Connect with us

Terkini

Syed Saddiq tidak maklum perbelanjaan kempen PRU14 – pegawai penyiasat SPRM

Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak tahu mengenai 10 senarai perbelanjaan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjumlah RM171,675 yang dikemukakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Wartawan TMT

Published

on

Syed Saddiq tidak maklum perbelanjaan kempen PRU14 - pegawai penyiasat SPRM
Foto: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
  • Di Mahkamah Tinggi, beliau kata tidak tahu mengenai 10 senarai perbelanjaan kempen PRU14 berjumlah RM171,675 yang dikemukakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada SPR.
  • “YB Syed Saddiq hanya beritahu saya rujuk dokumen perbelanjaan itu kepada Amshar (merupakan individu dikatakan mengurus kewangan peribadi dan politik Syed Saddiq). Bagaimanapun, Amshar menafikan pernah menguruskan resit pembayaran kempen PRU14 pada 2018.” – saksi, pegawai penyiasat SPRM.
  • Pihak pendakwaan hari ini menutup kes selepas memanggil 30 saksi dan mahkamah menetapkan 6 serta 7 Okt ini untuk pihak-pihak berhujah.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak tahu mengenai 10 senarai perbelanjaan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjumlah RM171,675 yang dikemukakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Nurul Hidayah Kamarudin, 33, yang dipanggil semula untuk disoal balas oleh pasukan pembelaan berkata demikian semasa ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq pada perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Muar itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Gobind: Adakah puan tahu mengenai 10 butiran (perbelanjaan) yang YB Syed Saddiq telah kemukakan kepada SPR iaitu bayaran deposit calon (RM10,000), deposit bahan kempen (RM5,000), permit iklan pilihan raya (RM200), iklan pilihan raya (RM50), cenderahati PKR (RM51,784), kos penginapan (RM2,120), peredaran dan pengiklanan (RM29,100), percetakan (RM69,491), bahan fotostat (RM750) dan button badge(RM3,180).

Nurul Hidayah: Tidak tahu.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Mohamed Tahir, saksi pendakwaan ke-28 itu berkata, Syed Saddiq tidak memaklumkan kepadanya berhubung pengisytiharan perbelanjaan untuk kempen PRU14 kepada SPR semasa merakam percakapan tertuduh.

“YB Syed Saddiq hanya memberitahu saya supaya merujuk dokumen perbelanjaan itu kepada Amshar (merupakan seorang individu yang dikatakan menguruskan kewangan peribadi dan politik Syed Saddiq). Bagaimanapun, Amshar menafikan pernah menguruskan resit pembayaran kempen PRU14 pada 2018,” katanya.

Selain Nurul Hidayah, dua lagi pegawai penyiasat SPRM yang dipanggil semula untuk memberikan keterangan ialah Mohd Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

Advertisement

Pihak pendakwaan hari ini menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan dan mahkamah menetapkan 6 dan 7 Okt ini untuk pihak-pihak berhujah.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, ketika itu Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. 

Sumber : Bernama

Advertisement

Terkini

Pengiktirafan UEC lebih mudah di bawah Menteri Pendidikan sekarang – pensyarah

Pengiktirafan sijil Unified Examination Certificate (UEC) akan jadi lebih mudah di bawah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berikutan ketika ini yang memerintah kerajaan adalah Pakatan Harapan yang berjanji untuk mengiktirafnya.

Hidayah Sani

Published

on

Pengiktirafan UEC lebih mudah di bawah Menteri Pendidikan sekarang - pensyarah
Foto: Dr Anuar Ahmad (hadapan), Fadhlina Sidek (belakang).
  • Ini berikutan ketika ini yang memerintah kerajaan adalah Pakatan Harapan yang berjanji untuk mengiktirafnya.
  • Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad menjelaskan PH tiada pilihan selain iktiraf UEC memandangkan undi kaum Cina telah menyumbang kepada kemenangan gabungan parti itu. 
  • Pandangan itu susulan kesemua parti yang sebelum ini bertegas menentang iktiraf UEC, kini boleh dikatakan seolah tidak lagi boleh diharapkan.
  • “Jadi sebenarnya sudah tiada lagi parti politik Melayu yang benar-benar lantang menentang pengiktirafan UEC. Sekarang yang tinggal hanyalah beberapa NGO Melayu Islam yang sebenarnya tiada taring. Tak boleh diharap juga.” – Dr Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan sijil Unified Examination Certificate (UEC) akan jadi lebih mudah di bawah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berikutan ketika ini yang memerintah kerajaan adalah Pakatan Harapan yang berjanji untuk mengiktirafnya.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad menjelaskan PH tiada pilihan selain mengiktiraf UEC memandangkan undi kaum Cina telah menyumbang kepada kemenangan gabungan parti itu. 

Katanya, Fadhlina Sidek yang juga merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal dari Pakatan Harapan dapat menyelesaikan isu UEC.

“Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek baru dilantik. Di atas meja beliau, tentulah ada lambakan isu pendidikan yang perlu diberikan perhatian dan diselesaikan segera. 

“Semakin lambat tindakan penyelesaian semakin banyak persoalan dan keraguan akan timbul di kalangan rakyat. Salah satu isunya ialah pengiktirafan UEC.

“Saya melihat isu UEC akan dapat diselesaikan olehnya yang berada dalam posisi terbaik untuk memberikan titik noktah pada isu UEC. Pengiktirafan UEC akan jadi lebih mudah di bawah YB Fadhlina, Menteri Pendidikan yang baru ini.

“Dong Zong faham situasi ini. Jadi tentulah mereka akan pastikan yang mereka tidak terlepas peluang terbaik ini untuk mendapatkan pengiktirafan UEC dari kerajaan. Laluan Dong Zong semakin mudah,” tulis beliau dalam hantaran di Facebooknya.

Advertisement

Anuar berkata, sebenarnya janji pengiktirafan UEC di dalam manifesto PH sudah menjadi kemenangan besar buat Dong Zong yang sejak 1975 berjuang untuk memartabatkan UEC malah BN juga pernah memberikan janji yang hampir sama sebelum ini.

Pandangan beliau itu turut disumbang apabila kesemua parti yang sebelum ini dilihat bertegas menentang iktiraf UEC, kini boleh dikatakan seolah tidak lagi boleh diharapkan.

Katanya, dulu penentang utama pengiktirafan UEC ialah UMNO, BERSATU dan PAS iaitu kesemua parti Melayu namun buat pertama kali, UMNO sekarang di dalam kerajaan bersama PKR dan DAP.

Hal ini dilihat, akan menyebabkan pemimpin UMNO hilang suara untuk menentang pengiktirafan UEC.

“Jika tidak suka sekalipun, kena telan juga. Pasti ada sebahagian pimpinan UMNO yang akan tetap menentang pengiktirafan UEC tapi tentu tak cukup kuat untuk kerajaan PH menarik balik janji mereka untuk mengiktiraf UEC.

“GPS dan GRS pula sudah lama mengiktiraf UEC. Jadi tentunya mereka akan menyokong kuat pengiktirafan UEC oleh kerajaan PH.

Advertisement

“Tinggal BERSATU dan PAS sahaja lagi yang ada untuk menentang pengiktirafan UEC. Malangnya sejarah telah membuktikan pemimpin Melayu pertama mengiktiraf UEC  ialah Tan Sri Muhyidin Yasin, Presiden Bersatu.

“Beliau telah mengiktiraf UEC secara ‘partial’ pada tahun 2012 bagi tujuan pengambilan calon guru Bahasa Cina untuk Institut Perguruan Guru (IPG). Adakah ahli Bersatu akan menepuk dulang hingga terpercik ke muka presiden mereka sendiri?” tulis beliau, pada Isnin.

Melihat kepada situasi itulah, beliau beranggapan pemimpin BERSATU tidak akan menentang pengiktirafan UEC sekarang memandangkan sejarah membuktikan presiden mereka sendiri adalah pemula kepada usaha pengiktirafan UEC.

Malah, pengiktirafan ‘partial’ yang dimulakan tahun 2012 tu diteruskan Menteri Pendidikan di bawah kerajaan BN, PH dan PN.

“Saya pernah menimbulkan soalan mengapa KPM ketika itu perlu mengiktiraf UEC untuk calon untuk guru Bahasa Cina di IPG sedangkan cukup ramai calon SPM yang mengambil mata pelajaran Bahasa Cina? 

“Mengapa tidak pilih calon SPM untuk guru-guru Bahasa Cina ke IPG?” tulis beliau yang turut menyifatkan PAS juga tidak boleh diharapkan dalam isu ini.

Advertisement

Anuar mendakwa PAS tidak konsisten dalam isu pengiktirafan UEC dan sekolah vernakular di mana adakalanya parti itu ingin mengiktiraf UEC namun tidak lama kemudian mahu haramkannya pula.

Pegangan PAS yang tidak konsisten ini menyebabkan ia dilihat tidak boleh diharapkan malah Anuar berkata, sebenarnya PAS tidaklah begitu kuat untuk memimpin penolakan UEC.

“Pemimpin PAS dilihat lebih suka mempolitikkan dan menunggang isu UEC dan sekolah vernakular sahaja. Mereka tidak ikhlas dalam memperjuangkan isu menolak pengiktirafan UEC dan sekolah vernakular.

“Jadi sebenarnya sudah tiada lagi parti politik Melayu yang benar-benar lantang menentang pengiktirafan UEC.

“Sekarang yang tinggal hanyalah beberapa NGO Melayu Islam yang sebenarnya tiada taring. Tak boleh diharap juga,” tulis beliau.

Sumber : Facebook Anuar Ahmad

Advertisement

 

Teruskan Membaca
Advertisement

Kata Kunci

Advertisement

Trending