Connect with us

Terkini

Peruntukan ADUN, pusat khidmat dan Speaker diberi atas semangat demokrasi

Langkah kerajaan Perak meneruskan peruntukan kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta peruntukan sama rata kepada pusat khidmat menunjukkan semangat demokrasi dan amalan politik matang.

Wartawan TMT

Published

on

Peruntukan ADUN, pusat khidmat dan Speaker diberi atas semangat demokrasi
Foto: Sandrea Ng Shy Ching.
  • Langkah kerajaan Perak meneruskan peruntukan kepada semua 59 ADUN dan Speaker DUN serta peruntukan sama rata kepada pusat khidmat menunjukkan semangat demokrasi dan amalan politik matang.
  • Kerajaan negeri menghormati hak rakyat semua kawasan dan tunjuk komitmen untuk kerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang demi kesejahteraan negeri dan rakyat.
  • “Sebelum ini, ADUN pembangkang menerima peruntukan apabila menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan pihak kerajaan iaitu adalah menjadi satu daripada syarat untuk kerajaan menyalurkan peruntukan secara sama rata.”- kata ADUN Teja dari PKR, Sandrea Ng Shy Ching.

IPOH: Langkah kerajaan Perak meneruskan peruntukan kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta peruntukan sama rata kepada pusat khidmat menunjukkan semangat demokrasi dan amalan politik matang.

ADUN Teja dari PKR, Sandrea Ng Shy Ching, berkata ia bukti bahawa kerajaan menghormati hak rakyat di semua kawasan dan menunjukkan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang demi kesejahteraan negeri dan rakyat.

“Sebelum ini, ADUN pembangkang menerima peruntukan apabila menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan pihak kerajaan iaitu adalah menjadi satu daripada syarat untuk kerajaan menyalurkan peruntukan secara sama rata.

“Bagi kerajaan negeri Perak pada hari ini pula, peruntukan tetap diberikan kepada pembangkang meskipun sebenarnya tiada sebarang perjanjian yang mengikat pihak kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak berkata penambahan peruntukan bagi setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pula dilihat dapat membantu mereka melaksanakan tugas dan pembangunan di bawah portfolio masing-masing dengan lebih berkesan dan cekap.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2023 mengumumkan peruntukan bagi ADUN dan Speaker pada kadar RM0.3 juta setahun bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil, program dan bekalan selain RM0.04 juta disediakan bagi empat program perayaan utama.

Saarani turut mengumumkan peruntukan Pusat Khidmat ADUN diteruskan dengan kadar RM7,000 sebulan iaitu dengan jumlah keseluruhan menghampiri RM5.0 juta setahun bagi semua 59 Pusat Khidmat.

Selain itu, setiap EXCO akan menerima tambahan peruntukan berjumlah RM0.3 juta iaitu peningkatan RM0.1 juta daripada 2022 yang tidak terhad kepada kawasan masing-masing.

Sementara itu, ADUN Sungai Manik dari BERSATU, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata beliau mengalu-alukan pengekalan peruntukan itu memandangkan beliau adalah bekas EXCO yang bersama-sama Saarani ketika mula membuat keputusan mengenai pembahagian peruntukan sama rata kepada semua ADUN dan Speaker ketika pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

“Ia boleh membantu ADUN untuk berurusan dengan rakyat yang memerlukan sumbangan kewangan segera, mahupun projek kecil di kawasan masing-masing seperti wang perbelanjaan bagi perjalanan untuk pergi mendapatkan rawatan, ziarah orang sakit atau kematian dan juga kos rawatan yang diperlukan.

“Peruntukan juga boleh digunakan bagi kerja pembaikan kecil di kawasan masing-masing seperti pembaikan atap atau bekalan bahan tertentu,” katanya.

Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi. – BERNAMA.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending