Antarabangsa
Bekas petarung UFC, Kevin Lee peluk Islam
Bekas petarung Ultimate Fighting Championship (UFC), Kevin Lee mendedahkan yang dia memeluk Islam serta meluahkan rasa syukur menjadi penganut agama itu.
- Bekas petarung Ultimate Fighting Championship (UFC), Kevin Lee mengumumkan sudah memeluk Islam pada Oktober 2021.
- Dia mengumumkan perkara itu di Twitter pada 10 Januari 2023.
- “Allah sentiasa ada rancangan dan saya gembira berada di jalan yang benar,” – Kevin Lee.
Bekas petarung Ultimate Fighting Championship (UFC), Kevin Lee mendedahkan yang dia memeluk Islam serta meluahkan rasa syukur menjadi penganut agama itu.
Memetik laporan The Siasat Daily, atlet berusia 30 tahun itu sudah memeluk Islam pada 2021, namun baru mengumumkannya pada 10 Januari 2023.
Menerusi ciapan di Twitter, Kevin menulis, “Sejak mengumumkan penukaran agama saya sebagai Muslim, ramai yang menghubungi saya untuk memberi sokongan. Saya lihat semua mesej serta panggilan dan rasa disayangi.”
“Allah sentiasa ada rancangan dan saya gembira berada di jalan yang benar,” katanya.
Dalam ciapan berasingan, Kevin menulis, “Sekadar penjelasan kepada beberapa persoalan, saya secara rasmi menjadi seorang Islam pada Oktober 2021 cuma tidak mendedahkannya pada orang ramai sehingga baru-baru ini.
“Saya mahu membuat podcast tidak lama lagi dan bercakap lebih mendalam tentang hal ini di situ,” katanya.
Kevin, yang kini bersaing dalam Eagle FC milik Khabib Nurmagomedov, mendakwa berhubungan baik dengan penganut Islam selepas bergaul rapat dengan mereka.
Dia juga mendakwa keputusannya itu disambut baik bekas pengurusnya, Marquel Martin yang masih berhubung dengannya.
Sumber: The Siasat Daily