Antarabangsa
Pulih hubungan diplomatik dengan Israel, Turkiye akan tetap sokong Palestin – Erdogan
Langkah menormalisasikan hubungan Turkiye dengan Israel tidak akan melemahkan sokongan negara itu kepada Palestin, demikian tegas Presiden Recep Tayyip Erdogan semalam.
- Langkah menormalisasikan hubungan Turkiye dengan Israel tidak akan melemahkan sokongan negara itu kepada Palestin, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam sidang media bersama Presiden Mahmoud Abbas di Ankara semalam.
- Türkiye meneruskan solidariti berterusan dengan Palestin dengan “cara paling kuat”, kata Erdogan.
- Dialog Turkiye dengan Israel akan memberi peluang lebih baik dalam mempertahankan perjuangan Palestin.
- Ankara menolak apa sahaja tindakan bertujuan mengubah status Baitulmaqdis Timur atau Masjid Al-Aqsa.
ANKARA – Langkah menormalisasikan hubungan Turkiye dengan Israel tidak akan melemahkan sokongan negara itu kepada Palestin, demikian tegas Presiden Recep Tayyip Erdogan semalam.
“Langkah yang diambil dalam hubungan kami dengan Israel tidak akan mengurangkan sokongan kami terhadap perjuangan Palestin,” kata Erdogan dipetik agensi berita Anadolu pada sidang media di Ankara bersama rakan sejawatannya dari Palestin, Mahmoud Abbas.
Lawatan tiga hari Abbas diadakan ketika Türkiye dan Israel mengambil langkah untuk menormalisasikan hubungan, termasuk keputusan minggu lalu untuk memulihkan hubungan diplomatik penuh dan melantik semula duta dan konsul jeneral selepas tempoh rehat empat tahun.
Erdogan berkata Türkiye akan meneruskan solidariti berterusannya dengan Palestin dalam “cara paling kuat”.
“Turkiye mengiktiraf negara Palestin sejak ia diisytiharkan, mempertahankan visi penyelesaian dua negara di semua platform,” katanya.
Erdogan menegaskan Ankara menolak apa sahaja tindakan yang bertujuan mengubah status Baitulmaqdis Timur atau Masjid Al-Aqsa.
“Kami akan menyampaikan perkara ini kepada rakan sejawat kami di Israel,” kata Erdogan.
Erdogan berkata Palestin menyokong usaha Türkiye menormalisasikan hubungan dengan Israel kerana dialog negara itu dengan Israel akan memberi peluang lebih baik dalam mempertahankan perjuangan Palestin.
“Palestin sentiasa ada tempat istimewa di hati Türkiye,” katanya sambil menyatakan Ankara mahu mengukuhkan lagi hubungannya dengan Palestin serta mahukan kebajikan dan pembangunan bagi negara itu.
“Saya sekali lagi menegaskan penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya berdasarkan garisan sempadan 1967 dan parameter PBB adalah penting untuk keamanan dan kestabilan seluruh wilayah kita,” kata Erdogan.
Dalam reaksi balasnya, Presiden Abbas memuji sokongan berterusan Turkiye kepada rakyat Palestin.
“Kami mahu keanggotaan penuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menuntut perkara itu daripada negara-negara yang percaya kepada penyelesaian dua negara untuk mengiktiraf Palestin,” kata Abbas.
Abbas berkata Palestin berterima kasih atas usaha Turkiye mendapatkan Palestin kedudukan ‘negara pemerhati’ di PBB.
Sumber: Anadolu Agency