Politik
Zaid Ibrahim pertahan kenyataan Sanusi, dakwa istilah ‘tanah asal’ disalah tafsir
- Menerusi satu hantaran di Facebook, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim berkata, istilah tanah asal membawa maksud tempat atau negara yang menjadi penempatan nenek moyang sesuatu kaum sejak berkurun lamanya berdasarkan konteks sejarah dan budaya.
- “Tanah asal bermaksud tempat atau negara di mana nenek moyang anda hidup selama berabad-abad. Itulah maksud istilah itu dari sudut sejarah dan budaya.
- “Jangan campur adukkan atau kelirukan soal kesetiaan dengan fakta sejarah. PAS tidak pernah mempertikaikan kesetiaan rakyat Malaysia berketurunan India atau Cina,” katanya.
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim mempertahankan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung konsep “tanah asal” Melayu, dengan menegaskan istilah itu merujuk kepada fakta sejarah dan budaya, bukannya mempersoalkan kesetiaan kaum bukan Melayu terhadap negara.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Zaid berkata pemimpin masyarakat India yang mengkritik kenyataan Sanusi telah tersalah tafsir maksud sebenar istilah “tanah asal” atau ancestral land.
Menurut beliau, istilah tersebut membawa maksud tempat atau negara yang menjadi penempatan nenek moyang sesuatu kaum sejak berkurun lamanya berdasarkan konteks sejarah dan budaya.
“Tanah asal bermaksud tempat atau negara di mana nenek moyang anda hidup selama berabad-abad. Itulah maksud istilah itu dari sudut sejarah dan budaya,” katanya.
Zaid berkata, apabila Sanusi merujuk kepada “tanah asal”, beliau tidak mempertikaikan atau mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia bukan Melayu terhadap negara ini.
“Jangan campur adukkan atau kelirukan soal kesetiaan dengan fakta sejarah. PAS tidak pernah mempertikaikan kesetiaan rakyat Malaysia berketurunan India atau Cina,” katanya.
Beliau turut menyifatkan dakwaan seorang pemimpin India bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) lebih sederhana daripada PAS dalam isu hubungan kaum sebagai sesuatu yang “melucukan”.
Menurutnya, pihak yang mengkritik Sanusi sepatutnya mengemukakan soalan sama kepada Amanah mengenai maksud sebenar istilah “tanah asal” dan sama ada ia mempunyai kaitan dengan soal kesetiaan kepada negara.
“Tanyalah Amanah soalan yang sama: Apakah maksud tanah asal? Adakah kesetiaan ada kaitan dengan istilah itu?” katanya.
Dalam pada itu, Zaid berpandangan bahawa suasana politik menjelang pilihan raya menyebabkan setiap pihak cenderung mencari kelemahan lawan politik masing-masing.
Beliau berkata, Sanusi telah menyentuh isu yang berkaitan dengan sejarah dan budaya, iaitu bidang yang menurutnya terbuka kepada pelbagai tafsiran dan sekali gus memberi ruang kepada pihak lawan untuk menyerang kenyataan tersebut.
“Dalam suasana pilihan raya, semua orang cuba mencari kesalahan pihak yang mereka tidak suka.
“Malangnya, Sanusi memasuki wilayah sejarah dan budaya yang boleh ditafsirkan dalam pelbagai cara, sekali gus membolehkan musuh-musuhnya menyerang apa yang beliau maksudkan,” katanya.
Sebelum ini, Sanusi dilaporkan berkata tanah asal orang Melayu ialah Tanah Melayu, manakala kaum lain mempunyai tanah asal masing-masing di negara lain, kenyataan yang mencetuskan pelbagai reaksi dan kritikan daripada beberapa pemimpin politik serta masyarakat. – The Merdeka Times