Agung Israel dan pegawai tertinggi lain, mereka berkata pakatan parti haluan kanan berteraskan agama dan ultranasionalis akan mengancam masa depan Israel.
- “Kami mewakili semua lapisan masyarakat dan dari seluruh spektrum politik. Kami berkongsi ketakutan yang sama, bahawa negara demokrasi Israel berada dalam bahaya,” kata surat itu.
- Antara perkara ditentang ialah usaha mempromosikan perundangan untuk membenarkan seorang ahli politik yang menghabiskan masa di penjara dalam kes rasuah untuk berkhidmat sebagai menteri Kabinet, walaupun masih dibicarakan untuk sabitan berasingan atas kesalahan cukai.
BAITULMAQDIS: Lebih 1,000 veteran tentera udara kanan Israel, termasuk bekas ketua turus tentera Israel, semalam menggesa pegawai tinggi undang-undang negara itu berdiri teguh menentang kerajaan akan datang.
Dalam surat kepada ketua Mahkamah Agung Israel dan pegawai tertinggi lain, mereka berkata pakatan parti haluan kanan berteraskan agama dan ultranasionalis itu akan mengancam masa depan Israel.
Surat itu dihantar beberapa hari sebelum kerajaan gabungan baharu di bawah pimpinan Benjamin Netanyahu mula mengambil alih pentadbiran.
“Kami mewakili semua lapisan masyarakat dan dari seluruh spektrum politik. Kami berkongsi ketakutan yang sama, bahawa negara demokrasi Israel berada dalam bahaya,” kata surat itu.
Mereka turut menggesa pegawai undang-undang sebagai ‘garisan pertahanan terakhir’ dan memohon pihak berkenaan ‘melakukan segala-galanya dalam bidang kuasa mereka bagi menghentikan bencana yang menjejaskan negara’.
Antara yang menandatangani surat mempunyai hampir 1,200 tandatangan itu ialah Dan Halutz, yang berkhidmat sebagai ketua turus tentera dari 2005 hingga 2007; bekas komander tentera udara, Avihu Ben-Nun dan bekas ketua perisikan tentera, Amos Yadlin.
Ketiga-tiga mereka adalah bekas juruterbang pesawat tempur.
Pada pilihan raya 1 November lalu, parti pimpinan Netanyahu, yang juga bekas Perdana Menteri Israel, bergabung dengan parti ultra-ortodoks dan sayap kanan bagi meraih majoriti di Parlimen.
Meskipun mereka belum menyelesaikan rundingan gabungan, Netanyahu bagaimanapun mencapai beberapa siri perjanjian yang akan memberikan kuasa kepada rakan kongsi sayap kanannya ke atas pasukan polis negara dan pembinaan penempatan di Tebing Barat yang diceroboh.
Menurut laporan itu, Netanyahu boleh mengurangkan pembabitan ketara dalam kebenaran pembinaan penempatan, selepas kuasa itu dipindahkan kepada Parti Agama Zionis, dipimpin oleh Bezalel Smotrich, mengikut perjanjian gabungan.
Mereka mempromosikan perundangan untuk membenarkan seorang ahli politik yang menghabiskan masa di penjara dalam kes rasuah untuk berkhidmat sebagai menteri Kabinet, walaupun masih dibicarakan untuk sabitan berasingan atas kesalahan cukai.
Mereka juga dijangka mempromosikan satu siri perubahan dalam sistem perundangan yang kononnya pengkritik akan melemahkan badan kehakiman dan berpotensi menolak tuduhan jenayah terhadap Netanyahu.
Ahad lalu, Netanyahu menegur sekutu berhubung komen anti-LGBTQ yang berkaitan kumpulan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LBGT).
Netanyahu dijangka kembali memegang jawatan sebagai ketua kerajaan baru pada Khamis ini. – AP
Sumber: Berita Harian
