Connect with us

Terkini

Pinda dulu akta dan perlembagaan persekutuan jika mahu hapus kuasa PM dalam lantikan JAC

Badan Peguam Malaysia menggesa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memastikan kebebasan badan kehakiman yang lebih luas.

Wartawan TMT

Published

on

Pinda dulu akta dan perlembagaan persekutuan jika mahu hapus kuasa PM dalam lantikan JAC
Foto: Karen Cheah
  • Badan Peguam menggesa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda memastikan kebebasan badan kehakiman yang lebih luas.
  • Presidennya Karen Cheah berkata kuasa PM dalam proses pelantikan kehakiman bawah akta perlu dihapuskan bagi menjalankan tugasnya secara bebas daripada eksekutif.
  • Pelantikan ahli JAC harus dilakukan menerusi satu set kriteria untuk semua rakyat Malaysia dan demi kebaikan badan kehakiman serta negara.
  • Badan Peguam konsisten sokong komposisi keseluruhan JAC mencerminkan kepelbagaian dan keterangkuman untuk demografi Malaysia, terdiri daripada wakil semua kaum, agama, budaya dan profesion.

PETALING JAYA: Badan Peguam Malaysia menggesa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memastikan kebebasan badan kehakiman yang lebih luas.

Presidennya Karen Cheah berkata kuasa perdana menteri dalam proses pelantikan kehakiman bawah akta itu mesti dihapuskan bagi membolehkan suruhanjaya itu menjalankan tugasnya secara bebas daripada eksekutif.

Cheah berkata, peruntukan mengenai representasi pihak berkepentingan bawah akta itu perlu dikaji semula oleh pengamal undang-undang dan peguam negara.

Katanya, pelantikan ahli JAC mesti dilakukan menerusi satu set kriteria sesuai untuk semua rakyat Malaysia dan demi kebaikan badan kehakiman serta negara.

“Adalah penting bahawa kerajaan pada masa itu, yang menyatakan ia tegas dalam tadbir urus yang baik, meneruskan langkah ke hadapan dengan mempunyai kemahuan politik untuk membuat pindaan kepada Akta JAC dan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, untuk menubuhkan badan kehakiman yang bebas untuk demi sistem demokrasi yang betul dalam negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Perkara 122B menetapkan bahawa hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, bertindak atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-raja dan ketua hakim negara.

Semalam, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkata perdana menteri tidak seharusnya dibenarkan melantik ahli JAC.

Tuanku Muhriz yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-260 semalam berkata, terdapat kelemahan dalam proses pelantikan hakim yang boleh diselesaikan.

Beliau mencadangkan lima pelantikan ke JAC tidak dibuat oleh perdana menteri bagi memastikan kebebasan suruhanjaya itu dalam menjalankan tugasnya.

Sambil menyifatkan kenyataan Tuanku Muhriz tepat pada masanya, Cheah berkata Badan Peguam telah menyerahkan kertas kerja untuk mengkaji semula Akta JAC kepada kerajaan pada 2018 kerana bimbang proses pelantikan hakim tidak bebas daripada pengaruh eksekutif.

Beliau berkata, Badan Peguam secara konsisten menyokong komposisi keseluruhan JAC untuk mencerminkan kepelbagaian dan keterangkuman untuk mencerminkan demografi Malaysia, yang terdiri daripada wakil semua kaum, agama, budaya dan profesion.

“Jika komposisi JAC mencerminkan masyarakat Malaysia kita, ia akan meningkatkan keyakinan dan penerimaan orang ramai terhadap keputusan yang dibuat oleh badan kehakiman kerana hakim-hakim ini pada asasnya mewakili dan membuat keputusan yang menjejaskan kehidupan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Ketika ini, perdana menteri diberi kuasa melantik hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang bersidang dan empat orang penting ke JAC.

JAC terdiri daripada sembilan ahli – empat pentadbir kehakiman tertinggi diketuai oleh ketua hakim negara, serta seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan dan empat orang penting lain, yang dilantik oleh perdana menteri.

Sumber: FreeMalaysiaToday

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending