Connect with us

Terkini

Perokok tegar, penjual rokok haram kini dipantau kamera badan penguatkuasa KKM

Penggunaan kamera badan dalam kalangan penguat kuasa kesihatan mampu menangani isu rokok secara keseluruhannya termasuk mengesan perokok tegar di kawasan-kawasan larangan seperti premis makanan.

Wartawan TMT

Published

on

Perokok tegar, penjual rokok haram kini dipantau kamera badan penguatkuasa KKM
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Penggunaan kamera badan dalam kalangan penguat kuasa kesihatan mampu tangani isu rokok dan mengesan perokok tegar di kawasan larangan seperti premis makanan.
  • Rakaman video dan gambar yang direkodkan sebagai bahan bukti kesalahan dan sokongan keterangan selain menjaga keselamatan dan memelihara integriti anggota penguatkuasa. – Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr. Nor’Aishah Abu Bakar
  • Langkah berkenaan diyakini mampu memberi pengajaran kepada individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan. – Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George

 

PETALING JAYA: Penggunaan kamera badan dalam kalangan penguat kuasa kesihatan mampu menangani isu rokok secara keseluruhannya termasuk mengesan perokok tegar di kawasan-kawasan larangan seperti premis makanan.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (​UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, inisiatif itu dalam masa sama dapat mengenal pasti golongan penjual rokok haram yang semakin berleluasa ketika ini.

“Perkembangan ini amat baik seiring dengan di negara-negara maju yang menggunakan teknologi dalam pelaksanaan penguatkuasaan sebagai langkah keselamatan di samping untuk mengesan pesalah.

“Saya harap inisiatif ini dapat diperluaskan ke seluruh negara terutama di lokasi hotspot kerana jumlah kawasan perokok haram di Malaysia adalah tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam (21 Disember).

Kelmarin, Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan, Dr. Nor’Aishah Abu Bakar berkata, sebanyak 147 notis kesalahan larangan merokok dikeluarkan dalam 10 operasi penguatkuasaan di sekitar ibu negara dan Putrajaya sejak 12 Disember lalu.

Katanya, tindakan tersebut diambil penguat kuasa jabatan itu berdasarkan penggunaan kamera badan.

Katanya, rakaman video dan gambar yang direkodkan akan digunakan sebagai bahan bukti kesalahan dan sokongan keterangan selain menjaga keselamatan dan memelihara integriti anggota penguat kuasa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, langkah berkenaan diyakini mampu memberi pengajaran kepada individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan.

Katanya, walaupun larangan merokok di semua premis makanan dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2019, namun masih ramai yang melanggar peraturan berkenaan.

“Apabila ditegur kakitangan restoran, ada perokok yang mahu mengugut dan memukul mereka jadi saya bersetuju dengan penggunaan kamera badan oleh penguatkuasa kesihatan.

“Kita harap penguatkuasa lain turut dilengkapi teknologi sama termasuk polis,” katanya.- UTUSAN

 

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending