Connect with us

Terkini

“DAP faham tuntutan hak milik tanah 999 tahun tidak boleh dilaksana,” – MB Perak

Rakyat Perak tidak perlu bimbang mengenai isu tuntutan hak milik tanah 999 tahun untuk kampung-kampung baru di negeri ini kerana ia tidak boleh dilaksanakan dan bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.

Wartawan TMT

Published

on

“DAP faham tuntutan hak milik tanah 999 tahun tidak boleh dilaksana,” - MB Perak
Foto: Datuk Seri Saarani Mohamad
  • Rakyat Perak tidak perlu risau berkaitan isu tuntutan hak milik tanah 999 tahun kerana ia tidak boleh dilaksanakan dan bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.
  • “Dia (DAP) boleh berjuang tetapi perlembagaan sudah menetapkan tidak boleh… maka ia tidak boleh dibuat jadi saya percaya DAP dan penyokong memahaminya,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
  • Kanun Tanah Negara ditetapkan tiada istilah tanah 999 tahun yang ada hanyalah pajakan tanah 99 tahun.

KUALA LUMPUR: Rakyat Perak tidak perlu bimbang mengenai isu tuntutan hak milik tanah 999 tahun untuk kampung-kampung baru di negeri ini kerana ia tidak boleh dilaksanakan dan bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau memahami masalah dialami DAP kerana mereka sudah menjanjikan perkara itu kepada penyokongnya.

Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh dibuat kerana Kanun Tanah Negara sudah menetapkan tiada istilah tanah 999 tahun yang ada hanyalah pajakan tanah 99 tahun.

“Tetapi oleh kerana DAP sudah menjanjikan kepada penyokongnya maka dia cuba sedaya upaya untuk menggambarkan bahawa mereka berjuang sehingga ke saat akhir.

“Dia (DAP) boleh berjuang tetapi perlembagaan sudah menetapkan tidak boleh… maka ia tidak boleh dibuat jadi saya percaya DAP dan penyokong memahaminya,” katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam Menteri Besar Perak bersama media di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Saarani berkata, jika diikutkan tuntutan DAP itu bukan hanya berjuang untuk tanah kampung baru sahaja tetapi termasuk Rancangan Kampung Tersusun Melayu dan kampung tradisi namun tidak kira apa pun Kanun Tanah Negara sudah menetapkan tidak boleh maka ia tidak akan dapat dilaksanakan.

“Jadi saya tidak nampak itu akan menghantui rakyat Perak dan menghantui Menteri Besar sebab kita ada pegangan yang sah dari segi ketetapan dibuat dalam Kanun Tanah Negara,” katanya.

Isu status hak milik tanah 999 tahun kampung-kampung baharu di Perak sebelum ini diperjuangkan DAP.

Pada majlis sama, Saarani turut mengulangi pendirian kerajaan diterajuinya tidak akan dikuasai DAP seperti dibimbangi pihak tertentu.

Saarani berkata, beliau memahami pengalaman pahit yang dialami bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika itu kerana dia menjadi menteri besar dalam keadaan beliau hanya memiliki satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala yang lain didominasi komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Katanya, beliau (Ahmad Faizal) bersendirian dalam exco kerajaan ketika itu berbeza dengan Barisan Nasional (BN) di mana ada sembilan kerusi DUN.

 “Kita diberi kepercayaan untuk bersama-sama sebagai pembuat dasar iaitu BN mempunyai seorang menteri besar, seorang speaker dan tiga exco.

“Jadi saya yakin apa yang dibimbangi dan ditakuti Datuk Seri Peja tidak akan berlaku pada zaman saya…Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Ahmad Faizal menyifatkan pembentukan kerajaan negeri Perak menerusi gabungan PH dan BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dikuasai DAP.

Menurut beliau, alasan bahawa keputusan menubuhkan kerajaan bersama PH demi kepentingan rakyat, akan membolehkan DAP menguasai pentadbiran kerajaan negeri.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending