Terkini
Kes rasuah SRC lebih rumit, Najib pecat Shafee, lantik firma Zaid Ibrahim
Datuk Seri Najib Razak memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

- Bekas perdana menteri itu memberhentikan Tetuan Shafee & Co yang mewakilinya dalam kes SRC International sejak 4 Julai 2018, semalam dengan serta-merta, melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (“ZIST”) sebagai peguam cara baharu.
- 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Queen’s Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir kes berkenaan.
- Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Bekas perdana menteri itu yang memberhentikan Tetuan Shafee & Co yang mewakilinya dalam kes SRC International sejak 4 Julai 2018, semalam dengan serta-merta, melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (“ZIST”) sebagai peguam cara baharu.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh firma guaman Tetuan Shafee & Co melalui sepucuk surat Pemakluman Perberhentian Kaunsel dan Peguam Cara kepada pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan bertarikh hari ini.
Melalui surat itu, Tetuan Shafee & Co menyatakan bahawa firma guaman itu menerima surat daripada Najib pada jam 5 petang semalam, yang memberhentikan Muhammad Shafee dan peguam cara lain daripada firma berkenaan dengan serta-merta daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes SRC International.
Menerusi surat yang sama, firma itu menyatakan bahawa Najib memaklumkan yang beliau melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu.
“Sehubungan itu, pihak kami sedang berusaha melengkapkan proses penyerahan dokumen secara fizikal dan digital kepada ZIST, yang dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada hari ini,” kata surat itu.
Firma guaman Tetuan Shafee & Co dilantik mewakili Najib sejak beliau dituduh dalam kes SRC International pada 4 Julai 2018.
Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Queen’s Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir kes berkenaan.
Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara, memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.
Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu, bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.
Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar, yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan Jho Low menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.
Rayuan akhir itu dijadualkan didengar selama 10 hari bermula pada 15 Ogos ini.
Sumber :Sinar Harian
Terkini
PUTRA tolak cadangan dasar dua kewarganegaraan
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.

- Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.
- Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
- Beliau turut mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India.
KUALA LUMPUR — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.
Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat yang dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
Ini susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
“Sesungguhnya, jawapan tersebut amatlah bersifat lebih untuk meraih populariti dan terlalu berpolitik. Apakah wajar bagi seseorang individu mempunyai dua kerakyatan? Di manakah kecenderungan bagi individu terbabit untuk menumpahkan kesetiaanya?
“Sepatutnya jawapan isu sensitif seumpama ini tidak perlu dilayan dengan jawapan tegas iaitu mana mungkin dan mustahil seseorang boleh memiliki dua kerakyatan malah untuk memohon menjadi rakyat Malaysia mesti memenuhi syarat-syarat yang ketat mengikut undang-undang yang sedia ada selama ini.
“Malah ada gesaan disyaratkan dengan lebih tegas iaitu penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zarina menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputera untuk menentang cadangan itu serta berpendirian sebarang kajian tidak perlu dilakukan sama sekali kerana ia keputusan muktamad.
Pada masa sama, beliau mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India kerana perkara itu lebih mengundang mudarat daripada keuntungan.
Katanya, perkara perlu diberikan keutamaan bukanlah terkait kerakyatan sebaliknya isu 1.2 juta warga negara China yang direkodkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), masuk ke Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021 namun masih tiada rekod keluar dari negara ini.
Ia merupakan suatu jumlah yang amat menggusarkan dan perlu diambil tindakan telus dan tegas kerana ianya pelanggaran undang-undang dan soal keselamatan negara.
“Ini yang patut diberi keutamaan bukan soal kerakyatan dan dikejutkan pula dengan pengumuman Menteri Pelancongan mengenai cadangan pengecualian Visa kepada pelancong terutama dari Cina dan mungkin dari India atas nama kepentingan merancakkan ekonomi tetapi boleh membawa padah kepada keselamatan negara dan masalah sosial yang kini pun sudah parah dan tidak terkawal.
“Cuba bayangkan jika pelancong Cina masuk tanpa tapisan melalui Visa dengan bebas. Pasti ramai akan hilang dan menetap di Malaysia.
“Isu rasuah yang menjadi barah akan menjadi lebih buruk di kalangan penguatkuasa. Perkara ini amat mengerikan kepada masa depan negara Malaysia,” kata Zarina.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghasilkan satu laporan berkenaan pengecualian visa untuk pelancong China.
King Sing berkata, kerajaan dijangka akan mendraf dasar mengenai hari lawatan yang dibenarkan untuk berada di Malaysia melalui perkhidmatan pengecualian visa. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – PUTRA
-
Terkini2 days ago
Anak mualaf bersyukur MRM bantu uruskan jenazah ibu
-
Terkini4 days ago
Peniaga terima wang menerusi DuitNow QR akan dicaj bermula 1 November
-
Antarabangsa3 days ago
Penutupan kerajaan AS tidak dapat dielakkan – Biden
-
Antarabangsa3 days ago
Malaysia dijangka beri pengecualian visa kepada pelancong China