Antarabangsa
Wanita Dalit diheret keluar pihak kuil ketika beribadah
Seorang wanita Dalit diserang secara kejam kerana beribadah di dalam sebuah kuil Hindu di Bangalore.
- Seorang wanita Dalit diserang kerana beribadah di dalam sebuah kuil Hindu di Bangalore oleh pihak kuil.
- Wanita itu dicengkam rambutnya, diheret keluar dan hampir dipukul dengan sebatang kayu.
- Susulan itu, mangsa membuat laporan polis terhadap pihak kuil di Balai Polis Amruthahalli.
- Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Seorang wanita Dalit diserang secara kejam kerana beribadah di dalam sebuah kuil Hindu di Bangalore.
Memetik laporan Hindutva Watch, wanita dari kasta terendah itu diserang pihak kuil itu sendiri.
Menerusi satu klip video, kelihatan seorang lelaki berpakaian warna safron mencengkam rambut wanita itu dan mengheretnya keluar dari kuil. Wanita itu pula dilihat cuba untuk meneruskan ibadahnya.
Bagaimanapun, lelaki itu terus menyerangnya untuk menghalaunya keluar. Dia hanya berhenti sebentar ketika mengambil sebatang kayu untuk memukul wanita itu.
Melihat perkara itu, wanita itu lari dan berlindung di belakang seorang sami yang kemudian bantu menghalang lelaki itu dari memukul.
Susulan itu, mangsa membuat laporan polis terhadap pihak kuil di Balai Polis Amruthahalli.
Kerajaan negeri Karnataka memberi amaran kepada pihak kuil agar tidak menghalang Dalit daripada memasuki kuil.
Kerajaan BJP yang memerintah India mengambil perhatian tentang kuil yang tidak membenarkan individu dari kasta Dalit memasuki kuil akhir-akhir ini dan tidak akan mengambil mudah terhadap diskriminasi mana-mana penganut.
Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Dalit dilarang melakukan pekerjaan, kecuali pekerjaan yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak bermaruah’ bagi masyarakat kasta tinggi seperti kerja pembersihan, kutip sampah dan buruh binaan.
Sistem kasta di India dilaporkan dimansuhkan pada 1950-an tetapi sistem hieraki sosial berusia 2,000 tahun itu, yang menetapkan kedudukan individu berdasarkan keturunan kelahirannya, masih wujud dalam kehidupan harian masyarakat Hindu di India.
Sumber: Hindutva Watch