Connect with us

Terkini

Kes SRC Najib Razak : Pembelaan tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah – Ketua Hakim Negara

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Wartawan TMT

Published

on

Kes SRC Najib Razak : Pembelaan tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah - Ketua Hakim Negara
Foto: Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • Mahkamah Persekutuan hari ini kekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
  • Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan tersebut selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
  • Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan  dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen  Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan CBT kerana penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.

Datuk Seri Najib Razak, 69, pada 8 Dis 2021 gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam pada itu, para hakim sebulat suara membuat keputusan tersebut selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.

“Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan.

“Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ,” kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan:

3 Julai 2018 – Datuk Seri Najib Razak ditahan Pasukan Petugas Khas 1MDB, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, sekitar jam 3 petang dan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

4 Julai 2018 – Didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

8 Ogos 2018 – Didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

10 Ogos 2018 – Mahkamah Tinggi menetapkan 33 hari bermula 12 Februari 2019 bagi perbicaraan.

11 November 2019 – Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tuduhan.

3 Disember 2019 – Najib membela diri dan 18 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan, prosiding selama 33 hari.

28 Julai 2020 – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan  pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

19 Oktober 2020 – Najib memfailkan petisyen rayuan mengandungi 307 alasan mengapa beliau sepatutnya dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

18 Mei 2021 – Rayuan Najib selesai didengar di Mahkamah Rayuan selama 15 hari.

8 Disember 2021 – Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib.

29 April 2022 – Mahkamah Persekutuan menetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib.

25 Julai 2022 – Najib memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam lain serta melantik barisan peguam baharu diketuai Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan M Rueben.

29 Julai 2022 – Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan akhir.

23 Ogos 2022 Prosiding rayuan akhir kes SRC, menyaksikan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Sumber : Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Terkini

Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam – MP PKR

Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama ini berdekad-dekad dipinggirkan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim (kanan).
  • Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama ini berdekad-dekad dipinggirkan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.
  • Hassan berkata jika tanpa sokongan kelompok reformasi Islam yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini, Presiden PKR itu juga mungkin tidak akan menjadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) hari ini.
  • Justeru PMX dan pendukung kerajaan Madani di Putrajaya diminta supaya mengenangkan jasa individu yang berjuang untuk Islam demi membina negara yang adil dan bersifat Madani.
  • “Pandangan golongan Islam yang membawa idea reformasi tidak patut dipandang ringan atau dianggap picisan.
  • “Jika tiada sokongan golongan reformasi Islam yang setia kepada Anwar Ibrahim selama ini rasanya, ikut hukum adat, Anwar mungkin tak sampai jadi Perdana Menteri kesepuluh,” kata Hassan kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Samsudin di Kongres BERSIH pada Sabtu yang mengingatkan kerajaan bahawa sebarang agenda reformasi dibawakan kelompok gerakan Islam hari ini tidak boleh dianggap sebagai agenda picisan.

KUALA LUMPUR — Kerajaan Madani perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama ini berdekad-dekad dipinggirkan, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.

Hassan berkata jika tanpa sokongan kelompok reformasi Islam yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini, Presiden PKR itu juga mungkin tidak akan menjadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) hari ini.

Justeru, beliau meminta PMX dan pendukung kerajaan Madani di Putrajaya supaya mengenangkan jasa individu yang berjuang untuk Islam demi membina negara yang adil dan bersifat Madani.

“Gerakan Islam adalah satu komponen penting dalam gerakan reformasi di Malaysia. 

“Gerakan Islam adalah pendukung utama Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau menjadi Presiden ABIM kemudian Timbalan Perdana Menteri Malaysia sehingga dipecat pada September 1998.

“Gerakan Islam antara golongan yang setia kepada perjuangan reformasi yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. 

“Kini Anwar Ibrahim sudah jadi Perdana Menteri Malaysia, justeru Kerajaan Madani sekarang perlu setia kepada aspirasi gerakan Islam yang selama berdekad-dekad dipinggirkan,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Samsudin di Kongres BERSIH pada Sabtu yang mengingatkan kerajaan bahawa sebarang agenda reformasi dibawakan kelompok gerakan Islam hari ini tidak boleh dianggap sebagai agenda picisan.

Sebaliknya, kerajaan perlu mengutamakan agenda dibawakan gerakan Islam ataupun Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) supaya ia dapat dijadikan rujukan dalam tampuk pemerintahan hari ini.

Ahmad Fahmi berkata ini kerana gerakan Islam mempunyai kedudukan dan peranan signifikan untuk ke hadapan, bukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai ‘serpihan’ atau ‘ditepi-tepian’.

Kenyataan beliau itu turut disambut baik kelompok bukan Muslim daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong bahawa kerajaan tidak boleh menganggap sebarang agenda reformasi dibawakan kelompok gerakan Islam hari ini sebagai agenda picisan.

Hassan menyatakan beliau senada dengan Presiden ABIM bahawa pandangan, tuntutan dan aspirasi reformasi dibawakan gerakan Islam mesti diberi tempat oleh kerajaan yang berkuasa ketika ini.

“Pandangan golongan Islam yang membawa idea reformasi tidak patut dipandang ringan atau dianggap picisan.

“Jika tiada sokongan golongan reformasi Islam yang setia kepada Anwar Ibrahim selama ini rasanya, ikut hukum adat, Anwar mungkin tak sampai jadi Perdana Menteri kesepuluh.

“Lalu PMX dan pendukung kerajaan Madani di Putrajaya sekarang kenangkanlah jasa orang yang selama ini berjuang untuk Islam demi membina sebuah negara yang adil yang bersifat Madani,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending