Connect with us

Terkini

Mangsa banjir degil, enggan pindah cabaran besar buat anggota Bomba

Bencana banjir yang melanda Terengganu ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk, tetapi turut dirasai pasukan keselamatan khususnya anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran demi menyelamatkan mangsa.

Wartawan TMT

Published

on

Mangsa banjir degil, enggan pindah cabaran besar buat anggota Bomba
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • “Walaupun sudah biasa dengan kerenah mangsa berdegil apabila diarahkan berpindah tetapi dalam keadaan kecemasan seperti bencana banjir ini, kesabaran anggota kami juga sedikit tercabar.”
  • Dalam situasi kecemasan seperti ini, matlamat utama selamatkan mangsa walaupun terpaksa ‘tahan rasa’ ketika pujuk serta rayu sehingga mangsa setuju dipindahkan.
  • “Apabila mangsa setuju berpindah, ia adalah kejayaan buat kami… apa kami lakukan adalah semata-mata mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku,” – Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman

KUALA TERENGGANU, 20 Dis (Bernama) –  Bencana banjir yang melanda Terengganu ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk, tetapi turut dirasai pasukan keselamatan khususnya anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran demi menyelamatkan mangsa.

Kejadian banjir yang mula melanda negeri ini pada 14 Disember lepas menyaksikan 29,717 mangsa membabitkan lebih 8,000 keluarga diselamatkan dan dipindahkan ke 293 pusat pemindahan sementara (PPS) yang sedang beroperasi di kesemua lapan daerah, setakat malam tadi.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ahmad Izram Osman berkata, secara umumnya operasi menyelamat dan memindah mangsa terjejas banjir berjalan lancar.

Bagaimanapun, terdapat cabaran besar yang dihadapi pihaknya termasuklah berdepan dengan mangsa yang enggan berpindah walaupun kawasan atau kediaman mereka, dinaiki air.

“Walaupun sudah biasa dengan kerenah mangsa yang berdegil apabila diarahkan berpindah tetapi dalam keadaan kecemasan seperti bencana banjir ini, kesabaran anggota kami juga sedikit tercabar.

“Saya sering ingatkan anggota bahawa selain kekuatan fizikal, kesabaran juga amat diperlukan dalam menjayakan misi menyelamat yang dilaksanakan,” katanya ketika ditemui semasa menyertai operasi memindah dan menyelamat mangsa banjir di Kampung Pulau Rusa Hulu, di sini malam tadi.

Turut serta dalam operasi itu ialah Pengarah Penyiasatan Kebakaran JBPM Putrajaya Azimin Mat Noor; Pengarah JBPM Terengganu Mohd Holman Abdul Rashid dan timbalannya Mohd Khairiri Mat Resad @ Arshad.

Ahmad Izram berkata, dalam situasi kecemasan seperti ini, matlamat utama mereka adalah menyelamatkan mangsa walaupun terpaksa ‘menahan rasa’ ketika memujuk serta merayu sehingga mangsa bersetuju untuk dipindahkan.

“Apabila mangsa setuju berpindah, ia adalah kejayaan buat kami… apa yang kami lakukan adalah semata-mata untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Dalam operasi di Kampung Pulau Rusa Hulu, Ahmad Izram sendiri membantu memujuk beberapa mangsa banjir yang enggan berpindah walaupun kediaman mereka sudah melepasi paras pinggang orang dewasa.

Antara yang berjaya dipujuk adalah seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Nek Mah, 70, yang pada awalnya berkeras untuk terus tinggal di rumah bersama anak, menantu dan tiga orang cucu. 

Selain Nek Mah, seramai 28 mangsa daripada 10 keluarga dari kampung berkenaan berjaya dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Losong dalam operasi yang berakhir kira-kira 12.45 tengah malam.

Sumber : Bernama

 

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending