Connect with us

Terkini

PAS bukan parti ekstrem – Saifuddin Abdullah

Seorang pemimpin Bersatu yakin saranannya agar PN mengambil pendekatan sederhana bagi mewujudkan suasana demokrasi matang boleh dicapai walaupun salah satu parti komponennya, PAS, dilabel ekstrem oleh sesetengah pihak.

Wartawan TMT

Published

on

PAS bukan parti ekstrem - Saifuddin Abdullah
Foto: Saifuddin Abdullah
  • Seorang pemimpin Bersatu yakin saranannya agar PN ambil pendekatan sederhana bagi wujudkan suasana demokrasi matang boleh dicapai walaupun salah satu parti komponennya, PAS, dilabel ekstrem oleh sesetengah pihak.
  • “Kita harus ingat bahawa PAS sudah pun meletakkan calon bukan Melayu dan bukan Islam pada PRU ke-15 lalu. – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah
  • “PAS juga mempunyai seorang senator berbangsa India dan PAS bukanlah dikatakan sebagai ekstrem itu.” 
  • “Di Kelantan ada patung Buddha terbesar di Asia Tenggara, manakala Kedah mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi pada 2021.”
  • “Kini masa untuk PN melakukan dua perkara pokok iaitu jadi pembangkang yang konstruktif, profesional dan progresif di peringkat Parlimen dan DUN.”

Seorang pemimpin Bersatu yakin saranannya agar PN mengambil pendekatan sederhana bagi mewujudkan suasana demokrasi matang boleh dicapai walaupun salah satu parti komponennya, PAS, dilabel ekstrem oleh sesetengah pihak.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Saifuddin Abdullah berkata ada beberapa indikator yang menunjukkan PAS bukanlah ekstrem seperti mana tanggapan pengkritik mereka.

“Saya kira perkara itu (pendekatan sederhana) boleh dilaksanakan.

“Kita harus ingat bahawa PAS sudah pun meletakkan calon bukan Melayu dan bukan Islam pada PRU ke-15 lalu.

“PAS juga mempunyai seorang senator berbangsa India dan PAS bukanlah dikatakan sebagai ekstrem itu,” katanya.

Ahli parlimen Indera Mahkota itu juga berhujah pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah juga boleh menjadi bukti bahawa parti terbabit tidak bersifat ekstrem.

Di Kelantan misalnya, kata Saifuddin, ada patung Buddha terbesar di Asia Tenggara, manakakala Kedah mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi pada 2021.

“Itu semua indikator penting yang meunjukkan PAS bukan sebuah parti yang ekstrem seperti anggapan oleh sesetangah pihak,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada media selepas program ceramah di Taman Mahsuri, Padang Serai, malam tadi.

Melayu sokong PAS, PN

Terdahulu dia yang pernah dilantik menjadi menteri luar dalam dua kerajaan berbeza ditanya berhubung hasratnya untuk mengolah semula idealisme perjuangan PN untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang lebih konstruktif.

Terdahulu Saifuddin berkata perubahan idealisme itu perlu dilaksanakan bagi mewujudkan suasana demokrasi Malaysia lebih matang, sederhana dan segar.

“Kini masa untuk PN melakukan dua perkara pokok iaitu menjadi pembangkang yang konstruktif, profesional dan progresif di peringkat parlimen dan dewan undangan negeri (DUN).

“Selain itu, perkara kedua pula adalah memperbaiki parti gabungan dan ini penting untuk demokrasi di Malaysia yang memiliki pelbagai kaum,” katanya.

Pada masa sama PAS dianggap terus melakukan serangan agresif kepada kerajaan, termasuk dalam kalangan pemimpinnya yang memainkan sentimen agama dan kaum.

Terdahulu Majlis Raja-Raja sudah mengeluarkan kenyataan menitahkan agar semua pihak menjauhi amalan membangkitkan isu perkauman atau agama untuk menghasut masyarakat.

Menafikan tanggapan terhadap PAS itu, Saifuddin menegaskan, sokongan yang ditunjukkan oleh pengundi kepada PAS dan PN pada PRU lalu juga membuktikan mereka berjaya menguasai kerusi-kerusi majoriti Melayu.

“Bagi orang Melayu sebenarnya kalau kita ambil analisis awal sokongan orang Melayu di semenanjung, jumlah kerusi yang dianggap kerusi maoriti pengundi Melayu, BN cuma menang 21 kerusi dan PH hanya 20 kerusi, sebaliknya PN menguasai 70 kerusi.

“Jadi orang Melayu ada pelbagai peringkat, kelas menengah, tahap pendidikan, ada di kampung dan ada di bandar.

“Kalau PAS itu ekstrem, PAS takkan memenangi kerusi sebanyak itu dan Bersatu juga takkan menang sebanyak yang kami menang,” katanya.

Tambah Saifuddin, ekstrem itu hanya dikatakan orang yang memberi kritikan, tetapi pengundi memberi undian kepada PAS dan Bersatu.

“Jadi yang mana satu kita nak pakai? Analisis atau pengkritik, ataupun pengundi yang telah menyatakan sokongan yang cukup besar kepada PAS?” ujarnya.

Sumber: Malaysia Kini

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending