Connect with us

Terkini

Ada ‘watak’ jual agama pertahankan pesalah

Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mendakwa ada ‘watak’ agama yang kadang-kadang menjual agamanya demi kepentingan dunia.

Wartawan TMT

Published

on

Ada ‘watak’ jual agama pertahankan pesalah
Foto: Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.
  • “Agama ini adalah wahyu tetapi kita ada watak-watak agama yang kadang-kadang jual agamanya untuk kepentingan dunia dan inilah yang berlaku kepada masyarakat kita.” – Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.
  • Beliau berharap ada di kalangan masyarakat mempunyai ‘common sense’ menegur ahli agamawan yang dilihat mendiamkan diri atau mempertahankan seseorang yang dijatuhi kesalahan atau terlibat mana-mana skandal.
  • “Ini masalahnya apabila kita menganggap perlu hormat dan berikan penghormatan baik pada orang beragama dan berilmu. Itu betul tetapi bukan untuk kita mendiamkan diri kesalahan dibuat walaupun dilakukan sendiri oleh orang agama.”

SHAH ALAM – Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mendakwa ada ‘watak’ agama yang kadang-kadang menjual agamanya demi kepentingan dunia.

Beliau berpandangan senario inilah yang berlaku terhadap masyarakat di negara ini yang tidak berani menegur atas kesalahan dilakukan melibatkan pihak tertentu.

“Agama ini adalah wahyu tetapi kita ada watak-watak agama yang kadang-kadang menjual agamanya untuk kepentingan dunia dan inilah yang berlaku kepada masyarakat kita.

“Sebagai contoh pesalah yang telah dipersalahkan dalam mahkamah, telahpun dipertahankan oleh tokoh-tokoh agama yang dikenali di Malaysia.

“Kita tidak suruh bersorak-sorak dan bergembira apabila dia dimasukkan ke dalam penjara tetapi kesalahannya itu bukan kesalahan yang sedikit, bukannya kecil dan ia menyebabkan negara kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian di program Wacana Sinar Khas yang bertajuk Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

Wacana Khas tersebut menampilkan panel berprofil tinggi iaitu Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar dan Profesor Seni Bina Islam Universiti UCSI, Profesor Dr Mohd Tajudin Mohd Rasdi.

Sesi wacana khas itu dikendalikan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Beliau berharap ada di kalangan masyarakat mempunyai satu ‘common sense’ untuk menegur ahli agamawan ini yang dilihat mendiamkan diri atau mempertahankan seseorang yang dijatuhi kesalahan atau terlibat mana-mana skandal.

“Ini masalahnya apabila kita menganggap perlu hormat dan memberikan penghormatan baik pada orang beragama dan berilmu.

“Itu betul tetapi bukan untuk kita mendiamkan diri kesalahan dibuat walaupun dilakukan sendiri oleh orang agama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pergerakan awam perlu digerakkan dan Rasuah Busters sedang dimulakan tetapi perkara tersebut tidak mudah.

“Ini tidak mudah sebab kita tahu dalam kajian-kajian terbaharu masyarakat terutama pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi survey ini dilakukan. Apabila mereka mungkin boleh dapat manfaat dari korupsi dan rasuah itu, tiada masalah untuk terima.

‘Itu juga menjadi satu bebanan kepada orang agama kerana orang Melayu ini selain dari bangsa, dia mempunyai unsur agama yang sangat kuat.

“Tidak ramai orang yang berceramah dan berkhutbah di meja-meja penceramah ini mahu bercakap secara terbuka dan secara tepat tentang rasuah,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan ia bukanlah suatu yang mudah untuk meningkatkan penglibatan anak muda menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen disebabkan faktor kewangan.

“Unsur kewangan itu sangat penting dan kuat untuk menyertai pilihan raya. Jika seseorang itu ada kaitan dengan institusi pendidikan seperti institut pengajian tinggi awam (IPTA) maka dia terpaksa tinggalkan pekerjaan yang bergaji.

“Sebab itu, kita lihat watak dan calon-calon lebih senior kerana mereka mempunyai kewangan dan pekerjaan stabil berbanding anak-anak muda yang tidak mudah masuk bertanding pilihan raya dan menjadi pembuat dasar. Akhir sekali kitaran itu tetap sama,” tambahnya.

Sumber : Sinar Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending