Terkini
Negara perlu lebih banyak filem seperti Mat Kilau, Ola Bola yang suntik ‘Roh Nasionalisme’ dalam perfileman negara
Karyawan perlu mempunyai pemahaman mendalam terhadap ‘roh’ nasionalisme dan jati diri bangsa agar setiap filem patriotik atau bersifat kenegaraan yang dihasilkan dapat diterjemahkan dengan baik kepada penonton seterusnya membangkitkan rasa cinta kepada negara.
- Karyawan perlu memahami ‘roh’ nasionalisme agar dapat diterapkan dalam karya filem bagi membangkitkan semangat patriotik kepada penonton.
- Konsep negara bangsa dan kumpulan sosial perlu dikuasai agar dapat diterjemahkan menerusi karya filem yang diangkat.
- Karyawan perlu pupuk semangat membaca bagi memperoleh idea segar menerusi pelbagai penyelidikan dan kajian perbandingan.
- Tiga kriteria utama dalam menghasilkan filem yang baik adalah bersifat menghiburkan, memperkatakan mengenai sesuatu dan memaparkan budaya atau gaya hidup sesuatu bangsa atau komuniti.
KUALA LUMPUR – Karyawan perlu mempunyai pemahaman mendalam terhadap ‘roh’ nasionalisme dan jati diri bangsa agar setiap filem patriotik atau bersifat kenegaraan yang dihasilkan dapat diterjemahkan dengan baik kepada penonton seterusnya membangkitkan rasa cinta kepada negara.
Profesor Kehormat Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Mansor Mohd Noor berkata kefahaman ilmu mengenai konsep negara bangsa dan kumpulan sosial yang menjadi teras lapisan sejarah dan warisan bangsa perlu dikenal pasti bagi memberi penjelasan kepada perkara diangkat dalam filem dihasilkan.
Beliau berkata adalah penting untuk karyawan menguasai ilmu mengenai bangsa, corak cabaran yang dihadapi dan teknik perfileman terkini untuk diselarikan dengan budaya masyarakat semasa.
“Sebuah filem yang memberi penekanan kepada negara bangsa, semangat nasionalisme dan patriotisme akan ‘hidup’ apabila memaparkan kehidupan masyarakat di akar umbi demi mempertahankan diri, keluarga, kebajikan, agama dan negara.
“Contohnya melalui filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022) yang mengangkat cerita daripada pengalaman rakyat dengan mengenal pasti perasaan, degup jantung, keluhan dan kesedaran sehingga bangkit melawan penjajah susulan tiada bangsa bermaruah rela dizalimi dan dijajah, yang menjadi tarikan kepada penonton untuk ke pawagam,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, beliau berkata golongan karyawan seharusnya memupuk dan menyemai budaya membaca sebagai usaha memperoleh idea-idea segar dengan menjalankan pelbagai penyelidikan dan kajian perbandingan sekali gus menjadi panduan dalam mengukuhkan industri perfileman negara.
Pengkritik filem Hassan Abdul Muthalib berkata terdapat tiga kriteria utama dalam menghasilkan filem yang baik iaitu bersifat menghiburkan, memperkatakan mengenai sesuatu dan memaparkan budaya atau gaya hidup sesuatu bangsa atau komuniti.
Menurutnya, filem The Journey (2014) dan Ola Bola (2016) masing-masing arahan Chiu Keng Guan adalah contoh filem mempunyai ketiga-tiga kriteria itu yang menjadi penyebab kepada kejayaan karya berkenaan di pawagam.
“Ini kerana gaya penceritaannya cukup bagus dan terdapat tanda-tanda yang menjadi petanda tentang sesuatu serta ada elemen simbol yang boleh diterima audiens yang kesemuanya digambarkan secara sinematik.
“Lihat sahaja filem Ola Bola yang boleh menyatukan bangsa Melayu, Cina dan India menerusi satu acara iaitu bola sepak,” katanya.
Hassan berkata menghasilkan sesuatu filem yang bersifat kenegaraan tidak seharusnya bersandarkan kepada tema perjuangan sebaliknya bergantung kepada beberapa genre filem seperti komedi, cinta atau komedi romantik dalam usaha menambat hati penonton untuk ke pawagam.
“Sesebuah naratif, sebaiknya menonjolkan aspek kekeluargaan kerana ia adalah unit asas dalam masyarakat manakala kisah perjuangan pula diceritakan secara tersirat dengan menggunakan bahasa filem.
“Ini kerana, dalam keadaan biasa, apabila dipromosikan sebagai filem kenegaraan, kebanyakan audiens tidak berminat untuk menontonnya,” katanya yang mencadangkan agar mengambil kira peranan penyunting skrip dan konsultan skrip yang akan meneliti dan memperbaiki skrip dari segi struktur dan lain-lain, sekali gus memantapkan cerita.
Profesor Pengajian Filem dan Komunikasi di International University of Malaya-Wales (IUMW) Prof Dr Mahadi J Murat berkata kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ada menyediakan peruntukan membangunkan idea atau penulisan skrip filem, khususnya bagi tema berkaitan kenegaraan.
“Mereka yang mengambil bahagian diberi dana untuk membangunkan atau menulis skrip, namun hasil penulisan masih belum mencapai tahap diharapkan. Walaupun langkah ini baik, pendekatan untuk menjayakannya barangkali masih perlu ditambah baik,” katanya.
Pada masa sama, Mahadi berharap genre filem popular seperti cinta, komedi dan seram turut membawa sekali kandungan atau latar yang lebih berisi atau bermakna.
“Contohnya, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang menggunakan pendekatan popular dalam pembikinannya, kita patut mengambil kesempatan terhadap elemen-elemen popular ini sebagai usaha memajukan filem tempatan, sepertimana dilakukan di negara luar seperti Korea Selatan,” katanya.
Sumber: Bernama