Connect with us

Terkini

Jangan letak lantikan politik dalam IPCC – Mantan Ketua Polis Negara

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berharap pelaksanaan Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) tidak membabitkan individu dalam kalangan lantikan politik.

Wartawan TMT

Published

on

Jangan letak lantikan politik dalam IPCC - Mantan Ketua Polis Negara
Foto: Tan Sri Musa Hassan (kiri), Datuk Hussin Awang Ngah (kanan)
  • Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berharap Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) tidak libatkan individu lantikan politik. 
  • Sebaiknya pasukan bebas bakal ditubuhkan sebagai entiti siasatan sesuatu kes itu babitkan mereka berpengalaman dalam pasukan PDRM sendiri. 
  • “Kita tidak mahu jawatankuasa ini tidak dianggotai polis kerana keputusan hanya dibuat berdasarkan andaian luar saja,” – Presiden Persatuan Kebajikan Veteran Polis Malaysia (VPOL), Datuk Hussin Awang Ngah

 

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berharap pelaksanaan Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) tidak membabitkan individu dalam kalangan lantikan politik. 

Beliau berkata, sebaiknya pasukan bebas yang bakal ditubuhkan sebagai entiti siasatan sesuatu kes itu perlu membabitkan mereka yang berpengalaman dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri. 

“Pewartaan suruhanjaya bebas itu amat bagus dan tepat, namun sebaiknya tidak berlaku lantikan politik dalam pembentukan badan siasatan itu untuk kes membabitkan IPCC,” katanya kepada BH. 

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang medianya mengumumkan untuk melaksanakan IPCC bermula Jun tahun depan selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mengenai tarikh penguatkuasaan akta itu.

Pada 26 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) IPCC 2020 untuk mempertingkat integriti pasukan PDRM, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggotanya, serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis.

Sebelum dibentang di Parlimen, proses penggubalan IPCC membabitkan libat urus dengan seramai 1,059 orang, selain sesi taklimat bersama pimpinan tertinggi PDRM, persatuan bekas polis, wakil KDN serta Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

IPCC memberi fokus kepada penubuhan suatu badan untuk melaksanakan siasatan, manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut peruntukan sedia ada dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Hal sama turut disuarakan Presiden Persatuan Kebajikan Veteran Polis Malaysia (VPOL), Datuk Hussin Awang Ngah bahawa suruhanjaya bebas itu perlu dianggotai pegawai polis supaya dapat memantau dan lebih mengetahui apa yang berlaku dalam PDRM. 

“Jika boleh kita mahu seorang atau dua pegawai polis dan bukan hanya semata-mata orang luar seperti peguam dan sebagainya. Contohnya, jika peguam, mereka ini bercakap melalui apa yang mereka lihat saja walhal mereka tidak mengalami sendiri apa yang berlaku dalam pasukan. 

“Jika terdapat wakil polis dalam suruhanjaya ini, sekurang-kurangnya mereka boleh bersuara mengapa sesuatu perkara itu terjadi. Ini kerana orang luar hanya nampak badan beruniform ini yang elok saja. 

“Sebagai contoh, kami sebagai polis ini nampak profesion guru sebagai seronok, dapat balik awal dan sebagainya, namun kita tidak tahu apa sebenarnya mereka alami ketika bekerja. 

“Sebab itu kita tidak mahu jawatankuasa ini tidak dianggotai polis kerana keputusan hanya dibuat berdasarkan andaian luar saja,” katanya.

Hussin berkata, pelaksanaan IPCC membolehkan tindakan diambil kepada mana-mana anggota sama ada berpangkat rendah mahupun pegawai kanan. 

“Saya secara peribadi berasakan IPCC boleh dilaksanakan, kerana sebelum ini tindakan disiplin hanya dilakukan terhadap anggota bawahan saja, malah tata etika pegawai atau pegawai kanan ditutup sebelah mata,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending